Pelan Pembanguan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri pada 6 September lalu
adalah persiapan untuk menyediakan generasi penerus dan negara menghadapi cabaran
alaf 21.
Antara cabaran alaf 21 ialah
perkembangan ilmu dan proses pendidikan yang dinamik. Perkembangan teknologi
terutama teknologi maya dan media baru adalah cabaran yang perlu dihadapi
dengan perancangan yang rapi dan strategik.
Faktor globalisasi adalah faktor
paling utama mendepani cabaran perubahan hari depan. Faktor hak asasi manusia
mengikut ukuran Barat, budaya popular dan hedonistik yang sedang menular,
hegemoni pihak luar terhadap faktor teknologi, ekonomi dan budaya memberikan
Malaysia pilihan mencabar untuk terus maju dan berubah.
Oleh itu generasi muda harus
dipersiapkan untuk respons kepada cabaran globalisasi di samping mengukuhkan
asas-asas fundamental dan relevan dengan iklim Malaysia yang ingin maju dalam
acuan kita sendiri.
Perubahan dalam ilmu dan
pendidikan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Tradisi penyelidikan dan
pengembangan menyebabkan ilmu berkembang dinamik. Ia menuntut kebijaksanaan
bagaimana perkembangan ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi dapat disantuni
dan dimanfaatkan dengan bijaksana.
PPPM melibatkan kajian terhadap
pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid dan orang ramai di seluruh negara. Ia
telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira
pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.
Pelan ini juga mencadangkan 11
anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi
mencapai visi yang dihasratkan. Kualiti kurikulum dan guru, pengurusan sekolah
dan masyarakat, kaedah penyampaian dan cara pengukuran mempunyai kaitan rapat
membangun pelan ini.
Terdapat enam ciri utama yang
diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global.
Ciri-ciri itu ialah ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin,
kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.
Ilmu pengetahuan adalah sesuatu
yang amat penting bagi mendepani perubahan. Integrasi ilmu dan nilai adalah
sesuatu yang amat penting supaya ilmu tidak hanya dipelajari secara mekanistik
tetapi sekali gus membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.
Kemahiran berfikir merupakan
faktor penting perubahan berlaku. Ilmu tidak hanya dihafaz semata-mata untuk
keperluan peperiksaan. Dalam tradisi umat Islam yang membawa kepada tamadun
proses pengajaran dan pembelajaran melalui lima tahap yang sifatnya saling
mengukuh. Di samping hafazan, kefahaman adalah perlu.
Selepas faham, berfikir adalah
amat utama. Berfikir melahirkan pemikiran (fikrah). Daripada nya proses
internalisasi (penyerapan) harus berlaku. Akhirnya manifestasi ilmu itu
terlihat pada amal.
Kemahiran memimpin memerlukan
latihan. Kokurikulum dan ekstra kurikulum yang harus disusun semula supaya
potensi pelajar dapat dingilap secara praktis dan bersifat lapangan. Kepimpinan
dan pengikutan adalah asas penting lahirnya sistem dan masyarakat yang baik.
Kemahiran dwi bahasa dan beberapa
bahasa dalam konteks Malaysia amat mustahak. Penguasaan bahasa Melayu yang
berstatus ilmu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa harus dijadikan
fokus. Dalam tradisi tamadun Islam terdahulu penguasaan banyak bahasa menjadi
resam amalan dalam kalangan ilmuwannya dan bahasa Arab dijadikan bahasa utama.
Etika dan kerohanian adalah
sesuatu yang paling utama dalam mana-mana proses transformasi pendidikan. Agama
yang mendukung Nilai Paling Utama (Supreme Values) dan Nilai-nilai Interaktif
(sejagat) adalah penting membentuk watak dan sahsiah.
Barat suatu ketika menjadikan
agama sebagai latar penting pembinaan etika dan nilai.
Mendepani Barat dan Timur, warga
Malaysia harus memanfaatkan faedah berbanding yang sifatnya menyumbang ke arah
pembangunan tamadun. Tradisi Islam silam menjadikan ini sebagai resam tradisi
yang sifatnya menyumbang terhadap kemajuan tamadun Islam itu sendiri.
Dalam konteks Islam faktor
berbanding ini perlu melalui penyesuaian epistemologi (falsafah ilmu) supaya ia
terbina dengan kekuatan etika dan nilai. Inilah yang dikatakan integrasi dan
islamisasi ilmu yang giat dilaksanakan di Malaysia supaya tasawwur mengenai
ilmu sifatnya merangkumi.
Malaysia ada perjalanan sejarah
dan budayanya sendiri. Kemajmukan adalah ciri penting masyarakatnya. Amat
penting sistem pendidikannya mendidik warga pelajarnya dengan rasa kecintaan
yang tinggi terhadap negaranya dan bersikap patriotik terhadapnya.
Patriotisme di Amerika Syarikat
umpamanya boleh dipelajari bagaimana konsep melting-pot menghasilkan warga yang
patriotik walaupun wujud perbezaan kaum dan kelainan faham politik.
Enam ciri di atas ditunjangi
dengan 11 anjakan utama supaya proses transformasi berlaku.
1. Menyediakan kesamarataan akses
kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid
menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan
memperlajari bahasa tambahan.
3. Melahirkan rakyat yang
menghayati nilai.
4. Mentransformasi misi profesion
keguruan menjadi profesion pilihan.
5. Memastikan kepimpinan
berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah
untuk menyediakan penyelesaian khusus berasakan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi
meningkatkan kualiti pembelajaran.
8. Mentransformasi kebolehan dan
keupayaan penyampaian Kementerian.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa,
komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan
murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan untuk
kebertanggungjawaban awam secara langsung.
Sekiranya anjakan tersebut dapat
dijadikan proses utama dalam menyediakan ejen perubahan dalam pendidikan
Wawasan 2020 akan menjadi suatu kenyataan. Malah PPPM melampaui sehingga tahun
2025 supaya kemajuan itu menuju kepada suatu peradaban.
Malaysia memilih pendekatan
transformatif yang sifatnya gradual tetapi konsisten. Ia menginsafi proses
membentuk manusia tidak boleh berlaku dengan sekelip mata apalagi untuk merubah
sistem ke arah etika tinggi dan berasaskan nilai menuntut perancangan yang rapi
dalam meraikan agenda yang strategik supaya yang dikejar dapat dan yang
dikendung tidak berciciran.
Penulis ialah Prof. Pendidikan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan