Oleh
: M. JASNI MAJED
"KALAH
menang adat permainan, kalau tidak boleh kalah, jangan main bola, kalau menang
kena terima menang tetapi jangan hendak ghairah sangat."
Demikian
kata-kata Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) apabila negara kita sekali lagi dibebani dengan
kemelut bola sepak kerana pelbagai insiden pergaduhan membabitkan penyokong
berlaku akhir-akhir ini.
Jika
diulas kata-kata di atas, ini menunjukkan betapa semangat kesukanan masih belum
utuh dalam jiwa setiap penyokong atau kumpulan penyokong sesuatu pasukan setiap
kali perlawanan bola sepak dilangsungkan.
Asal
sahaja kalah, ada sahaja yang tidak kena, asal saja menang, bongkak dengan
kemenangan sehingga boleh menimbulkan kemarahan pihak yang kalah.
Adalah
dipercayai, insiden pergaduhan terjadi ekoran wujudnya kumpulan samseng bola
sepak di negara kita yang mencari peluang membuat kacau dalam
perlawanan-perlawanan tertentu sehingga mencetuskan pelbagai masalah lain.
Di
luar negara pun ada kumpulan samseng bola sepak. Di London, ada kumpulan Inter
City Firm yang dikatakan sering bertegang leher ketika bertemu dengan
Bushwakers.
Langkah-langkah
awal FAM untuk membendung gejala samseng dalam bola sepak mesti disambut baik
oleh semua pihak demi pembangunan sukan negara. Bola sepak, sebagai sukan yang
berjaya mengaut sejumlah besar penyokong tidak seharusnya diguris dengan
insiden-insiden memalukan dan menjatuhkan imej sukan negara.
Langkah-langkah
yang sudah lama dipraktikkan seperti mengasingkan penyokong dan memantau
kemasukan barangan terlarang seperti senjata dan mercun sudah lama dilakukan
dan ternyata belum dapat membendung gejala ini.
Di
luar stadium, pelbagai insiden boleh berlaku yang selalunya bermula dengan
provokasi yang boleh membawa kepada tindakan-tindakan liar. Bermula dengan
kata-kata kesat, akan wujud kemarahan dan selalunya berakhir dengan
tindakan-tindakan ganas yang membawa kecederaan dan juga kerosakan harta benda.
Justeru.
FAM dan pihak berkuasa mesti memperluas peranan dengan memantau
penyokong-penyokong bola sepak supaya insiden pergaduhan dan kekecohan tidak
berlaku lagi. Tugas FAM sendiri semakin mencabar kerana gelagat penyokong bukan
hanya perlu dipantau dan diawasi di dalam stadium, malah di luar stadium.
Kumpulan-kumpulan
samseng bola sepak yang ditangkap mesti diambil tindakan tegas mengikut
undangundang sedia ada supaya memberi pengajaran kepada individu atau kumpulan
lain. Jika kumpulan ini dibiarkan, kita bimbang akan wujud budaya tidak sihat
dalam industri sukan negara.
Dalam
masa sama, pelbagai pihak mesti memikirkan kesan-kesan negatif samseng bola
sepak dalam industri sukan negara. Di samping merencatkan pembangunan sukan
bola sepak, penularan kumpulan samseng bola sepak akan menghilangkan keyakinan
orang ramai untuk mengunjungi stadium.
Di
peringkat yang lebih jauh, kita mesti menyedari bahawa nama negara kita akan
turut tercemar jika insiden-insiden ini terus berlarutan dalam industri sukan
negara.
Oleh
yang demikian, pelbagai pihak mesti bekerjasama membendung gejala samseng bola
sepak supaya industri sukan tempatan dapat mencapai kecemerlangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan