Jumaat, 23 Oktober 2009

Perjalanan hebat tetamu Allah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

SERAMAI 26,000 jemaah haji Malaysia akan memulakan ‘pengembaraan’ mereka bersama jutaan umat Islam di seluruh dunia bagi mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Di sana umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”

Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama.

Selama 44 hari di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan di tahap terbaik.

Dengan iringan doa, setiap tetamu 'jemputan' Allah ini berharap mereka dapat menunaikan ibadat wajib berkenaan dengan sempurna dan pulang dengan haji mabrur.

Mengikut sejarah awal, ibadat haji ini dibawa junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu usaha menyambung ajaran Nabi Ibrahim. Mengerjakan haji ini mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah s.w.t mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk.”

Pada permulaan ibadat itu, Rasulullah s.a.w bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah tetapi gagal mengerjakannya kerana dihalang kaum Quraisy sehingga termeterai Perjanjian Hudaibiah yang membuka jalan bagi mengembangkan Islam.

Selepas perjanjian itu, pada tahun berikutnya, tahun ke-7 Hijrah, 2,000 umat Islam mengerjakan umrah bersama-sama Nabi Muhamad s.a.w.

Namun, haji yang sempurna hanya dapat dilakukan pada tahun ke-9 Hijrah apabila Rasulullah s.a.w mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengepalai 300 umat Islam mengerjakan haji.

Sepanjang hayat Nabi Muhammad s.a.w, baginda menunaikan fardhu haji sekali saja. Haji itu dinamakan ‘Hijjatul Wada’, Hijjatul Balagh dan Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji berkenaan baginda wafat.

Rasulullah berangkat ke Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat seramai lebih 90,000 orang.

Baginda melakukan amalan seperti sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali iaitu 10km dari Madinah.

Rasulullah sampai di Makkah pada 4 Zulhijjah selepas melakukan perjalanan selama 9 hari. Kemudian baginda berangkat ke Mina pada 8 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Pada 9 Zulhijjah Rasulullah berwukuf di Arafah yang pada hari itu jatuh pada hari Jumaat dan merayakan Aidiladha di sana.

Rasulullah s.a.w menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Pada hari terakhir pada 14 Zulhijjah, baginda meninggalkan Makkah pulang ke Madinah.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Semangat 1Malaysia Perlu Diterap Dalam Segala Aspek Kehidupan

Oleh Khoo Hui Li

KUCHING, 21 Okt (Bernama) - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Datuk Abdul Malik Jangkat, 81, dari Kota Kinabalu, Sabah ketika menyaksikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini pada 10 Okt lalu.

Persembahan yang penuh warna-warni dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan di bawah konsep 1Malaysia serta kepelbagaian kaum di negara ini.

Abdul Malik yang berasal dari Kota Kinabalu, merupakan antara wakil yang dipilih untuk membawa rombongan 20 orang penghulu dan ketua kampung di Sabah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendengar penerangan tentang kemasukan negeri Sabah ke dalam Malaysia ketika itu.

"Ketika Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melahirkan hasratnya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1961, saya bersama Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha telah berusaha untuk memberi penerangan kepada penduduk di Sabah tentang pentingnya untuk mencapai kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan British.

"Walaupun usaha kami mendapat sedikit bantahan daripada segelintir rakyat Sabah yang merasakan mereka telah selesa dengan penjajahan British pada ketika itu, namun ia tidak mematahkan semangat kami.

"Akhirnya, usaha gigih kami membuahkan hasil apabila Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak menjadi satu pada 16 Sept 1963. Hari ini, saya berasa gembira melihat Malaysia maju dan disanjung tinggi," katanya kepada Bernama.

TOKOH 1MALAYSIA

Dengan sumbangan beliau ke arah pembentukan Malaysia, Abdul Malik dianugerahkan tokoh 1Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sijil dan cendera mata kepada Abdul Malik dan sembilan lagi tokoh 1Malaysia - empat penerima dari Semenanjung serta masing-masing tiga dari Sabah dan Sarawak.

Empat penerima dari Semenanjung Malaysia ialah tokoh sejarah terkemuka negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian dan Pengarah Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Zaiton Othman.

Tiga penerima dari Sarawak ialah bekas setiausaha kerajaan negeri Tan Sri Bujang Mohd Nor, pemimpin politik veteran Bidayuh Datuk Seri Dominic Dagok Raden dan pemimpin politik veteran yang juga pengasas Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Datuk Seri Tra Zehnder.

Selain Abdul Malik, dua lagi penerima dari Sabah ialah pemimpin politik veteran Tan Sri Datuk Ampung Payon dan bekas menteri Kabinet Sabah Datuk Pang Tet Tshung.

LUPA SEJARAH

Namun apa yang dibimbangkan generasi sebelum merdeka dan pembentukan Malaysia ini ialah sejarah negara bakal luput ditelan zaman jika generasi baru alpa dengan kemajuan dan kesenangan hidup hingga mereka memandang mudah nilai perpaduan dan semangat cintakan negara.

Dr Sivamurugan, 39, dari Tanjung Malim, Perak berkata tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda mudah leka dengan keselesaan yang dinikmati hari ini.

"Hampir mustahil bagi rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas negara mencapai kemerdekaan untuk membayangkan pahit getirnya hidup dijajah dan bagaimana jerihnya usaha generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan.

"Kerajaan melalui agensinya perlu merangka program untuk memahami erti sebuah kemerdekaan dan menanam semangat patriotik di kalangan generasi baru ini," katanya.

Pemimpin politik veteran Bidayuh, Dominic Dagok, 75, berkata gagasan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diilhamkan Perdana Menteri boleh menjadi pembakar semangat untuk memastikan rakyat Malaysia kekal bersatu padu dan Malaysia terus maju, berbekalkan semangat patriotik yang serupa di zaman sebelum dan selepas merdeka.

"Konsep 1Malaysia akan menjadi satu kesinambungan untuk kita terus menikmati hasil kemerdekaan yang diperjuangkan sebelum ini. Ia akan memupuk perpaduan dan membentuk bangsa Malaysia yang teguh dan bersepadu," katanya.

KERJASAMA

Dagok yang berasal dari Kampung Krusen, Serian, Sarawak berkata rakyat harus menghargai prisip 1Malaysia sebagai pembakar semangat untuk membina sebuah negara yang progresif dan berjaya.

"Dan semangat 1Malaysia harus diterapkan dalam segala aspek kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memastikan Malaysia terus melangkah maju ke hadapan," kata bekas presiden Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan itu.

Dr Khoo, 72, tokoh akademik yang aktif menulis artikel mengenai sukan, sejarah dan politik, menarik perhatian bahawa parti politik di negara ini turut memainkan peranan penting dalam usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Untuk memperkukuh perpaduan dan kestabilan politik di negara ini, beliau berkata parti-parti politik tidak harus memainkan api perkauman.

"Politik negara harus ke arah integrasi dan mengelakkan pemisahan kerana ia akan memecah-belahkan perpaduan yang kukuh terjalin selama ini.

"Ahli-ahli politik negara tidak harus lagi menggunakan pendekatan mementingkan hanya satu-satu kaum sahaja sebaliknya mereka harus mengalakkan integrasi untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya.

NASIHAT KEPADA GENERASI MUDA

Dr Khoo yang berasal dari Kampar, Perak berkata generasi baru harus menerapkan semangat jati diri Malaysia, dalam usaha mencapai gagasan Malaysia.

Beliau berkata generasi baru kini lebih mementingkan kaum sendiri daripada sebagai rakyat Malaysia.

"Setiap kali mereka memperkenal diri, mereka mengatakan 'saya Cina atau Melayu atau India'. Apa salahnya kalau berkata saya rakyat Malaysia berketurunan Cina?

"Ini akan menjadi batu loncatan dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia. Pemikiran ini perlu diubah. Kita harus menerapkan semangkat jati diri Malaysia untuk mengangkat martabat bangsa dan seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia," katanya.

Dr Hassan, Duta dan Wakil Tetap Malaysia ke Unesco, 73, dari Muar, Johor berkata dasar negara harus diperbaik dan diperhalus untuk memainkan peranan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Beliau banyak berusaha memajukan bahasa dan sastera Melayu serta memainkan peranaan penting dalam usaha menyatukan ejaan dan istilah antara Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya, katanya, perlu diperhalusi agar ia lebih mesra rakyat dan sejajar dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Kita tidak harus menjadi mangsa globalisasi tetapi kita harus maju mengikut model, rentak dan kesesuaian diri bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia," katanya.

SUKAN LANDASAN TERBAIK

Pengarah Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Zaiton Othman, sementara itu berkata sukan merupakan satu daripada landasan terbaik untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Zaiton, 50, dari Paya Keladi, Seberang Perai, Pulau Pinang merupakan wakil negara dalam pelbagai kejohanan sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Asian Veteran's Meet.

"Dalam bidang sukan, semangat 1Malaysia dengan mudah boleh diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana kita tidak mengenal agama, kaum dan warna kulit apabila kita menyokong pasukan dan wakil negara yang bertanding.

"Sehubungan itu, program dan usaha dalam memajukan sukan negara harus menerapkan semangat 1Malaysia," katanya.

Sumber : httpp://www.bernama.com/

Khamis, 22 Oktober 2009

MBMMBI perlu dipercepat untuk manfaat pelajar

PELAKSANAAN dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam sistem pendidikan mampu meletakkan status Bahasa Kebangsaan di tempat sewajarnya sejajar peruntukan perlembagaan. MBMMBI yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adalah strategi serampang dua mata kerajaan bagi memartabatkan bahasa Melayu tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris. Justeru, usaha kerajaan mempercepatkan MBMMBI yang sebelum ini disasarkan bermula pada 2012 kepada 2011, membabitkan murid Tahun Satu, mampu melerai kekusutan dalam usaha memperkukuh Bahasa Kebangsaan. Langkah memperluaskannya kepada murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat setahun kemudian pula membuka ruang untuk mengkaji kelemahan yang ada serta membuat penambahbaikan bagi memastikan matlamatnya dicapai. Sememangnya kaedah terbaik memperkukuh bahasa Melayu di kalangan masyarakat ialah menerusi penyediaan asas kukuh untuk generasi muda melalui asuhan bermula di bangku sekolah. Walaupun peringkat awal pelaksanaan MBMMBI mungkin memerlukan kos tinggi bagi penyediaan peralatan dan sebagainya, ia diyakini jauh lebih berkesan dalam melonjakkan penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu. Pelaksanaannya juga dapat meredakan kebimbangan beberapa pihak terhadap kedudukan bahasa Melayu yang seolah-olah semakin terpinggir kesan himpitan ledakan teknologi. Ia turut menjadi bukti komitmen kerajaan memperkukuh kedudukan bahasa itu, sekali gus menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat betapa ia harus didahulukan dalam segala hal.

Pada masa sama, pelaksanaan MBMMBI diharap dapat menghapuskan sebarang tekanan yang selama ini menghalang usaha kerajaan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Apabila ia sudah dididik dan diasuh secara sistematik melalui sistem pendidikan sejak di peringkat awal, masyarakat tiada alasan untuk mendakwa mereka tidak dapat menguasainya dengan baik. Ini sudah tentunya membuka pintu lebih luas untuk pelbagai langkah susulan mendaulatkan Bahasa Melayu dilaksanakan. Dalam konteks lebih besar, usaha itu juga pasti diterima baik kerana dilakukan tanpa mengabaikan hakikat bahawa bahasa Inggeris akan terus diperkukuhkan sejajar statusnya sebagai medium komunikasi utama antarabangsa. Ini tentunya memberi kelegaan kepada seluruh masyarakat kerana mereka mampu meraih faedah daripada kedua-duanya. Kecintaan terhadap bahasa Kebangsaan akan menyumbang ke arah pembentukan perpaduan dan jati diri masyarakat manakala keupayaan menguasai bahasa Inggeris meningkatkan daya saing di arena global. Atas dasar itu, kita harap kerajaan sedia mengambil apa juga langkah perlu bagi memastikan MBMMBI dapat dimulakan seawal 2011 kerana ia memang sesuatu yang amat wajar dipercepatkan demi manfaat semua pihak.

Sumber : http://www/bharian.com.my/

Rabu, 21 Oktober 2009

Memperlekeh bahasa Melayu gambaran warga tidak patriotik

Bersama Rejal Arbee

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi kuasa dalam tempoh terdekat untuk menghukum badan dan agensi sektor awam yang berdegil dan tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 akan dipinda untuk mengadakan peruntukan ini.

Langkah ini diambil dalam usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara kerana masih ada pihak yang terus berdegil tidak mahu menghormatinya. Walaupun terlambat usaha ini amat dialu-alukan. Tetapi persoalannya kenapa dihadkan kepada sektor awam saja?

Yang berterusan memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, selain beberapa kerat individu yang bukan saja tidak pernah menggunakan bahasa Melayu kerana sememangnya tidak mengetahuinya, adalah sesetengah syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terus menerus tidak menghiraukan penggunaannya dalam sebarang urusan mereka.

Maka itu, sejak beberapa waktu kebelakangan ini sering dilihat syarikat tertentu dengan sengaja tidak menghiraukan penggunaan bahasa Melayu. Gambaran diberi mereka ini tidak sedikit pun mahu menghormati kedudukan bahasa itu.

Agak menyedihkan melihat kumpulan yang mengakui sebagai rakyat negara ini tetapi masih tidak boleh bertutur Melayu walaupun kita sudah 52 tahun merdeka. Anehnya warga lain, dari Bangladesh, Nepal atau Vietnam dan pelbagai bangsa asing yang berduyun ke mari mencari rezeki, sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik meskipun berada di sini hanya dalam masa singkat.

Bagi sesetengah individu rakyat pula penguasaan bahasa Melayu mereka amat cetek sekali. Walaupun sudah belajar di sekolah, ia hanyalah untuk lulus peperiksaan bukannya untuk digunakan setiap hari. Maka itulah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina misalnya tidak memberi tumpuan serius terhadap pengajaran bahasa Melayu. Ia seperti melepas batuk di tangga.

Saya sebelum ini pernah menulis bagaimana sebuah syarikat pembuat syampu mengiklan keluarannya hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina di tepi laluan eskalator di Pasaraya Tesco di Shah Alam. Lebih mendukacitakan lagi majoriti penduduk dan pengunjung pasar raya itu adalah Melayu.

Tentu mereka tahu yang menjadi sasaran iklan itu adalah orang Melayu tetapi kenapa mereka ini terus menerus memperlekehkan bahasa Melayu dan sebaliknya membanggakan bahasa Cina dan Inggeris pula? Apakah ini tidak memberi gambaran bahawa mereka itu sedar ada sekumpulan rakyat negara ini yang tidak tahu dan tidak faham bahasa Melayu?

Apa pun, iklan itu kini sudah digantikan dengan bahasa Melayu. Pertukaran itu dibuat tentunya berikutan rungutan orang Melayu yang lalu lalang di situ terhadap iklan yang tidak langsung menghormati mereka sebagai pengunjung majoriti pasar raya itu.

Usaha memperlekehkan bahasa Melayu ini memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hingga kini pun masih berterusan. Anasir tidak patriotik ini mengambil kesempatan mengabaikan penggunaan bahasa Melayu hanya kerana wujudnya usaha kerajaan untuk mempertingkatkan pengajaran dan penggunaan bahasa Inggeris.

Tindak tanduk mereka ini jugalah menyebabkan ramai pencinta bahasa berkeras untuk menolak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah. Terakhir dua pemaju perumahan mengedarkan risalah tempahan rumah binaan mereka hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina.

Lebih mendukacitakan risalah itu diedarkan ke rumah di Shah Alam di mana hampir 90 peratus penghuninya orang Melayu. Apa muslihat mereka itu sebenarnya? Apakah pemaju itu tidak mengharapkan orang Melayu membeli rumah mereka? Mungkin juga mereka menganggap orang Melayu tidak mampu membeli rumah yang mereka bina itu?

Tetapi kenapa pula risalah itu diedarkan di kawasan perumahan di mana kebanyakan penghuninya adalah orang Melayu? Dalam tempoh dua tiga minggu ini saja dua lagi risalah demikian diedarkan di rumah-rumah di Shah Alam, satu oleh Nippon Paint (boleh dikatakan keseluruhan risalah itu adalah dalam bahasa Cina dengan sedikit keterangan dalam bahasa Inggeris).

Tiada sepatah pun perkataan Melayu dalam risalah itu. Sekeping lagi risalah demikian ialah dari ‘Yes Optical’ yang membuat promosi syarikat cermin mata itu di Tesco Shah Alam. Tindakan mereka ini memberi gambaran betapa tidak hormatnya anasir itu terhadap bahasa Melayu yang semua rakyat sepatutnya sudah terima sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara ini.

Sebenarnya orang Melayu patut memboikot saja rumah atau barangan keluaran syarikat yang sedikit pun tidak mahu menghormati bahasa negara ini. Nama saja mereka ini beroperasi dan berdagang di sini tetapi sedikit pun tidak mahu menghormati Melayu.

Jadi elok sangatlah mereka ini yang sedikit pun tidak mahu berbangga dengan bahasa negara sendiri ini juga dikenakan hukuman. Harapnya akhbar akan mengumumkan nama mana-mana pihak yang disabitkan hukuman demikian supaya rakyat patriotik negara ini akan tahu siapa petualang itu dengan memboikot penggunaan barangan buatan atau keluaran mereka.

Usaha memartabatkan bahasa ini patut pula merangkumi penggunaan perkataan dan istilah Melayu. Kiranya sudah ada sesuatu perkataan Melayu kenapa perlu perkataan Inggeris dipinjam pula? Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak istilah Melayu yang sudah pun wujud tetapi tidak digunakan kerana ada pihak lebih selesa menggunakan perkataan Inggeris yang diMelayukan.

Maka itu timbullah perkataan ‘kudeta’ untuk ‘coup d’etat’ walhal sudah wujud istilah ‘rampasan kuasa’, ‘matematik’ menggantikan ‘ilmu hisab’, ‘informasi’ untuk penerangan dan keterangan, ‘lokaliti’, ‘bajet’, ‘imej’, ‘replika’ dan bercambah lagi perkataan Inggeris yang diMelayukan. Apakah ini saja cara untuk memperkayakan bahasa Melayu?

Dengan meminjam secara borong pelbagai perkataan Inggeris hingga perkataan Melayu yang sedia ada pun hendak diganti? Dalam hal ini media berbahasa Melayu juga harus dipertanggungjawabkan. DBP tentunya mempunyai peranan untuk memantau perkara ini supaya penggunaan istilah Inggeris ini tidak menjadi-jadi hingga perkataan Melayu yang sedia ada tidak digunakan lagi dan mungkin nantinya akan pupus pula.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Pemansuhan PPSMI muktamad, pastikan MBMMBI berjaya

TAN Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menegaskan bahawa keputusan pemansuhan PPSMI adalah muktamad. Kenyataan itu sekali gus menolak desas-desus bahawa kerajaan masih belum 'tetap hati' berhubung keputusan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tersebut.

Malah Muhyiddin turut menegaskan bahawa pemansuhan PPSMI itu mungkin akan dipercepatkan.

Tarikh yang ditetapkan sebelum ini ialah pada 2012. Namun jika tiada aral, ia mungkin akan dipercepatkan kepada 2011.

Bagaimanapun seperti kata Menteri Pelajaran itu, segala-galanya bergantung kepada kesediaan semua pihak dalam semua aspek sebelum PPSMI dimansuh dan digantikan dengan dasar baru - Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ia memberi gambaran bahawa kerajaan tidak mahu sekali lagi terjerumus ke dalam ketidakpastian apabila sesuatu dasar diperkenalkan. Kerajaan tidak mahu 'kegagalan' dasar PPSM berulang.

Pelaksanaan dasar baru itu diharap berjaya dan memberi manfaat kepada semua. Paling penting MBMMBI mampu merealisasikan cita-cita kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya, sesuatu dasar itu memerlukan perancangan, penelitian dan persediaan rapi.

Ia tidak boleh dilakukan secara sambil lewa atau tangkap muat semata-mata. Pelaksanaan MBMMBI perlu mengambil kira pelbagai perkara.

Jumlah guru yang mencukupi selain kesediaan kurikulum dan buku teks untuk mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris merupakan kemestian utama.

Seperti kata Muhyiddin, pelaksanaan dasar baru MBMMBI itu bakal menyaksikan penyediaan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru baru bahasa Inggeris.

Jumlah tersebut bukannya sedikit dan ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Kerajaan perlu mengambil pengajaran daripada pelaksanaan PPSMI. Tempoh yang singkat antara perancangan dan pelaksanaan - hanya enam bulan - menyebabkan banyak kecacatan timbul selepas itu.

Banyak kelemahan di sana dan di sini. Walaupun tujuannya sangat baik namun kurang persediaan menyebabkan PPSMI menjadi 'kurang menarik'.

Dan jika semua perkara dapat disediakan sebelum akhir tahun depan, tidak mustahil untuk MBMMBI dilaksanakan pada Januari 2011.

Ia awal setahun daripada tarikh awal rancangan pemansuhan PPSMI tersebut.

Namun sekiranya persediaan itu gagal disempurnakan pada akhir 2010, maka kerajaan akan melaksanakan dasar MBMMBI tersebut seperti perancangan awal iaitu pada 2012.

Bagaimanapun bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pemansuhan PPSMI kekal pada 2012. Keputusan itu juga dibuat selepas kerajaan mengambil kira semua perkara.

Apa yang pasti pemansuhan PPSMI adalah muktamad. Ia tidak perlu diragui lagi. Ia tidak perlu diperdebatkan lagi.

Kita harap selepas ini tidak ada mana-mana pihak yang cuba menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi juara di mata rakyat.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10



KUALA LUMPUR 20 Okt. - Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan, 60, atau nama penanya Anwar Ridhwan diumum sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-10.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah tersebut kepada tokoh sastera dan bahasa itu yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Turut berangkat pada majlis yang diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan dekat sini malam ini ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Pemilihan tersebut membolehkan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 serta pelbagai kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera.

Kerajaan turut membeli 50,000 naskah karya beliau untuk diedarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah tersebut di sini malam ini, Muhyiddin berkata, pemilihan Anuar berdasarkan sumbangan kreatif dan kesan pemikiran sehingga membentuk tradisi persuratan tersendiri bagi masyarakat negara ini.

Beliau berkata, ketegaran dalam mendalami dan mempertahankan nilai pembinaan negara bangsa yang diperjuangkan menjadi penilaian utama ahli panel untuk memilih penerima anugerah.

''Di samping itu, komitmen sasterawan dalam kegiatan sastera secara berterusan sehingga membentuk tradisi persuratan yang tersendiri serta didukung dan diteruskan oleh generasi penulis juga dijadikan asas penilaian," katanya.

Beliau berkata, pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam berterusan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.

Berikutan itu kata beliau, sebagai tanda penghargaan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan jumlah ganjaran daripada RM30,000 kepada RM60,000.

Muhyiddin juga menyarankan agar penterjemahan karya Sasterawan Negara dan karya-karya besar yang lain diusahakan dengan lebih terancang.

Menurutnya, akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga perlu memberikan ruang lebih luas kepada penyiaran tulisan-tulisan ilmiah berkaitan sastera.

''Karya-karya ini boleh disiarkan di akhbar-akhbar vernakular dan diuar-uarkan di media baru sebagai salah satu kaedah pengembangan dan pemasyarakatan sastera kebangsaan sekali gus mengukuhkan lagi semangat perpaduan 1Malaysia," katanya.

Anuar yang dilahirkan pada 5 Ogos 1949, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya sebelum memulakan tugas sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bersara selaku Pengarah Penerbitan pada tahun 2005.

Antara cerpen beliau yang popular ialah Parasit, Sesudah Perang, Sangkar dan Dunia Adalah Sebuah Apartmen manakala drama pula seperti Orang-orang Kecil serta Yang Menjelma dan Menghilang.

Novel terkenal beliau ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Ogonshoto.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Dasar ganti PPSMI 2011

Pelaksanaan martabat BM, perkukuh BI murid Tahun Satu dipercepat setahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata pelaksanaan lebih awal MBMMBI bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bergantung kepada beberapa faktor.

Antaranya, bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan MBMMBI untuk murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat pula bermula 2012 untuk membolehkan kementerian membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran. Beliau turut menegaskan walaupun terdapat rayuan dan desakan supaya PPSMI diteruskan, kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan pihak berkenaan.

"Sebaliknya, pandangan yang disuarakan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar baru," katanya menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Nor ingin mendapatkan penjelasan mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata kementerian menetapkan 2012 sebagai tahun pelaksanaan dasar baru itu bagi mengelak masalah seperti yang terjadi kepada PPSMI.

"Tujuan kita untuk dilaksanakan pada 2012 ialah untuk membuat persiapan penting kerana pengalaman waktu kita melaksanakan PPSMI dulu, tempoh untuk pihak kementerian buat persiapan ialah enam bulan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PPSMI sejak 2003 membabitkan kos sebanyak RM5 bilion meliputi penyediaan peralatan dan latihan guru.

"Bagi pelaksanaan dasar MBMMBI, kementerian akan memohon peruntukan yang secukupnya untuk menjayakan dasar itu, di samping mengguna pakai kemudahan sedia ada," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam pelaksanaan MBMMBI, kementerian memerlukan 13,000 guru tambahan untuk ditempatkan di seluruh negara dan mulai tahun depan, pengambilan 1,000 guru bahasa Inggeris akan dibuat.

Menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Muhyiddin menegaskan kerajaan tidak mungkin kembali melaksanakan PPSMI kerana MBMMBI selaras dengan dasar negara yang mahu memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Sambil menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai muktamad, Timbalan Perdana Menteri berkata, MBMMBI berfungsi sebagai serampang dua mata kerana selain memartabatkan Bahasa Kebangsaan, kerajaan tidak meminggirkan aspek penguasaan dan pengukuhan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Muhyiddin berkata, satu daripada dorongan kuat ketika pimpinan kerajaan hendak menyediakan dasar baru itu ialah untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan beliau yakin pembangkang turut bersetuju.

"Kita mahu memperjuangkan Bahasa Melayu tetapi pada masa sama masyarakat hari ini tahu untuk memasuki dunia sekarang yang kompetitif, Bahasa Inggeris juga menjadi bahasa penting.

"Atas dasar itu saya tidak fikir kita akan berpindah balik kepada dasar lama... saya amat menghormati Tun (Dr Mahathir Mohamad). Saya nyatakan kita hendak membuat pindaan, mungkin dia tidak begitu setuju tetapi tidaklah keras sangat.

"Dia (Dr Mahathir) faham keputusan sudah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dia penyokong BN dan Umno, nampak dia tidak beri kenyataan keras seolah-olah kita kena patah balik," katanya.

Sumber : http: //bharian.com.my/