Isnin, 30 April 2012

ISU BAHASA : Melengkapi warga Melayu global


OLEH : TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Minggu lepas, saya bagi sekian kali, membicarakan betapa pentingnya orang Melayu/Pribumi menguasai minimum tiga bahasa - Melayu, Inggeris, Mandarin atau Arab. Kalau minda mampu dan ekonomi mencukupi empat, pilihan antara Sepanyol, Perancis, Jepun dan Jerman.

Secara kebetulan pula Perdana Menteri Najib Tun Razak pada hujung minggu yang sama ketika berkempen di Sandakan, Sabah menggalakkan rakyat Malaysia khasnya Pribumi menjadi orang trilingual - petah secara lisan dan menulis dalam Bahasa Melayu (BM), Inggeris (BI), Mandarin atau Arab. Kalau anda ragu menerima nasihat saya yang diulangi tegas Speaking, “ad nauseam” atau direpetisikan tanpa jemu dengarlah pesanan Najib kerana dia seorang pemimpin yang berwibawa, berkaliber; tujuannya baik.

Anda tidak akan rugi dan menyesal menerima petua yang baik daripada apa sumber dan siapa pun. Saya ulangi kata Najib, “Sekarang Mandarin menjadi bahasa pertuturan antarabangsa. Jika anda menguasai BM, BI dan Mandarin, ia menjadikan anda hebat untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Dua anak saya - sebagai contoh - seorang mempelajari Mandarin dan seorang lagi bahasa Arab selain BM dan BI.” (Berita Minggu, 22 April 2012).

Kedua bahasa Mandarin dan Arab bukan sahaja antara enam bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi diguna dalam pertuturan kalangan komuniti antarabangsa malah memudahkan (kalau benar-benar mahir dalam bahasa itu) persaingan mendapat pekerjaan, menceburi perniagaan.

Puluhan ribu, kata orang lebih 100,000 murid Melayu dan bilangannya sedang meningkat belajar di sekolah Cina kerana sekolah tersebut dipercayai memberi disiplin, etika kerja dan gurunya lebih bertenaga, bersungguh dan tinggi komitmen dalam mendidik. Pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah Cina juga dilihat lebih bermutu dan berjaya berbanding sekolah kebangsaan. Di sekolah Cina, mengikut legenda ataupun pada realiti - bergantung dengan siapa anda bercakap - murid sekali gus mempelajari tiga bahasa - BM, BI dan Mandarin.

Beratus-ratus pula anak pembesar dan elit Melayu daripada prasekolah lagi dihantar ke sekolah swasta antarabangsa yang bahasa pengantarnya BI kerana destinasi anak ini universiti berjenama di luar negara. Lazimnya anak ini apabila lulus kelak mendahului pelajar lain ketika memasuki alam pekerjaan dan kerjaya.

Majoriti mereka juga tidak akan memasuki perkhidmatan awam kerana BM mereka lemah, kadangkala tidak ada langsung. Maka jadilah perkhidmatan awam satu kerjaya yang didominasi graduan lokal. Dunia ekonomi, industri, kewangan, teknologi canggih, inovasi terbaru, syarikat multinasional pula didominasi graduan seberang laut. Suka duka itu sudah pun berlaku sekarang dan akan lebih ketara dan satu kenyataan masa depan.

Ibu bapa mengejar bahasa kerana nilai ekonominya tinggi, darjat, harkat, sosialnya agung. Sebab itulah menteri, timbalan menteri, pegawai tinggi kerajaan, orang korporat hatta orang biasa yang bervisi mendidik anak mereka di sekolah yang bahasa pengantarnya BI. Tetapi ramai lagi sebenarnya terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan yang tidak semuanya menggunakan BM yang indah, bahasa yang mempunyai nilai kesusasteraan tinggi. BI dianggap oleh majoriti manusia sebagai bahasa politik, kultural, ekonomi, high finance dan penyelidikan.

Terlintas di kepala: Mana Usman Awang, Adibah Amin, Munsyi Abdullah, Tun Seri Lanang dan Zaaba baru sekarang? Dalam bidang perfileman, nyanyian dan muzik, mana P Ramlee, Saloma dan Sudirman baru?

Bahasa kacukan dan pidgin makin menjadi-jadi. Sepatutnya RTM, TV3, NTV7, TV9, Astro Awani dan radio menggunakan bahasa baku seperti BBC menggunakan Queen’s English atau hampir dengannya; CCTV bahasa Mandarin sebutan Beijing, CNN BI pelat Amerika. Saya tidak menentang penggunaan bahasa daerah atau loghat. Ini bisa dalam program tertentu tetapi tidaklah pada program perdana dan berita perdana. Sekarang kita memasuki zaman bahasa SMS, bahasa telegram; lebih teruk bahasa Tarzan!

Di Kelantan saya menggunakan loghat Kelantan. Sudah lama saya tidak melihat wayang kulit, makyong, menora - ketiga-tiga ini menggunakan loghat, pelat dan bahasa tersendiri. Sudah lama saya tidak mendengar bahasa hantu (bahasa jampi) iaitu bahasa yang ditutur khas oleh bomoh, pawang dan tok puteri.

Hingga kini BI terus dianggap dan diletakkan pada tahap tertinggi dalam semua bidang kehidupan di negara kita walaupun BM bahasa rasmi tunggal, bahasa nasional dan lingua franca rakyat. Kadangkala contoh yang terang seperti gambar di atas: Bahasa Mandarin di atas, bahasa kebangsaan di bawah! Kadangkala BI dan bahasa Mandarin sahaja! Perkara begini tidak akan berlaku di negara yang bermaruah tinggi seperti Indonesia, Thailand, Jepun dan Mesir. BM terus dilihat orang Melayu sendiri dan kerajaan pun sebagai bahasa vernakular!

Selagi BM tidak diberi nilai ekonomi dan sosial yang tinggi di buminya sendiri, selagi itulah ia tidak akan dimuliakan! Saya bisa, kalau perlu mengguna bahasa Istana/Keraton atau bahasa beradat. Saya amat kecewa dengan kerajaan kerana tidak tegas dalam melaksanakan BM dan meletakkannya di tempat tertinggi.

Apa pun ‘semangat bahasa jiwa bangsa’ semakin lemah. Di mana Syed Nasir, Ungku Aziz, Aminuddin Baki baru? Ke mana sudah pergi Persatuan Guru-guru Melayu Semenanjung, Persatuan Penulis Nasional (Pena), Gapena, persatuan Bahasa Melayu di universiti-universiti dan media Melayu? Sedih, sungguh masyghul; sungguh mendukacitakan. Pejuang bahasa tulen dan yang jujur hanya wujud ketika Dewan Bahasa dan Pustaka tiada bangunan pencakar langit.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Malangnya bahasa Melayu


Oleh ZAINAL ABDUL KADIR

TULISAN Prof Sohaimi Abdul Aziz, Berbudikah Melayu kepada bahasa? (Mingguan Malaysia, 8 April 2012), sewajarnya dijadikan iktibar dan peringatan kepada bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Apakah kita mahu suatu hari nanti bahasa rasminya bukan lagi bahasa Melayu?

Kebimbangan Sohaimi amat jelas pada ayat berikut: Bangsa yang lupa diri adalah bangsa yang lupa kepada bahasanya. Jadi, Melayu yang lupa diri dan keperibadiannya akan lupa kepada kehebatan dan kehalusan bahasanya.

Siapakah yang ingin dipersalahkan dalam perkara ini? Menuding jari bukanlah caranya mencari jalan penyelesaian sebaliknya akan saling tuduh menuduh dan akhirnya bahasa Melayu yang menjadi mangsa terkulai layu.

Apakah benar orang Melayu tidak mencintai dan menghormati bahasa sendiri? Mungkin kenyataan ini ada benarnya. Namun begitu, jika kita mengambil Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai contoh, bahasa Melayu masih terpelihara dan dihormati. Setiap tulisan yang dipaparkan di KLIA jelas mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tulisan bahasa Melayu lebih besar saiznya daripada bahasa asing dan tulisan bahasa Melayu diletakkan di sebelah atas tulisan bahasa asing yang secara tidak langsung menggambarkan bahasa Melayu itu didahulukan dan dihormati di negara sendiri. Justeru, di pintu masuk utama negara, awal-awal sudah diberitahu kepada warga asing bahawa bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Melayu.

Begitu juga dengan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang telah memasuki edisi keenam. Kesungguhan Perdana Menteri menganjurkan setiap tahun, jelas beliau ingin memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa. Pada tahun ini sebanyak 69 peserta dari 64 negara menyertai PABM. Penyertaan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah dipelajari dan dituturkan dari seluruh pelosok dunia. Malah penuturnya adalah terdiri daripada generasi muda yang begitu bersungguh-sungguh ingin menguasai bahasa Melayu dengan fasih. Hal ini begitu ketara pada setiap aksi peserta yang menunjukkan kebolehan masing-masing.

Namun begitu, kegusaran Sohaimi terhadap masa depan bahasa Melayu seolah-olah begitu tenat. Beliau menyalahkan bangsa Melayu yang telah tersasar jauh kerana mengabaikan bahasa Melayu tetapi sebaliknya mengendong bahasa asing. Malah Sohaimi merayu dengan kenyataan berikut:

Bangsa Melayu, kembalilah ke pangkal jalan untuk mencintai dan menghormati bahasa sendiri. Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, siapa lagi akan menghormatinya. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai.

Memang benar bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai. Ini diakui pada zaman kegemilangan Melaka, setiap pedagang yang datang ke Melaka, akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi ketika menguruskan perniagaan.

Bahasa ilmu

Ini bermakna pedagang tersebut awal-awal telah mempelajari bahasa Melayu sebelum datang ke Melaka kerana ingin menjalankan perniagaan. Keinginan untuk mempelajari bahasa Melayu jelas menunjukkan mereka menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang digunakan dalam urusan perniagaan.

Sebagai contoh yang lain, Frank Swettenham merupakan Residen British yang pertama di negeri Selangor dalam tahun 1882. Ketika beliau tiba di Singapura pada tahun 1871, Frank telah mempelajari bahasa Melayu dengan seorang Munshi bernama Mohammed Said dan lima belas bulan kemudian, beliau lulus peperiksaan akhir dan juga mendapat kelayakan sebagai Jurubahasa Mahkamah.

Kesungguhan Frank Swettenham mempelajari bahasa Melayu menunjukkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mesti dipelajari kerana bahasa Melayu telah membantu beliau mentadbir Tanah Melayu khususnya membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbirannya. Malah Swettenham telah menulis lebih daripada 12 buah buku berkenaan Malaya, termasuk kamus Melayu-Inggeris-Melayu yang mula-mula diterbitkan pada tahun 1881.

Yang lebih menarik, bahasa Melayu juga telah lama diiktiraf sebagai bahasa diplomasi di rantau ini dengan bukti UNESCO mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah dalam bahasa Melayu bertulisan jawi pada abad ke-19 kepada kerajaan Inggeris suatu ketika dahulu sebagai salah satu warisan dunia. Justeru, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantara antara dua benua.

Sehubungan itu, rayuan Sohaimi mesti diambil serius oleh setiap orang yang berbangsa Melayu khususnya.

Apakah beban tersebut perlu dipikul kesemuanya oleh pejuang-pejuang bahasa? Sedangkan rakyat Malaysia tidak ikut serta memperjuangkannya? Rakyat Malaysia lebih rela mengendong bahasa asing dan mengorbankan bahasa sendiri semata-mata itulah kehendak global. Malah kejayaan bahasa asing menguasai di setiap sudut sama ada ekonomi, pendidikan, hiburan, media dan sebagainya adalah satu kejayaan penjajah menjajah minda rakyat supaya mengikut telunjuk mereka.

Sebagai contoh, sering kali ditemui iklan-iklan yang menggunakan bahasa asing. Tanpa rasa simpati, bahasa Melayu tidak digunakan langsung di papan-papan iklan tersebut. Malah mereka dengan rasa bangga meletakkan tulisan bahasa asing itu dengan saiz tulisan yang sebesar-besarnya seolah-olah itulah bahasa yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan.

Dan saat melihat dan membaca tulisan tersebut, seolah-olah dirasakan sedang berada dan melancong di negara asing. Apakah gejala ini akan berterusan sehingga bangsa Melayu bahasa rasminya bukan lagi bahasa Melayu suatu hari nanti?

Kegelisahan Sohaimi dalam tulisannya perlu dihayati oleh rakyat Malaysia yang menerima Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini. Jadi, kegusaran Sohaimi ada kewajarannya sebagai seorang ahli akademik kerana beliau sudah tentu tidak mahu bahasa Melayu 'hidup segan mati tak mahu' malah akan terpinggir selama-lamanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PEKERJA : Gaji minimum diumum malam ini


Oleh : G MANIMARAN

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan gaji minimum, yang dinanti-nantikan oleh hampir lima juta pekerja sejak lebih setahun lalu, malam ini dengan kadarnya dianggarkan antara RM800 hingga RM1,000.

Pengumuman itu, yang difahamkan lebih tinggi berbanding syor Majlis Perundingan Gaji Negara, akan dibuat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sempena sambutan Hari Pekerja yang jatuh esok.

Kedua-dua Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meletakkan harapan masing-masing dengan kadar "bersejarah" itu, yang dijangka akan memberi kesan besar ke kadar upah tenaga kerja di negara ini dalam jangka panjang.

MTUC berharap kadar yang akan diumumkan malam ini akan mendatangkan manfaat menyeluruh dengan dikuatkuasakan di seluruh negara serentak dalam waktu yang singkat manakala MEF pula berharap pengumuman gaji mininum tidak mencetuskan tekanan ke atas harga barang.

Awal bulan ini, Najib berkata, beliau akan mengumumkan keputusan kerajaan tentang dasar gaji minimum pada akhir April.

Pengumuman mengenai kadar gaji minimum telah dinanti lebih setahun. Tahun lalu kerajaan membentuk Majlis Perundingan Gaji Negara, yang diberi tanggungjawab untuk tampil dengan syor berkenaan satu kadar yang sesuai.

Berdasarkan syor itu, Kabinet meluluskan satu kadar yang munasabah bagi pekerja-pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Kami berharap gaji minimum ini akan dikuatkuasakan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan. Kalau ada majikan yang hendak melaksanakan pada bulan depan, OK. Tetapi kami mahu kerajaan memastikan ia dilaksanakan di seluruh negara dalam satu tempoh, katakan enam bulan, tidak mahu lebih lama daripada tempoh enam bulan," kata Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor kepada Sinar Harian Online.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ilmu asas pembangunan Islam


Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud

Ulama jadikan penulisan medium dakwah utama

IMAM Syafie pernah mengatakan ilmu itu (umpama) binatang buruan, tulisan itu (laksana) ikatan, ikatlah binatang buruan itu dengan kuat (supaya tidak dapat lari).

Kata-kata Imam Syafie ini memberi gambaran kuatnya ikatan antara buku dan ilmu, penulis dan pembaca, pendakwah dan sasaran dakwah. Maka tidak hairanlah jika ulama terdahulu menulis buku dan menghasilkan buku hingga akhir hayat mereka.

Tidak kurang juga yang menulis walau di dalam penjara kerana bagi mereka menyampaikan dakwah Islam, usaha itu tidak akan terhenti walaupun di tirai besi.

Contohnya, tafsir Fi Zilalil Quran ditulis oleh Syed Qutub ketika di dalam penjara dan Profesor Hamka menulis Tafsir Al-Azhar di balik tirai besi. Iltizam dan semangat ulama terdahulu untuk mewariskan ilmu kepada ummah wajar dicontohi.

Dunia Islam kaya dengan warisan ilmu hinggakan bandar jajahan Islam dikenali sebagai kota ilmu. Buktinya jelas seperti terbinanya Baitul Hikmah, perpustakaan ulung umat Islam.

Jika diimbau kembali, ulama dulu menjadikan penulisan sebagai medium dakwah utama mereka. Selain menyampaikan ceramah, kuliah, syarahan, mereka juga kaya dengan buku tulisan masing-masing yang menjadi rujukan hingga ke hari ini.

Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan mengangkat darjat orang yang berilmu. Bahkan tuntutan menuntut ilmu dalam Islam adalah suatu tuntutan fardu ain bagi setiap manusia.

Sabda Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik maksudnya: “Menuntut ilmu adalah fardu atas setiap orang Islam dan penuntut ilmu akan didoakan keampunan oleh semua makhluk termasuk ikan-ikan di lautan.” (Hadis riwayat Ibn Abd Al-Bar)

Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima olah Rasulullah yang maksudnya: “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 1-5)

Ulama membahagikan ilmu kepada beberapa pecahan iaitu ilmu teras agama yang wajib dikuasai, ilmu al-quran dan tafsirnya, ilmu hadis dan kitabnya, sirah nabawiyyah, ilmu tauhid, ilmu fiqh dan tasauf Islam.

Ilmu berkaitan sejarah dan sirah supaya memahami inti pati dan belajar daripada sejarah, ilmu berkaitan bahasa yang menjadi kuasa baru dunia, ilmu pembinaan modal insan dan sains sosial seperti psikologi serta kaunseling. Begitu juga ilmu berkaitan kehidupan manusia hari ini.

Menyusuri sejarah hidup ulama silam, mereka bersungguh dan rajin mencari ilmu. Imam al-Syafie mengembara meninggalkan kampung halaman ke Iraq, Parsi, Palestin dan Yaman untuk menuntut ilmu.

Ketika umur 10 tahun, Imam Syafie telah menghafaz Kitab al-Muwattak karangan Imam Malik. Berdasarkan kefaqihan beliau dalam bidang agama, Imam Syafie dilantik menjadi pakar rujuk di Masjid Al-Haram dan mengeluarkan fatwa menyelesaikan permasalahan umat Islam di usia 15 tahun.

Antara kata-kata Imam Syafie yang masyhur ialah: “Saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali dengan enam perkara. Aku akan beritahu kepadamu penjelasannya. Kepintaran, keinginan, kesungguhan dan zuhud, serta melazimi guru dan tempoh masa yang lama.”

Rasulullah SAW juga bersabda daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang berjalan untuk mencari ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan untuknya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Ahmad)

Kita sering cemburu dengan budaya masyarakat di negara bukan Islam yang cintakan ilmu dan buku. Senario di stesen bas, dalam kereta api, tempat awam, sehingga di tandas pun kita akan lihat budaya membaca dihidupkan.

Oleh itu, usaha utama yang perlu dilakukan ialah dengan mengubah sikap masyarakat yang malas membaca kepada cintakan ilmu pengetahuan dan minat membaca.

Penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita.

Disamping itu, alangkah baiknya jika setiap rumah mempunyai perpustakaan mini dan ibu bapa juga memperuntukkan perbelanjaan keluarga dengan membeli buku ilmiah.

Salah satu cara menghidupkan budaya ilmu dalam masyarakat ialah dengan memperbanyakkan buku ilmiah untuk bacaan dan rujukan ummah. Perkembangan penulisan buku di Malaysia juga begitu memberangsangkan sama ada ditulis tokoh agama atau anak murid yang menulis kembali syarahan gurunya di kuliah mahupun kelas pengajian.

Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah masjid sudah mula memberi nafas baru kepada kuliah dengan program bicara buku tokoh agama. Kuliah Maghrib, Subuh atau kuliah mingguan menjadi interaktif apabila penulis sendiri datang menerangkan isi kandungan buku sambil diteliti jemaah.

Oleh yang demikian, ulama, cendekiawan dan ilmuwan perlu memainkan peranan menghasilkan buku ilmiah bermutu dan menterjemahkan buku dari bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa ke dalam bahasa ibunda untuk rujukan masyarakat.

Rasulullah bersabda daripada Abu Bakar As-Siddiq yang bermaksud: “Jadilah kamu orang yang berilmu, yang mempelajari ilmu, yang mendengar dalam majlis ilmu atau yang cintakan ilmu. Jangan kamu menjadi orang yang kelima nescaya kamu akan binasa.” (Hadis riwayat Tabrani).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 29 April 2012

ISU PENDIDIKAN : Rakyat dipelawa sertai dialog Nasional Pendidikan Negara 2012


PUTRAJAYA: Kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 bagi memartabatkan sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sesi dialog, rakyat juga boleh menyalurkan pandangan mereka melalui twitter, facebook dan laman sesawang kajian semula pendidikan bermula hari ini sehingga pertengahan Julai nanti. "Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baru transformasi," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed; Ketua Pengarah, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Pengerusi Panel Penilaian Bebas Kajian Semula Pendidikan, Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak. Muhyiddin berkata, satu laporan awal disediakan selepas kajian itu dilakukan dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan mereka sebelum dokumen Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa siri dialog tersebut bukan medan untuk mengutarakan tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara.

Jelasnya, siri dialog itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina/Tamil, mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

"Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala sekolah-sekolah yang lain pula terabai," katanya.

Menurutnya, kerajaan menetapkan sembilan bidang utama kajian semula pendidikan iaitu: memartabatkan profesion keguruan; meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah; meningkatkan kualiti sekolah yang merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran; memantapkan kualiti dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21.

Seterusnya, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid; penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan; meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja; memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Katanya, transformasi pendidikan penting bagi melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui pendidikan bertaraf dunia.

"Kita mensasarkan dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia bakal meraih kejayaan seperti Korea, Finland, New Zealand dan Singapura yang berada pada kedudukan teratas dalam pencapaian pentaksiran di peringkat antarabangsa," katanya.

Jelasnya melalui usaha berterusan kerajaan, sektor pendidikan terus mengalami perubahan sejak penggubalan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979 serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988.

"Jika kita menoleh ke belakang, pada 1970 hanya 75 peratus rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Namun hari ini kadar literasi di negara kita telah meningkat kepada lebih 90 peratus. Demikian juga halnya dengan taraf sosio-ekonomi rakyat," katanya.


Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli panel dialog nasional pendidikan negara iaitu Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin yang juga Pengerusi Universiti Teknologi MARA.

Ahli panel lain termasuk Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Tan Sri Sulaiman Mahbob, dua bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharudin dan Dr Zahri Aziz.

Mereka juga termasuk Pengerusi Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Dr Zulwali Kifli Merawi; Pensyarah Kuliyyah Pendidikan UIA Malaysia, Prof Datuk Dr Sidek Baba; Pengerusi Kolej Yayasan Sabah, Datuk Kamal D E Quadra; Timbalan Dekan Sekolah Sains Sosial USM, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian; Timbalan Pengarah Institut Alam & Tamadun Melayu UKM, Prof Dr Teo Kok Seong dan pengurus besar Policy Initiative Telentcorp Malaysia, Agnes Maria San.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, panel khusus itu akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak yang berkepentingan dan masyarakat di seluruh negara untuk mengumpul pandangan sebelum ia dijadikan sebagai pelan tindakan pada Ogos nanti dan menyiapkan laporan lengkap sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

ISU BAHASA : Ada pihak di seberang tolak konsep rumpun Melayu


Oleh : Zin Mahmud

TIDAK lama dahulu, akhbar Kompas, Indonesia menyiarkan laporan ini:

"Anggapan yang salah jika dikatakan Indonesia merupakan bangsa serumpun dengan Malaysia. Indonesia lebih hebat dan lebih beragam dibandingkan Malaysia.

"Kalau disebut bangsa serumpun, identik dengan Melayu saja, sedangkan suku bangsa, bahasa, dan budaya suku lain dinihilkan (ditiadakan).

"Serumpun apanya? Dalam bidang suku dan budaya, Malaysia tidak ada kaitannya sama sekali dengan budaya Papua, Flores, maupun budaya lainnya yang ada di Indonesia. Indonesia lebih luas, hebat, dan beragam!" kata sejarawan Dr Anhar Gonggong dalam Seminar "Cross Cultural Fertilization: Sebuah Strategi Kebudayaan" yang berlangsung di Universitas Paramadina Jakarta,."

Saya tertarik dengan laporan ini kerana ia menunjukkan bahawa gagasan rumpun Melayu antara Malaysia dan Indonesia rupanya ditolak oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia.

Sedangkan di Malaysia, sekurang-kurangnya konsep rumpun Melayu yang meliputi Malaysia dan Indonesia itu adalah suatu yang diterima sebagai fakta sejak negara ini belum merdeka lagi.

Ia seolah-olah hanya pihak Malaysia, atau lebih tepat lagi orang Melayu di negara ini yang terhegeh mahu menjadi saudara serumpun kepada Indonesia, sedangkan di sebelah seberang sana, ada antara mereka tidak dapat menerimanya.

Tetapi saya berasakan penolakan mereka terhadap gagasan rumpun Melayu itu adalah kerana konsep bangsa Melayu yang ditafsirkan secara berbeza oleh kedua-dua negara.

Bagi orang Malaysia, apabila disebut rumpun Melayu, ia meliputi keseluruhan peribumi yang mendiami seluruh gugusan kepulauan Melayu, dari segi sempadan politiknya kini meliputi Malaysia dan Indonesia.

Melayu itu hanyalah nama suatu bangsa keluarga besar bagi keseluruhan bumiputera kepulauan Melayu. Ia merujuk bukan saja Melayu di Semenanjung Malaysia dan Sumatera tetapi semua suku kaum, besar dan kecil, termasuk Jawa, Aceh, Batak, Iban, Kadazan, Bugis, Banjar hinggalah ke Maluku, Flores malah Papua. Maknanya keseluruhan peribumi di kepulauan Malaysia dan Indonesia.

Justeru apabila ada pihak yang menyebut bahawa Malaysia tidak ada kaitan dengan Flores dan Papua, maka justeru negara ini dan Indonesia tidak boleh dianggap serumpun, maka itu tidak tepat.

Dalam Malaysia pun, kalau dikira daripada suku kaum, Melayu tidak ada kaitan dengan Iban dan Kadazan di Sarawak dan Sabah.Tetapi kalau dikira sebagai serumpun, maka sudah tentu Melayu, Iban, Kadazan dan lain-lain Bumiputera adalah serumpun. Dari segi suku kaum, sudah tentu Iban di Sarawak dan Kalimantan adalah berkaitan walaupun mereka berada di negara berbeza.

Dikirakan

Dalam Indonesia, kalau dikirakan suku kaum, tentunya Melayu di Sumatera berbeza daripada peribumi Flores. Begitu juga dengan Jawa.

Tetapi kini kesemuanya dianggap sebagai satu bukan kerana masing-masing berada dalam negara yang sama iaitu Indonesia tetapi dari segi leluhur adalah menduduki suatu kawasan besar yang berkaitan dan berhubungan.

Maka Melayu yang disebut sebagai rumpun hanyalah satu istilah. Nama lain boleh digunakan, umpamanya rumpun Nusantara bagi merujuk pada keseluruhan bangsa peribumi Malaysia dan Indonesia.

Tetapi perkataan Melayu dipilih kerana kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia menggunakan bahasa Melayu. Maka adalah wajar rumpun bangsa di Malaysia dan Indonesia ini disebut sebagai Melayu walaupun dari segi darah keturunan atau budaya adalah berbeza.

Hakikatnya pemisahan antara Malaysia dan Indonesia adalah hasil daripada proses sejarah dengan kehadiran penjajah di rantau ini. Indonesia mewarisi tanah jajahan Belanda, dan Malaysia tanah jajahan Britain. Tetapi dari segi rumpun, kedua negara memiliki hubungan yang wajar dicarinya persamaan, dan bukannya perbezaan.

Persamaan utama adalah kedua-duanya menggunakan bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia. Tetapi ia tetap dikenali sebagai bahasa Melayu di Brunei, Singapura dan Thailand Selatan.

Orang Malaysia mengakui kehebatan keluasan dan kepelbagaian Indonesia, jauh lebih daripada Malaysia. Tetapi itu tidak bermakna apabila orang Malaysia mendokong gagasan rumpun Melayu, ia bertujuan untuk memperkecilkan kedudukan bangsa Indonesia, atau "menihilkan" peribumi bukan Melayu.

Ini kerana dalam laporan Kompas itu, Anhar menyatakan bahawa, bangsa Indonesia jangan mau direndahkan oleh bangsa mana pun dengan iming-iming sahabat dekat, bangsa serumpun, dan sebagainya, tetapi di belakang merendahkan bangsa Indonesia dengan sebutan Indon dan sebagainya.

"Ingat, Indonesia dalam sejarahnya saat masih dalam kekuasaan Kerajaan Sriwijaya dan Majapahit, wilayahnya sangat luas serta mencakup beberapa negara tetangga sehingga disebut Nusantara," kata Anhar.

Sebutan Indonesia, kata Anhar, merupakan buah fikiran jenius para pendiri bangsa yang bervisi jauh ke depan untuk menyatukan suku-suku bangsa, bahasa, dan kebudayaan yang sangat beragam.

Cendekiawan Harry Tjan Silalahi mengatakan, jika Indonesia dan Malaysia dianggap serumpun maka keberadaan suku dan budaya lain di luar Melayu dianggap tak ada. "Pandangan ini sesat dan berbahaya," ujarnya.

Sungguh keras mereka menolak gagasan rumpun Melayu itu. Tetapi hakikat sejarahnya, Sri Wijaya, Majapahit dan Melaka adalah serumpun jua. Mereka berbahasa Melayu.Justeru mereka memiliki memori kolektif serupa berasaskan sastera serumpun. Air dicincang tidak akan putus.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 28 April 2012

ISU PENDIDIKAN : Cikgu Yusry, Lisa dan Teach for Malaysia


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

HAMPIR semua akhbar arus perdana pada 17 April lalu memuatkan gambar dan berita dua artis terkenal tanah air Yusry KRU dan isterinya, Lisa Surihani sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, Selangor sempena program Teach For Malaysian Week.

Yusry Abdul Halim yang merupakan pengarah filem dan komposer muzik mengajar Bahasa Inggeris. Pelakon filem dan drama, Lisa yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Aberystwyth United Kingdom mengajar Geografi Tingkatan Satu. Kehadiran mereka diberitakan mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Lisa berkata, pengalamannya mengajar di sekolah itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.

''Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar,'' katanya.

Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam mengajar di dua buah kelas tingkatan satu di sekolah berkenaan. Kehadiran mereka menggambarkan sokongan kepada program Teach For Malaysia (TFM) yang dilancarkan baru-baru ini.

TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan. Mereka yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM adalah mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.

Pemilihan felo ini melalui tapisan yang ketat iaitu mereka yang mempunyai kelulusan yang cemerlang di peringkat ijazah daripada universiti yang ternama dalam dan luar negara.

Mereka yang terpilih dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Hulu Langat di Selangor. Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

Sebagai permulaan sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo menjadi pengajar di sekolah terpilih yang berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk mengikuti kohort barunya bagi 2013.

Matlamat utama mereka ditempatkan di sekolah adalah untuk membantu pelaksanaan transformasi pendidikan bagi menghasilkan pencapaian akademik yang baik, aspirasi yang tinggi dan membentuk sahsiah yang positif di kalangan pelajar. Bagi mencapai hasrat tersebut felo berkenaan akan diberi latihan intensif dari segi pedagogi pengajaran dan pendekatan penyelesaian masalah secara profesional.

Sesungguhnya selain ditugaskan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar, mereka juga akan mendapat pengalaman yang berharga bagi diri sendiri dan peluang melaksanakan sesuatu aktiviti secara profesional sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.

Bagi menjayakan program tersebut mereka akan diberikan latihan dikendalikan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang membolehkan mereka menjadi guru berkesan dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Latihan akan mengambil masa selama lapan minggu di Institut TFM.

Kurikulum dan metodologi latihan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang membolehkan mereka menjadi guru yang berkesan di dalam dan luar bilik darjah. Bagi memastikan latihan yang diberikan berkualiti maka penilaian dan akreditasi akan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran.

Sudah semestinya program ini mempunyai impak yang besar bukan sahaja kepada pelajar dan sekolah tetapi juga felo yang mengikuti TFM ini. Apa yang menarik mereka akan merasai sendiri keseronokan, kesukaran dan mengharungi pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar.

Ini memberi peluang kepada mereka untuk merancang, memberi sokongan dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu isu dan keadaan tidak saksama yang berlaku.

Program ini berbentuk sepenuh masa dan mereka dibayar elaun secara bulanan.

TFM merupakan model pembangunan kepimpinan disesuaikan melalui program 'Teach For America' yang mendapat kejayaan besar di Amerika Syarikat. Selepas menamatkan program selama dua tahun mereka berpeluang menganggotai Teach For Malaysia Ambassador yang merupakan platform yang berpengaruh di peringkat kebangsaan dan global untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin di sektor awam atau swasta di masa akan datang.

Sesungguhnya TFM merupakan suatu program dalam transformasi pendidikan yang berbentuk serampang dua mata. Sekolah yang ditempatkan guru-guru ini sudah tentu mendapat manfaat dari segi tenaga sumber yang boleh dibanggakan. Mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan yang tinggi dalam berbagai bidang profesional malah pernah belajar di universiti yang ternama.

Selain itu pengalaman bergaul dengan pelajar dan guru serta peranan yang dimainkan untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah akan menjadikan diri mereka lebih berpengalaman dan berdaya saing. Pengalaman ini sangat berharga dan boleh digunakan pula dalam usaha pembinaan dan pembentukkan diri sebagai pemimpin.

Secara tidak langsung program TFM akan menjadikan felo tersebut sebagai ikon kepada pelajar. Apa tidaknya misalnya Cikgu A lulusan undang-undang daripada Harvard Law School, Cikgu B telah mengikuti bidang pengurusan di Princeton University Woodrow Wilson School of Public Affairs atau Cikgu C lulusan kajian perniagaan daripada Stanford University Graduate School of Business.

Kesemua mereka mendapat 9A dalam peperiksaan SPM dan 4A di peringkat A Level. Terpilih menerima biasiswa daripada Bank Negara, Petronas atau Shell. Sebagai orang muda yang masih segar dan bertenaga serta baru graduat maka mereka boleh mempengaruhi cara berfikir dan gerak laku pelajar-pelajar di sekolah.

Moga-moga Cikgu Yusry dan Cikgu Lisa tidak jemu dan akan terus melawat ke sekolah. Kehadiranmu tetap dinanti-nantikan oleh pelajar.

Penulis ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/