Selasa, 25 Disember 2012
ISU EKONOMI : Antara gaji RM500 di tahun 70-an dan RM2,000 sekarang
Oleh : SYED ABDULLAH SYED OSMAN
JAMALULLAIL
SEDAR atau tidak mata wang
ringgit Malaysia semakin menyusut nilainya kerana berkemungkinan harga barang
semakin naik begitu mendadak sekali. Nilai RM100 umpamanya, adalah seperti
nilai RM20.
Bayangkan dengan RM20 itu pada
tahun 70-an kita boleh membeli ikan kembung lima kilo dengan harga hanya RM12
dan dengan RM1 kita boleh bersarapan pagi dengan dua bungkus nasi lemak dan
telur serta segelas air teh tarik.
Begitu juga dengan RM20 pada zaman 70-an dahulu, kita mampu menyara hidup
sekeluarga untuk beberapa hari serta dapat membayar tiket bas untuk ke bandar
dan dapat pula memberikan belanja sekolah anak- anak sebanyak 30 sen sehari dan
sudah memadai kerana sebungkus nasi lemak di kantin hanya 10 sen sahaja dan
minuman juga 10 sen sahaja.
Kini pada tahun 2012, nilai RM20
hanya boleh membeli sekilo ikan kembung yang berharga RM14 sekilo dan hanya
dapat bersarapan pagi untuk sepinggan nasi lemak dan telur serta teh tarik
sekali makan sahaja.
Untuk tambang dan belanja anak-anak
ke sekolah pula sekurang-kurangnya memerlukan RM5 seorang pelajar dan itu pun
kadangkala tidak memadai kerana harga makanan seperti nasi lemak dan air teh
tarik umpamanya tidak kurang daripada RM3 dan apabila dimasukkan harga tambang
RM2 diperlukan untuk pergi dan balik sekolah.
Oleh yang demikian mereka yang
bergaji RM500 pada tahun-tahun 70-an apabila dinilaikan semula pada tahun 2012
sama nilainya dengan RM2,000 dan itu pun lebih baik status seseorang yang bergaji RM500 pada tahun 70-an.
Seseorang pekerja yang sudah berumah tangga memerlukan sekurang-kurangnya bergaji RM3,000 sebulan dan mereka yang masih bujang pula sekurang-kurangnya mendapat gaji RM2,000 barulah boleh dikatakan sebagai gaji minimum yang diperlukan untuk saraan hidup yang boleh dikatakan sempurna hidupnya di negara Malaysia ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Isnin, 24 Disember 2012
ISU PENDIDIKAN : Kementerian sedia kaji imbuhan khas guru, pensyarah
Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran sedia mengkaji
saranan memberi imbuhan khas termasuk kenaikan gaji kepada 30,000 guru dan
pensyarah di sekolah, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) yang
mempunyai ijazah lanjutan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata
kementerian akan terus berusaha memperbaiki laluan kerjaya guru supaya dilihat
lebih menarik setimpal dengan bebanan tugas mereka.
Ambil berat kebajikan
Katanya, kementeriannya juga tidak pernah mengabaikan dan
sentiasa menitik berat kebajikan guru atas sumbangan besar mereka sebagai
warga pendidik.
Kelulusan bergantung JPA
Bagaimanapun katanya, sebarang kelulusan bergantung kepada
persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbendaharaan kerana ia
membabitkan kewangan kerajaan.
Kementerian sedia mengkaji saranan Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan itu. NUTP boleh mengemukakan cadangan lebih konkrit untuk
kajian, katanya.
Semalam, Presiden NUTP, Hashim Adnan meminta kerajaan
mempertimbangkan cadangan memberi imbuhan dengan memberi kenaikan dua tangga
gaji kepada lulusan ijazah lanjutan dan tiga tangga gaji bagi pemegang doktor
falsafah (PhD).
Katanya, ini berikutan ramai guru dan pensyarah menyahut
seruan kementerian untuk memperoleh ijazah lanjutan, demi transformasi pendidikan negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Hala tuju selepas PMR
Oleh Ruhaiza Rusmin
KEPUTUSAN Penilaian Menengah
Rendah (PMR) sudah diketahui minggu lalu. Daripada 481,424 pelajar yang
mengambil peperiksaan itu, seramai 30,474 memperoleh keputusan paling
cemerlang.
Selepas PMR, mereka akan memasuki
tingkatan empat tetapi ramai yang mencongak untuk mendapat tempat di sekolah
berasrama penuh.
Lazimnya, pelajar cemerlang tentu
mempunyai keinginan memasuki aliran sains kerana jaminan memasuki institusi
pengajian tinggi selain tawaran pekerjaan lebih cerah.
Bagaimanapun, penurunan
pencapaian subjek Sains dan Matematik dalam setiap peperiksaan utama setiap
tahun kini menimbulkan pertanyaan.
Adakah penurunan itu bagaikan
isyarat senyap bahawa dua subjek berprestij itu semakin kurang diminati hingga
pelajar ‘meluahkan’ dalam peperiksaan atau kerana ketidakfahaman menjawab
hingga gagal mencapai keputusan yang baik?
Dekan Pusat Pengajian Ilmu
Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Abdul Rashid Mohamed,
berkata penurunan atau kenaikan peratusan pelajar dalam peperiksaan adalah
normal.
Bagaimanapun, setiap keputusan
masih memerlukan kajian, analisa dan tindakan segera bagi memastikan risikonya
tidak berpanjangan dan menimbulkan implikasi lain .
“Dalam sistem peperiksaan, turun
naik statistik pencapaian pelajar adalah normal namun masih memerlukan tindakan
susulan bagi mencari punca.
“Peningkatan atau penurunan itu
adalah isyarat untuk memberitahu ada kelemahan atau lompong perlu diperbaiki.
“Apatah lagi setiap sasaran
diletakkan pada manusia (pelajar). Sudah tentu ada pelbagai kemungkinan sukar
dijangka,” katanya.
Biarpun keputusan subjek Sains
dan Matematik terus menunjukkan penurunan, beliau berkata, pihak terbabit tidak
perlu melatah, sebaliknya memikirkan faktor dan tindakan mengatasinya.
Menurutnya, penurunan itu mungkin
berpunca daripada faktor kecil dan remeh, namun pihak terbabit sama ada
sekolah, guru atau kementerian terlepas pandang hingga akhirnya menjejaskan
prestasi pencapaian.
“Faktor yang dianggap kecil dan
remeh lebih berbahaya. Sebab itu, semua pihak perlu mempunyai sikap peka kerana
kesan yang bakal diperoleh boleh melepasi jangkaan.
“Malangnya, ramai keliru dan
menganggap sains dan matematik hanya sekadar angka atau formula.
“Tidak ramai nampak atau memahami
apa sebenarnya kedua-dua subjek itu dan tujuannya,” katanya berpendapat jika
diajar dengan cara betul, ia boleh memberikan keseronokan berganda kepada
pelajar.
“Keseronokan ini tidak terbatas
dalam akademik semata-mata sebab konsep pemahaman sains dan matematik sangat
luas.
“Malangnya, mereka tidak dapat
menikmati keseronokan itu kerana pendedahan diterima adalah melalui cara
tekanan iaitu belajar dan menghafal.
“Sains dan matematik mempunyai
hubung kait paling rapat dengan kehidupan. Cara pembelajaran penuh tekanan
serta konsep pembelajaran salah boleh menyumbang kegagalan akademik dan aspek
lain,” katanya.
Kebimbangan itu berasas apabila
pelajar yang mengikuti aliran sains semakin menurun sehingga 29 peratus tahun
ini berbanding sasaran 60 peratus.
Sebaliknya, peningkatan dalam
aliran sastera semakin ketara disokong faktor tarikan termasuk tanggapan aliran
sastera lebih mudah, mampu menawarkan tempat lebih tinggi di institusi
pengajian serta peluang pekerjaan lebih banyak.
Manakala aliran sains pula
dianggap lebih sukar bukan saja dari segi akademik malah peluang kerjaya
semakin terhad dengan tiada pengenalan kerjaya baru.
Pelajar aliran sains, katanya,
sudah tentu mahukan timbal balas yang mampu memberi mereka banyak kelebihan
setimpal cabaran kesusahan sewaktu belajar.
“Namun, apa yang mampu ditawarkan
bidang pekerjaan di negara kita bagi aliran itu hanya perubatan (yang
terbesar), pegawai penyelidik, dan pensyarah.
“Skop kerjaya yang kecil
menyebabkan penurunan permintaan.
“Berbanding negara lain, tawaran
pekerjaan lebih banyak malah ada kerjaya baru diwujudkan dalam bidang tertentu
yang fokus pada keperluan sains menyebabkan sains dan matematik satu
kemestian,” katanya.
Cara belajar juga, katanya,
menjadi penyumbang mengapa sains dan matematik sukar dikuasai.
“Pelajar di negara kita mempunyai
cara belajar ‘kurang’ sempurna iaitu suka menghafal. Di negara lain, pembinaan
asas pemahaman dilakukan dengan pelbagai teknik seperti penggunaan deria dan
bantuan persekitaran.
“Menggunakan hafalan bagi
memahami sains dan matematik bukanlah proses pembelajaran yang baik. Mereka
menghafal hanya untuk membolehkan menjawab soalan.
“Jika soalan ditukar, mereka
tidak boleh menjawab sebab konsep sains dan matematik itu berdiri pada asas
pemahaman bukan menghafal,” katanya.
Pada masa sama, katanya pemilihan
guru sekolah rendah perlu dari kalangan yang terbaik kerana mereka yang akan memulakan
asas pembelajaran dan pemahaman pelajar.
“Sekolah rendah adalah ‘ibu’
segala asas pembelajaran dan pemahaman kerana di situlah pelajar didedahkan
proses membaca, mengira, menulis dan memahami.
“Manakala sekolah menengah adalah
proses pemantapan kefahaman dan pembelajaran. Pelajar hanya perlu dibimbing
dengan kaedah pembelajaran berbeza dan lebih menyeluruh sebagai persediaan
menuju pengajian tinggi.
“Jika asas pemahaman dan
pembelajaran kukuh, proses seterusnya menjadi mudah. Malangnya kita kekurangan
kualiti dan sentuhan guru yang baik mengakibatkan timbul pelbagai masalah,”
katanya.
Berharap agar sistem pendidikan
dipertingkatkan bagi menjamin kejayaan taraf negara maju menjelang 2020, beliau
berkata usaha perlu diganda dan diberi penambahbaikan.
“Antaranya modul dan sistem perlu
diselaraskan dengan perkembangan semasa, pengambilan guru berkualiti, kaedah
pedagogi yang betul dan sebagainya.
“Fahami definisi negara maju itu
sendiri, barulah kita boleh membangunkan sains dan matematik sebagai satu
mekanisme penting yang sukar ditolak sesiapa pun,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Ahad, 23 Disember 2012
TERIMA KASIH
Alangkah indah ucapan disebut
terima kasih semanis mulut
setiap hadiah yang kita sambut
tulus dan ikhlas kita menyebut.
Ucapan demikian amatlah murni
ajarkan kepada putera
dan puteri
anak-anak kecil menjadi bestari
budaya mulia mengenang budi.
Terima kasih ucapan bahagia
bersofan santun memaut mesra
menjalin ikatan terasa manisnya
menjadi ingatan seanjang masa.
Tiada gunanya meninggi diri
bersifat sombong setiap hari
menolak mencaci hadiah diberi
akhirnya menyesal diri sendiri.
Berterima kasihlah wahai sahabat
walaupun hadiah tidaklah hebat
tanda bersyukur beriman beribadat
Allah merahmati diberikan nikmat.
AHMAD SARJU
ISU SOSIAL : Niosh Gesa Ubah Sikap Pemanduan Untuk Kurangkan Kemalangan Jalan Raya
KUALA LUMPUR : Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) hari ini menegaskan mengenai perlunya mengubah sikap tidak sabar dan "budaya tergesa-gesa" dengan memecut dan mencelah masuk dan keluar lorong trafik kerana sikap tersebut merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye
dalam satu kenyataan berkata kempen keselamatan jalan raya, walaupun perlu,
tidak akan berhasil kecuali pengguna jalan raya belajar untuk mematuhi
peraturan asas keselamatan dan adab pemanduan dan mengubah sikap tidak
bertanggungjawab dan angkuh semasa di jalan raya.
"Terdapat orang yang tidak
mengambil iktibar daripada gambar-gambar kereta hancur, mayat, mangsa yang
merintih dan keluarga mereka yang bersedih.
"Niosh memandang serius
kekerapan laporan kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan yang
bukan sahaja tragik kepada keluarga terlibat tetapi juga menyebabkan kehilangan
tenaga kerja negara," katanya.
Lee berkata peningkatan jumlah
kematian dan kecederaan dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh beberapa
minggu lepas amat membimbangkan.
Semalam, dua pekerja kilang maut
dan 17 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta
sebelum terbabas dan terbalik ke kawasan semak di Km 150.3 Lebuhraya Utara
Selatan (PLUS) di Nibong Tebal.
Kemalangan itu berlaku dalam
tempoh kurang seminggu selepas kemalangan pertama yang berlaku kira-kira 20
kilometer dari tempat itu.
Pada Selasa, seorang kanak-kanak
lelaki berumur tiga tahun maut selepas diseret sejauh hampir 10 kilometer oleh
sebuah kenderaan yang lalu selepas dia terjatuh selepas kereta dipandu bapanya
terbabas.
Kemalangan berlaku di Km 168 PLUS
dekat Bandar Baru. Kanak-kanak itu tercampak dari kereta apabila bapanya cuba
mengelak daripada melanggar seekor anjing.
Tubuh kanak-kanak itu diseret di
lebuh raya itu sebelum tertanggal daripada bahagian bawah kenderaan itu dekat
kawasan rehat Sungai Bakap di lebuh raya itu.
Menurut Lee, sebanyak 728
kematian direkodkan pada 2008, 759 kematian pada 2009, 720 kematian pada 2010
dan 805 kematian pada 2011.
Beliau berkata kemalangan jalan
raya dapat dielakkan jika seseorang itu mementingkan keselamatan jalan raya dan
menghargai nyawa sendiri dan orang tersayang.
"Mudah untuk bercakap
mengenai keselamatan tetapi adakah semua orang komited dengannya. Sering kali
keselamatan tidak membawa sebarang makna sehingga tragedi berlaku, ketika itu
sudah terlambat untuk mengubahnya," katanya. BERNAMA
Sabtu, 22 Disember 2012
ISU BAHASA : Cadangan Ambil Guru Bahasa Inggeris Dari India Perlu Kajian Mendalam
KUALA LUMPUR : Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam dilakukan
berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar
pelajar di negara ini.
Presidennya, Hashim Adnan
berkata, perbincangan perlu dilakukan dengan pakardalam bahasa itu bersama NUTP
dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan
menguntungkan kerajaan.
"Kajian lebih mendalam perlu
diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana pihak. Kedua, adalah lebih
baik perbincangan dibuat dengan para profesor bahasa Inggeris di negara ini
bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan dibuat selepas itu sudah
pasti akan menguntungkan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak pada Jumaat berkata, Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru
bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha
meningkatkan kemahiran bahasa itu.
Najib yang berada di India bagi
menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari bermula
semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan
dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika
Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini.
Di bawah program dengan AS itu,
Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu ditempatkan di beberapa
sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar.
Hashim turut mencadangkan supaya
guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara diambil bagi mengajar bahasa itu
berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama serta mengetahui kaedah
untuk mengajar pelajar Malaysia.
"Diharap (cadangan itu)
tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan.Budak-budak akan menjadi
bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin mendapatkan
pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan latar
belakang," katanya.
Beliau juga berkata adalah
memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk mengajar
bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan, bukan sahaja menjadi
beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara.
Bagaimanapun, katanya bayaran
untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar bahasa Inggeris
juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bahasa
tersebut.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa
Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula
mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari England jika
kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa itu dari luar.
"Guru bahasa Inggeris
Fullbright itu ok sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh diterima,
tetapi aksen orang dari India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu
pelajar, jika bajet itu ada, kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari
England.
"Sebab kita dulu belajar
bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita berterusan macam
ini," katanya.
Beliau juga berkata, jika
kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada Negara berkenaan, adalah lebih
baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil berikutan itu adalah
kepakaran mereka.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik cadangan tersebut
berikutan sejarah awal pendidikan bahasa Inggeris di negara ini pada akhir abad
ke-19 didominasi guru-guru dari India yang dibawa penjajah untuk mengajar di
sekolah mubaligh dan sekolah bahasa Inggeris di negara ini.
"Daripada sejarah yang
dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan terutama
ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh ternama negara.
Sejarah telah lama berakar umbi di negara kita.
"Jika guru-guru dari India
dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah kerana boleh membawa
kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu," katanya.
Beliau berkata, guru yang akan
dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan guru di India adalah 10
kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu seramai 400,000 orang dan
sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan untuk memilih guru terbaik
untuk mengajar di negara ini.
"Di India juga, sistem
pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah.
"Jadi, atas sebab-sebab itu,
saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan pada masa depan,"
katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung
Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya berpendapat cadangan
itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat beberapa masalah yang
perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan.
Beliau berkata, antara masalah
itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh
pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh pelajar Malaysia.
"Berdasarkan pengalaman
saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah usaha yang
baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan dan tingkah
laku pelajar.
"Sebagai contoh, sebahagian
pensyarah Barat yang pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia
sangat pasif di dalam kelas kerana tidak bercakap.
"Tetapi mereka gagal
menyedari bahawa pelajar Asia lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat
disebabkan hakikat bahawa pandangan pengajar harus dihormati dan tidak
dicabar," katanya.
Justeru katanya, malu atau takut
diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab mengapa mereka berbuat
demikian.
"Bagaimanapun, langkah
pengambilan tenaga pengajar asing tidak berpanjangan pada masa depan kerana
kosnya yang tinggi. Ia hanya sebagai langkah sementara.
"Lebih ramai guru bahasa
Inggeris harus dilatih untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada
orang luar," katanya. - BERNAMA
Nota Kaki :
Aksen didefinisikan sebagai; 1. tekanan suara (bunyi) pada kata atau suku kata; 2. cara seseorang dari sesebuah daerah (negeri dan sebagainya) menyebut kata-kata, loghat, pelat, telor; 3. tanda diakritik; mengaksenkan menyebut sesuatu kata atau suku kata dengan menekankan suara: suku kata yang diaksenkan; pengaksenan perihal atau perbuatan mengaksenkan: ~ sesuatu kata atau suku kata. (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP).
Nota Kaki :
Aksen didefinisikan sebagai; 1. tekanan suara (bunyi) pada kata atau suku kata; 2. cara seseorang dari sesebuah daerah (negeri dan sebagainya) menyebut kata-kata, loghat, pelat, telor; 3. tanda diakritik; mengaksenkan menyebut sesuatu kata atau suku kata dengan menekankan suara: suku kata yang diaksenkan; pengaksenan perihal atau perbuatan mengaksenkan: ~ sesuatu kata atau suku kata. (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP).
Langgan:
Catatan (Atom)






