Selasa, 27 Oktober 2009

TRAGEDI JAMBATAN GANTUNG RUNTUH

Seorang lemas, dua masih hilang

Pelan Lokasi Tempat Kejadian

ANGGOTA bomba dan penyelamat membawa keluar mayat murid yang dijumpai di Sungai Kampar, hari ini selepas mangsa dihanyutkan arus deras dalam kejadian jambatan runtuh di Kuala Dipang, semalam.

KAMPAR - Seorang murid perempuan lemas manakala dua lagi masih hilang apabila jambatan gantung yang mereka gunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat sini runtuh pada kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Mayat Dina Deve Nathan, 11, ditemui pada jam 8.40 pagi semalam berhampiran loji di sungai itu-kira kira 4 kilometer dari tempat dia terjatuh.

Dua mangsa yang masih hilang ialah Diryasree Vasudevan, 12, dari Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng dan Davadharshini Maheswaran, 11, SJKT Mambang Di Awan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Aziz Salleh berkata, setakat jam 5 petang semalam, operasi mencari yang melibatkan lebih 300 anggota penyelamat di kawasan sungai itu masih belum menemui kedua-dua mangsa.

Mereka adalah di antara 22 pelajar sekolah yang terjatuh ke dalam Sungai Kampar ketika sedang meniti jambatan gantung di Kawasan Perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta, malam kelmarin.

"Bagaimanapun 19 daripada mereka berjaya diselamatkan oleh guru dan pengawal keselamatan sekolah terbabit," katanya.

Kejadian berlaku semasa aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan yang membabitkan 298 murid daripada 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah.

Jambatan itu runtuh ketika sekumpulan peserta perkhemahan menyeberanginya dari tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang bagi jamuan makan malam.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 222 anggota yang terdiri daripada polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain serta penduduk kampung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang melawat tempat kejadian mengarahkan siasatan segera dijalankan.

“Jambatan gantung ini baru siap... jelas jambatan ini runtuh apabila tiang besinya terbongkah... kita mahu tahu sama ada ia dibina mengikut spesifikasi atau tidak,” katanya.

Tiang besi dan bongkah konkrit yang mengikat tali jambatan di tebing sebelah sekolah berkenaan tercabut dan tercampak kira-kira 10 meter manakala sebahagian lantai jambatan masih berada di permukaan sungai.

Sungai Kampar terkenal dengan kegiatan sukan air lasak dan lebar sungai di kawasan kejadian adalah kira-kira 30 meter dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancar sebaik kejadian berlaku membabitkan anggota polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain serta dibantu penduduk kampung.

Ibu bapa murid berada di sekolah itu untuk mendapatkan maklumat mengenai nasib anak mereka dan keadaan agak kelam kabut apabila beberapa ibu bapa tidak dapat menahan kemarahan apabila sehingga jam 3 pagi, tiada maklumat diterima sama ada anak mereka selamat atau tidak.

Sumber : berita ( http://www.sinarharian.com.my/), gambar(http://www.bharian.com.my/)

Pendidikan: Misi utama Rasulullah

Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADALAH menjadi salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.

Tinggal lagi, mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.

Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.

Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.

Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.

Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar.

Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya.

Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.

Rasulullah cintai ilmu

Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.

Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah mengulas hadis ini dengan berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."

Oleh itu, apabila seorang alim tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."

Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan.

Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Mesej ini dapat difahami daripada doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)

Nabi model pendidik

Sewajarnya bagi setiap orang yang menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan peranan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, tidak ada di sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia. (al-Qalam :4)

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian, kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.

Kesempurnaan zahir yang ada pada Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;

1. Ketenangan yang membangkitkan sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.

2. Air muka yang berseri menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan dengannya.

3. Mendapat penerimaan yang menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.

4. Kecenderungan manusia untuk mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaati-Nya. Demikian antara kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.

Adapun kesempurnaan akhlak Nabi SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:

*kebernasan fikiran, sangkaan dan firasatnya.

*Sabar di atas segala kesusahan dan rintangan.

*Zuhud terhadap dunia serta tidak berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.

*Tawaduk kepada manusia lain sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada jurang pemisah yang membezakan mereka.

*Berlemah lembut dengan manusia serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.

*Memelihara janji dan tidak pernah memungkirinya.

Kelebihan Rasulullah dari sudut pengucapannya pula ialah:

1. Diberikan kepadanya kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.

2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya tanpa dicatat.

3. Perkara-perkara yang disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang tinggi.

Kelebihan perbuatan Rasulullah SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:

1. Elok perjalanan hidupnya dan tepat perancangannya.

2. Sederhana dalam melakukan perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.

3. Tidak menjadikan sahabatnya terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara keseluruhannya.

Kita tidak menafikan bahawa agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.

Cuma yang harus dimuhasabah adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.

Seperti yang dihimbau di atas, sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.

Sumber : http://utusan.com.my/

ISU KERANCUAN BAHASA

SMS tidak daulatkan bahasa kebangsaan

BULAN Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan ini bukan saja menuntut kita menggunakan dan mengutamakan bahasa Melayu, malah membudayakan bahasa dengan beradab dan sopan.

Adakah kita tertib dalam berbahasa atau kena pada masa dan tempatnya?

Paling mudah, kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Tidak patut berlaku SMS yang menggunakan bahasa carca marba. Kita akui tujuan SMS adalah untuk menghantar pesanan ringkas tetapi hairannya mengapa ada pihak boleh pula menaip 'kenapa' sebagai `napew` tidak `nape` atau 'mana' sebagai `maner`? Bukankah ejaan sedemikian hanya memanjangkan kata berkenaan?

Selain itu, ada pula kakitangan yang mewakili jabatan buat pertama kali menelefon pegawai jabatan lain dengan membahasakan dirinya dan orang lain sebagai 'abang', 'adik`, 'Kak Ti' atau 'awak' atas urusan rasmi.

Hal ini turut 'berjangkit' dalam kalangan pelajar universiti. Apabila mereka berhubung dengan agensi atau syarikat atas keperluan kursus pengajian atau memohon peruntukan ada antara mereka sekadar menghantar SMS.

Mesejnya pula menggunakan bahasa yang sukar difahami. Jika menelefon pula, selepas memberi salam kerap dimulakan dengan "En Ali, ke ni?" Sepatutnya, lebih elok jika memperkenalkan diri dan meminta maaf terlebih dulu jika mengganggu kemudian barulah menyatakan tujuan menelefon.

Hakikatnya, panggilan formal seperti `encik` dan `saya` lebih sesuai jika berhubung atas urusan rasmi melainkan mungkin kenalan rapat atau umur sebaya. Berkomunikasi perlu mengambil kira faktor kesesuaian usia, masa, tempat dan kedudukan sosial.

Jika tidak, wujud keadaan gagal membezakan mana situasi yang memerlukan kita serius dan mana yang tidak perlu. Kerja tidak profesional juga berlaku akibat bercakap pun sambil lewa. Status pelajar universiti pula akan turun apabila bercakap masih kebudak-budakan.

Begitu juga ketika berbual. Timbul gejala apabila bercakap dengan bukan Melayu, orang Melayu akan bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Walhal, apabila dua orang bukan Melayu bercakap dan dalam masa yang sama ada seorang Melayu, perbualan sesama bukan Melayu itu adalah dalam bahasa mereka bukannya pun dalam bahasa Inggeris!

Seharusnya, Oktober ini dijadikan sebagai pencetus azam seluruh rakyat tanpa mengira warna kulit dan status sosial untuk membudayakan bahasa kebangsaan yang beradab dalam setiap urusan seharian sama ada secara bertulis mahupun lisan.

ARIF ATAN, Tanah Merah, Kelantan.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Nota hujung :

# Rancu membawa maksud
tidak teratur, campur aduk, atau celaru yang berkait dengan bahasa .

Isnin, 26 Oktober 2009

Guru kaunseling kena celik teknologi

KAEDAH kaunseling digunakan di sekolah diakui berada pada takuk lama, bersifat konvensional serta tidak selari dengan perkembangan remaja ketika ini yang lebih suka mencari alternatif lain untuk meluahkan perasaan mereka.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata jika dilihat kepada pendekatan sedia ada yang meletakkan seorang guru kaunseling di sekolah dengan harapan murid bermasalah berjumpa dan berkongsi masalah mereka adalah satu kaedah lama yang tidak lagi berkesan dipraktikkan ketika ini.

Pelajar sekarang tak suka berkongsi masalah secara terus dengan guru, apatah lagi berasakan ia tidak selamat kerana guru kaunseling juga hakikatnya seorang guru. Oleh itu, mereka akan memilih alternatif lain dan laman web adalah kaedah popular ketika ini. Fenomena itu biasa dan mereka tak boleh dipersalahkan.

Sepatutnya, guru kaunseling perlu mempunyai pendekatan yang selari dengan perkembangan situasi semasa. Jika pelajar guna Facebook, guru juga perlu guna. Jadi kawan mereka dalam Facebook dan ajak mereka kongsi masalah. Guru perlu dekat dengan kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata, akibat kegagalan dalam sistem komunikasi itu, pelajar memilih untuk berkongsi secara terbuka di alam maya dan lantaran mereka juga tidak dididik supaya berhemah, berlaku pelanggaran tatasusila ketika berkomunikasi di internet. Selain itu, ketelusan serta integriti di kalangan guru kaunseling juga boleh dipersoalkan menyebabkan pelajar tidak yakin untuk berkongsi masalah dengan mereka.

Turut dipersoalkan ialah bagaimana kaedah menangani isu disiplin di sekolah, terutama membabitkan kes di laman web kerana mungkin wujud elemen tindakan beremosi pengetua tanpa mengambil kira semua faktor atau punca perkara itu berlaku.

“Pengetua tak wajar buang pelajar yang hina guru dalam laman web. Sepatutnya kena cari punca ia berlaku. Cari jalan rapatkan hubungan dan cari bukti kebenaran yang diluahkan dalam laman web. Namun, hukuman lain perlu juga dilaksanakan untuk menjadi iktibar kepada pelajar lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata merujuk kepada kes dilaporkan akhbar mengenai pelajar sekolah berasrama penuh yang dinasihatkan supaya berpindah sekolah selepas menghina pengetuanya dalam laman web Friendster, perkara itu bukanlah semata-mata kesalahan yang dilakukannya sehingga tindakan sebegitu diambil.

“Ia kesalahan berulang selepas beberapa tindakan sudah diambil. Dalam sistem pengurusan disiplin di sekolah, ada beberapa langkah digunakan termasuk amaran, kaunseling dan langkah buang sekolah adalah tindakan terakhir.

“Menghina sekolah atau pengetua dalam laman web tetap satu kesalahan disiplin, walaupun ia tidak termaktub dalam peraturan sekolah. Pengetua berhak menggunakan kuasa yang ada untuk bertindak. Apa saja yang menjejas atau memburukkan nama baik sekolah dianggap satu kesalahan,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohamed Sharil Tarmizi, apa saja perkataan dalam laman web yang berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

“Sebarang bentuk perbuatan dianggap salah dalam alam nyata turut dianggap salah dalam alam maya,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar, Ruslan Madon, pula berkata, kemahuan pelajar meluahkan perasaan tidak wajar disekat dan sepatutnya pihak sekolah menggunakan pendekatan yang seboleh mungkin seiring dengan kehendak dan cara pelajar. Keengganan dan kekerasan pihak sekolah menyekat kebebasan melepaskan tekanan di kalangan remaja menyebabkan berlaku banyak perkara tidak diingini, sekali gus mendorong pelajar bertindak di luar batas norma yang sepatutnya.

“Jika kita amati, pelajar suka menggunakan alternatif lain meluahkan perasaan. Mereka tak suka bersemuka dengan guru kerana rasa tidak selamat. Justeru, pelbagai cara digunakan termasuk menggunakan laman web, menconteng dinding dengan kata-kata kesat terhadap seseorang, malah ada yang menendang pintu atau menumbuk dinding.

“Sesetengah pelajar tak suka bersemuka atas pelbagai sebab. Mungkin mereka malu atau takut risiko lain. Oleh itu, jika mereka suka gunakan laman web atau internet, kita juga perlu guna sumber sama,” katanya.

Beliau juga mahu semua pihak lebih memahami dan prihatin dengan kehendak serta masalah remaja kerana pasti semua dinyatakan atau diluahkan, meskipun dalam bentuk tidak sesuai menggambarkan satu situasi yang bersebab.

“Apa kata kita ikut rentak mereka. Sediakan dinding khas di sekolah supaya mereka boleh pada bila-bila masa meluahkan perasaan di tempat yang disediakan. Nak tumbuk dinding, sediakan ‘punching bag’ supaya mereka boleh belasah sepuas hati. Guru kaunseling dan pengetua pula perlu ada emel yang diketahui semua pelajar supaya mereka boleh meluahkan perasaan tanpa perlu bersemuka.

“Sesetengah pelajar tak suka bersemuka atas pelbagai sebab. Mungkin mereka malu atau takut risiko lain. Kerana itu, jika mereka suka gunakan laman web atau internet, kita juga perlu guna sumber yang sama,” katanya. Beliau juga mahu semua pihak lebih memahami dan prihatin dengan kehendak serta masalah remaja kerana pasti semua yang dinyatakan atau diluahkan, meskipun dalam bentuk tidak sesuai menggambarkan satu situasi yang bersebab.

“Takkan mereka memaki hamun tanpa sebab. Mesti ada sebab. Mungkin juga ada kebenarannya. Jika mereka meluahkan sesuatu, periksa dan siasat. Mana tahu mungkin memang benar guru dimaksudkan bermasalah,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Promosikan Sasterawan Negara untuk Hadiah Nobel

Oleh Imlan adabi
imlan@bharian.com.my

KITA sudah ada 10 Sasterawan Negara. Yang terbaru adalah Anwar Ridhwan atau Datuk Dr Anuar Rethwan yang dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Penobatannya sebagai Sasterawan Negara sudah diduga. Karyanya amat terserlah dari segi mutu dan kehalusan seni. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah pada 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1984/1985). Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto diterbitkan dalam bahasa Russia (penterjemah Victor Pogadaev) pada 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Kewibawaan dan kerajinan berkarya meletakkan nama Anwar sebaris tokoh besar sastera yang lain. Bagaimanapun apakah cukup sekadar sasterawan terbaik menerima Anugerah Sasterawan Negara, tanpa sebarang promosi dan pencalonan untuk meraih Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan?

Persoalan ini amat wajar dilontarkan kerana sejak lebih tiga dekad lampau, kita kurang promosi karyawan tempatan untuk Hadiah Nobel. Jika Indonesia pernah menubuhkan sebuah panitia khas mempromosikan Pramoedya Ananta Toer selama beberapa tahun, kita agak sepi dan amat longlai.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya bertindak lebih aktif melobi dan meletakkan sasterawan Malaysia ke peta dunia. Badan penulis bertaraf nasional seperti Gapena dan kerabatnya, Pena perlu lakukan sesuatu supaya Hadiah Nobel menjadi milik karyawan Malaysia. Jika selama ini persatuan penulis kerap bercakap mengenai dunia Melayu hingga Afrika Selatan dan Indochina, wajar pula mereka memperjuangkan sasterawan Malaysia menerima anugerah tertinggi dunia pula.

Penulis dan badan sastera sepatutnya tidak sekadar menggamit nostalgia tanpa memandang lebih jauh. Memperkasakan bangsa dengan karya yang baik dan meraih Hadiah Nobel, sepatutnya menjadi idaman karyawan di Malaysia. Kerajaan dan sarjana sastera juga perlu berperanan secara aktif dan telus melalui konsep 1Malaysia. Kejayaan meraih Hadiah Nobel secara langsung meletakkan nama Malaysia di persada persuratan global. Kita akui Sasterawan Negara adalah penghormatan tertinggi terhadap karyawan besar tempatan. Namun kehebatan di gelanggang sendiri bukan kayu pengukur yang sebenarnya.

Dari segi sejarah, Anugerah Sasterawan Negara mula diperkenalkan pada 1981 apabila Keris Mas (Kamaludin Muhamad) dinobatkan sebagai penerima pertama. Kemudian diikuti Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Dr Usman Awang (1983), Datuk A Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Prof Dr Muhammad Salleh (1991), Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996) dan S Othman Kelantan pada 2003.

Dari segi mutu, karya Samad dan Shahnon dianggap wajar dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Ranjau Sepanjang Jalan, Sampah, Shit, Sutan Baginda, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Salina bukan sekadar penceritaan yang ada plot dan watak, malahan mengangkat kehidupan bangsa Malaysia dengan pelbagai kerenah sosiobudaya tempatan. Karya sedemikian lazimnya dapat mencuit perhatian panel Hadiah Nobel, jika usaha tegas dan berwibawa dilakukan. Sajak karya Muhammad seperti Pulang si Tanggang amat puitis dan intelektual.

Sejak penyair Perancis, Sully Prudhomme meraih Hadiah Nobel kali pertama pada 1901, karya yang berjiwa besar dan jujur mengangkat permasalahan bangsanya sering menjadi tumpuan panel.

Hal ini bertepatan dengan wasiat Alfred Nobel yang mahu merakamkan anugerah kepada karyawan 'luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat'. Sehingga kini hanya empat sasterawan Asia menerima Hadiah Nobel. Tiada seorang pun karyawan Asia Tenggara tersenarai. Selepas Rabindranath Tagore (India) menerima anugerah pada 1913, karyawan lain ialah Shmuel Yosef Agnon (Israel, 1966), Yasunari Kawabata (Jepun, 1968), Oe Kenzabur (Jepun, 1994) dan Guo Zingjian (Rusia-China, 2000).

Kita berharap nama Samad, Shahnon, Muhammad dan Anwar turut tersenarai kerana Hadiah Nobel diberikan kepada karyawan yang masih hidup. Walaupun karya Usman, Arena Wati dan S Othman Kelantan amat berwibawa, nama mereka tidak layak dicalonkan kerana lebih awal meninggalkan kita.

Bagi kebanyakan karyawan dan pengkaji sastera, beberapa hasil tempatan sudah layak dipertimbang untuk pencalonan Hadiah Nobel. Isunya sekarang adalah promosi dan usaha berterusan membawa karya tempatan ke peringkat global. Birokrat seni sepatutnya berperanan dalam hal ini. Jangan kita dianggap 'kurang visi, kurang reti dan kurang rasa!'.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Ahad, 25 Oktober 2009

Insentif sekolah cemerlang

Muhyiddin Yassin (duduk empat dari kiri) bergambar bersama para peserta sebelum menyertai Kejohanan Golf Kebajikan Yayasan Al-Khaadem di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor (lima dari kiri) serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin (enam dari kiri).

PUTRAJAYA 25 Okt. - Sebanyak tiga hingga empat peratus daripada pengetua atau guru besar dan guru di sesebuah sekolah bakal menikmati insentif istimewa sekiranya mereka berjaya memacu kecemerlangan sekolah bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran baru berbentuk pemberian insentif itu merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu kepada pengetua atau guru besar.

Bagaimanapun, kata beliau, bentuk insentif tersebut belum diputuskan lagi dan hanya akan dimaklumkan sebelum akhir tahun ini.

''Tawaran baru ini diberikan supaya pengetua dan guru besar memberi lebih perhatian kepada kepimpinan di sekolah yang tidak hanya bersandar kepada keputusan peperiksaan.

''Pemberian istimewa ini mungkin sama ada berbentuk sebulan atau dua bulan gaji bukan sahaja akan diberikan kepada pengetua atau guru besar tetapi juga untuk guru-guru lain. Ini kerana kejayaan sesebuah sekolah tidak terletak kepada pengetua atau guru besar sahaja tetapi usaha bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Mighthy Minds National Challenge 2009 anjuran akhbar The Star dan RHB Bank, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya sedang menggubal kurikulum baru supaya pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik lebih holistik, interaktif dan menyeronokkan.

''Kita akan memberi lebih tumpuan kepada soal kokurikulum, sukan dan aktiviti luar daripada mata pelajaran biasa supaya pelajar lebih menguasai bukan sahaja ilmu tetapi beberapa kemahiran lain supaya dapat membangunkan perwatakan pelajar yang seimbang," katanya.

Mengenai pemberian biasiswa nasional kepada 30 pelajar terbaik berasaskan merit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor dunia, Muhyiddin berkata, ia akan dimulakan tahun depan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Cabaran sebenar ASEAN

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(Di Hua Hin, Thailand)

HARI ini Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mampu menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya maruah negara gajah putih yang tercalar akibat insiden di Pattaya April lalu dapat ditebus.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tiga hari pemimpin-pemimpin ASEAN dan enam rakan dialog mereka bertemu.

Baik mesyuarat di peringkat persediaan mahupun ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15, suasana di Cha-am, Hua Hin yang menempatkan Hotel Dusat Thani tenang. Kawalan ketat pasukan tentera dan polis serta langkah membuka laluan khas ASEAN ternyata berbaloi.

Lebih daripada itu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang mempertemukan rakan dialog dari New Zealand dan Australia akhirnya dapat diterjemahkan dalam pertemuan yang ringkas tetapi bermakna.

Namun di sebalik kelancaran persidangan, ada kocakan kecil yang mengalih perhatian dunia terhadap agenda penting yang ingin diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN.

Kocakan peristiwa itu juga menguji sejauh mana semangat ASEAN ke arah solidariti dan uniti mampu disepakati kalangan anggotanya.

Apatah lagi isu panas ketika 'musim panas' di Chaam, Hua Hin yang menyusutkan nilai berita sidang kemuncak melibatkan pemimpin dan jiran kontroversi - Thaksin Shinawatra serta Kemboja.

Isu yang mendapat liputan meluas media tempatan dan asing menyebabkan Abhisit terpaksa membatalkan sidang akhbar semalam kerana telah menjangkakan soalan-soalan pemberita.

Mereka tidak berminat tentang pencapaian persidangan sebaliknya kemelut terbaru Abhisit dan Perdana Menteri Kemboja Hun Seng menjadi tumpuan pemberita terutamanya media asing yang menyifatkan sidang kemuncak kali ini sebagai 'sejuk'.

Hakikat yang mesti diterima tentang ASEAN dan 'isu rumah tangga' yang terbentang luas ialah ia ditelan oleh isu panas terbaru ini.

Di situ semangat ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang berperanan memakmurkan setiap anggotanya boleh saja dipersoalkan. Seperti yang ditegaskan Abhisit, rakan sejawatannya Hun Seng memijak kaki ke Cha-am atas semangat ASEAN. Justeru mengeluarkan kenyataan yang boleh membunuh semangat itu bukanlah sesuatu yang bijak.

Ia bertentangan dengan kesepakatan ASEAN mahu membina komuniti sendiri yang saling berhubungan tanpa mengenal batas sempadan melalui pelbagai rangkaian kehidupan.

Sememangnya Hun Seng ada hak untuk membicarakan tentang rakan baiknya Thaksin. Begitu juga dengan Abhisit yang juga ada hak mempertahankan maruahnya sebagai tuan rumah sidang kemuncak apabila isu di luar agenda persidangan diperkatakan sedemikian rupa.

Namun menjadikan sidang kemuncak yang ditunggu-tunggu sejak April lalu sebagai platform adalah sangat tidak sesuai. Sememangnya diketahui juga ada isu yang belum selesai berkaitan pertikaian sempadan kawasan berhampiran Kuil Preah Vihear sejak abad ke-11, yang memanaskan 'iklim' hubungan Thailan-Kemboja.

Konflik seperti itu cukup untuk menggambarkan ada pertentangan antara perjuangan pertubuhan sepuluh negara anggota itu dengan 'kedegilan' segelintir anggotanya menyanggahi semangat ASEAN.

Apatah lagi dalam keadaan Thailand bertungkus lumus mahu membuktikan kemampuan mereka menjadi tuan rumah, isu Thaksin dan Kemboja mencacatkan tumpuan persidangan.

Pergolakan rumah tangga kedua-dua negara itu memberi gambaran seolah-olah ASEAN bukan keluarga bahagia yang bekerjasama menjaga kesejahteraan antara satu sama lain apatah lagi dalam satu majlis yang mempertemukan kesemua adik beradik bersama sepupu sepapat mereka.

Selepas 42 tahun ditubuhkan, itulah dilema ASEAN untuk bergerak sebagai badan yang dapat mewujudkan kemakmuran serantau dari pelbagai sudut - baik berupa menjaga perut penduduknya mahu pun memelihara kestabilan politik serantau.

ASEAN sememangnya telah berjaya dalam banyak hal. Kegawatan ekonomi serantau, bencana alam, pandemik, pendidikan, pelancongan, jaminan makanan dan perubahan iklim antara cabaran yang berjaya ditangani atas semangat ASEAN.

Namun di sebalik kejayaan itu, ada cabaran hebat lain menunggu badan itu.

Cabarannya adalah bagaimana badan itu dapat memainkan peranan menjernihkan kabut yang menyelubungi negara anggotanya. Ini kerana di samping mempunyai semangat ASEAN, ada satu lagi semangat yang mesti dijaga iaitu semangat tidak campur tangan hal ehwal dalam negara anggota.

Dalam kes 'Abhisit lwn Hun Seng' misalnya semangat ASEAN jelas tidak terpakai. Dalam hal ini Hun Seng menjaga semangat Kemboja mana Abhisit mempertahankan semangat tanah airnya.

Di mana kedudukan semangat ASEAN? Apa peranannya?

Sebab itu, apabila sidang kemuncak kali ini memuktamadkan penubuhan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), ada yang mencebik.

Kata mereka, apa guna ada suruhanjaya yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik jika ia tidak bertaring. Jika ia tidak boleh bertindak terhadap mana-mana negara anggota yang melanggar hak asasi manusia.

Di situ dilema ASEAN. Mahu ada semangatnya sendiri menuju kepada solidariti dan uniti tetapi dalam hal tertentu terikat dengan tali serta janji yang terpateri iaitu 'jangan campur urusan rumah tangga orang lain'.

Dan apabila induk atau ibu tidak ada peranan membetulkan kesalahan anak-anaknya maka akan tercetuslah rasa tidak puas hati. Akan terbentuk juga semangat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan semangat yang mahu dipupuk.

Untuk itu peranan ASEAN kini mahu diperluaskan. Kejayaan yang dicapai serta dokumen tebal pelbagai perjanjian kerjasama termasuk dengan tiga rakan dialognya yang disepakati tidak cukup untuk menjadikan ASEAN pertubuhan yang relevan.

ASEAN mesti lebih berani. Kesungguhan untuk membina komuniti ASEAN dengan semangat serta jiwa yang tersendiri sedang rancak diusahakan. Apabila ada komuniti tunggal ASEAN yang sasarannya enam tahun lagi, maka semangat, tanggungjawab dan keprihatinan akan menjadi lebih padu. Di situ akan ada rasa hormat sekurang-kurangnya untuk tidak membuat onar di peringkat dalaman sehingga boleh menjejaskan semangat ASEAN itu sendiri.

ASEAN mesti proaktif membuktikan bahawa badan itu dihormati atas semangat yang telah dipersetujui bersama. Isu rumah tangga, serantau mahu pun antarabangsa mesti ditangani dengan bijak. Ia mesti diselesaikan atas semangat ASEAN sebelum badan ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan malah dihormati dunia.

Pertikaian di peringkat negara sememangnya menuntut campur tangan semangat ASEAN. Dalam kes hubungan Malaysia-Indonesia misalnya, kontroversi tarian Pendet diselesaikan atas semangat ASEAN dalam masa yang sama kedua-dua negara berusaha menghormati urusan rumah tangga masing-masing.

Bagaimanapun untuk berjaya ke peringkat itu tidak mudah. Ia menuntut kekuatan untuk membataskan keterujaan. Lantaran apabila terlalu teruja manusia sering terlupa sehingga secara sengaja mengetepikan rasa hormat dan semangat yang dipersetujui.

Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, jika tersilap carik akan terlerai.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

# Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga bermaksud perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali.