Selasa, 10 Mei 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu sudah lama moden

Oleh Teo Kok Seong
bhnews@bharian.com.my

Kepentingan tak boleh lagi sekadar lambang negara, formaliti

DALAM polemik untuk mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam sistem pendidikan kebangsaan, antara hujah yang diketengahkan penyokongnya ialah penggunaan bahasa Inggeris, tidak akan sekali-kali menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bagi mereka, keabsahannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan.

Hal ini benar dari satu segi saja. Dari satu segi lain, bahasa Melayu perlu digunakan dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang tinggi, lebih-lebih lagi dalam segala kegiatan budaya tinggi negara. Antaranya sebagai bahasa ilmu, khususnya di institusi pengajian tinggi. Penggunaan begini sudah tentu dapat mempertingkatkan lagi profil bahasa Melayu.

Natijahnya di sini ialah bahasa perlu digunakan dan bukannya sekadar dijamin statusnya dari segi perundangan untuknya terus berkembang maju. Penggunaan ini sebetulnya penting untuk mencungkil segala potensi yang ada padanya.

Hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan komunikasi moden, termasuk bidang sains dan teknologi, adalah juga tidak benar. Korpus bahasa Melayu dari segi kemantapan sistem dalamannya, yakni ejaan, tulisan, kosa kata, istilah dan nahunya yang standard sudah lama melayakkannya menjadi bahasa moden. Sebagai bahasa moden, bahasa Melayu seperti juga bahasa Inggeris, mampu mengungkapkan sebarang hal, baik yang konkrit mahu abstrak dalam segala macam disiplin ilmu. Ini termasuk sains dan teknologi dan segala macam yang lain yang kompleks sifatnya.

Cadangan untuk menggunakan dua bahasa pengantar utama untuk pendidikan Sains dan Matematik adalah pandangan yang tidak mengambil kira nasionalisme Malaysia dengan serius. Nasionalisme yang antaranya menyangkut perasaan bangga dan sayang kepada negara, sebetulnya terdiri daripada pelbagai jenis. Dalam konteks polemik PPSMI ini, nasionalisme yang didapati sesuai ialah nasionalisme integral yang berpandukan sejarah negara, khususnya yang bersifat pribumi.

Sehubungan PPSMI, nasionalisme integral boleh dikaitkan dengan pembabitan rakyat dalam bentuk usaha setia menjayakan dasar negara, ikhtiar mutlak bagi memupuk perpaduan nasional dan upaya tekun untuk mempertingkat citra negara. Secara umumnya, ia mengkehendaki rakyat sesebuah negara itu mendahulukan kepentingan negara daripada kepentingan etnik atau individu.

Menerusi nasionalisme integral ini, dalam kes PPSMI, rakyat Malaysia perlu akur kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memperlihat, selain berkongsi keghairahan terhadapnya. Apatah lagi menentang dan mendesak dikembalikan PPSMI!

Dalam konteks Dasar MBMMBI yang menggantikan PPSMI, falsafah nasionalisme integral yang boleh diserlahkan ialah rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa nasionaliti linguistik bahasa Melayu dan juga nasionaliti budaya etnik Melayu, adalah asas pembentukan negara bangsa dan negara Malaysia itu sendiri. Penerimaan ini perlu dilakukan atas nama kepentingan negara.

Penerimaan ini akan menjadikan bahasa dan budaya Melayu bukan sekadar lambang negara, malah lambang nasional yang bukan saja kuat, tetapi amat berkesan. Dengan ini, bahasa Melayu misalnya bukan saja memiliki kuasa untuk memupuk dan membentuk jati diri nasional. Tetapi ia juga menjadi alat penting lagi berwibawa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.

Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, ia sesungguhnya bukan setakat menjadi lambang negara, tetapi memiliki wibawa nasionalisme linguistik untuk negara Malaysia. Dengan ini, citra negara yang menjadi antara unsur penting dalam jati diri nasional akan diwakili sepenuhnya selain dalam bentuk yang nyata pula, oleh bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara.

Menerusi Dasar MBMMBI, bahasa Melayu perlu dipupuk semula untuk menjadi bahasa negara yang benar-benar penting. Kepentingannya tidak boleh lagi sekadar lambang negara dalam bentuk formaliti semata-mata. Sehubungan ini, bahasa Melayu tidak boleh lagi menjadi bahasa negara patung. Ia perlu berhenti daripada menjadi hiasan saja, sedangkan peranannya diambil alih oleh bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris dalam kes PPSMI.

Cadangan untuk menggunakan bahasa Inggeris di bandar dan bahasa Melayu di luar bandar sekiranya PPSMI dikembalikan, adalah gagasan tidak baik untuk martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara. Bahasa Melayu akan dengan cepatnya dikenali sebagai bahasa kampung kerana rata-ratanya digunakan oleh rakyat di luar bandar, lebih-lebih lagi untuk memajukan diri mereka.

Penggunaan sebegini boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif. Sudah tentu status luar bandar ini boleh menjadikan bahasa Melayu dipandang daif oleh mereka yang terdidik dalam bahasa Inggeris di bandar. Status bahasa Melayu sebegini tidak dapat dinafikan adalah tidak baik untuknya selaku lambang negara, lebih-lebih lagi dalam konteks jati diri nasional.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan