Selasa, 10 Mei 2011

ISU BAHASA : Majlis antarabangsa dalam bahasa Melayu

Oleh Misiah Taib dari Copenhagen
misiah@bharian.com.my

Usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada kemungkinan besar acara antarabangsa yang dianjurkan Malaysia dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada masa akan datang, dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Namun, beliau berkata, perlu ada kemudahan logistik secukupnya disediakan dari segi terjemahan untuk peserta dari negara luar yang menghadiri acara berkenaan.

Mengambil contoh dalam persidangan antarabangsa di Jakarta baru-baru ini, ucapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, disampaikan dan disiarkan dalam bahasa Indonesia oleh pihak media, dengan lebih separuh penduduk ASEAN memahami bahasa berkenaan.

“Ada kemungkinan besar kita juga akan melaksanakannya, namun kita perlu bersedia dari segi logistik. Tapi itu saya fikir bukan satu masalah besar,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia sebelum menyampai ucaptama di Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran Asia Eropah (ASEMME3) di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas demikian ketika ditanya mengenai kesediaan Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan untuk penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai cadangan untuk menghantar guru bahasa Melayu mengajar anak warga Malaysia di luar negara seperti dicadangkan Malaysian Danish Association (MDA), Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu kini mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, akan meminta Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memikirkan pendekatan terbaik bagi menghantar atau mungkin memberikan kursus kepada bakal tenaga pengajar subjek bahasa Melayu di luar negara.

Kelmarin, Pengerusi MDA, Poo Chu Chua, melahirkan kebimbangan anak mereka tidak tahu langsung berbahasa Melayu dan tidak mengenali budaya negara asal-usul mereka, dan mahu kerajaan menghantar tenaga pengajar ke luar negara bagi menangani masalah itu.

Muhyiddin berkata, cadangan sama pernah dikemukakan kepada beliau oleh warga Malaysia di United Kingdom sebelum ini dan ia adalah satu perkembangan yang amat baik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan