PENURUNAN Al-Quran yang mulia
pada salah satu malam Ramadan (Lailatul Qadr) menjadikan penghulu segala bulan
ini lebih istimewa. Al-Quran yang merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW,
memiliki pelbagai peranan penting dalam kehidupan manusia.
Kitab yang memiliki pelbagai nama
itu antaranya bertindak sebagai panduan dan bimbingan, iaitu yang membawa
manusia daripada kesyirikkan dan kejahilan kepada cahaya keimanan, ilmu, dan
ketaatan bagi tujuan mendorong mereka melakukan kebaikan untuk urusan dunia
serta akhirat.
Al-Quran juga membentangkan
sebaik-baik kisah sebagai renungan, panduan serta pengajaran untuk dihayati.
Ini misalnya dapat dilihat dalam Surah Yusuf yang sebahagian besarnya
menceritakan kegetiran ujian yang menimpa Nabi Yusuf a.s. dan kejayaan baginda
menghadapinya dengan bijaksana.
Al-Quran juga merupakan penerang
dan bukti, misalnya tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW dan sifat serta
kedudukan Islam sebagai agama tanzil (wahyu). Al-Quranlah yang menegaskan
penyempurnaan agama Islam oleh Allah SWT selain pengiktirafan sebagai
satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT. Bahkan Al-Quran juga menjadi
penyembuh bagi penyakit-penyakit hati, iaitu keraguan dan kesangsian serta
penyakit-penyakit fizikal.
Dengan manfaat besar yang ada
pada Al-Quran malang seandainya rahsianya tidak dibongkar dan kandungannya
tidak dihayati, dijadikan panduan dalam perencanaan dasar kehidupan serta
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Amat sedih melihat kedudukan Al-Quran dalam kehidupan umat Islam hari ini. Selain jarang-jarang dibaca, Al-Quran juga sekadar menjadi hadiah atau perhiasan, dan jika pun dibaca hanya
untuk sesebuah majlis atau pada waktu tertentu, khususnya saat-saat yang
mendesak.
Umum mengetahui keberkatan yang
dibawa oleh Al-Quran bukan sahaja kepada pembaca bahkan persekitarannya.
Misalnya jika ia dibaca oleh penghuni sesebuah keluarga, maka kediaman tersebut
seolah-olah memiliki roh dan jiwa dan diliputi ketenangan manakala penghuninya
dikurniai keselamatan dan kebahagiaan.
Dalam sebuah hadis Baginda, Nabi
SAW mengingatkan umat Baginda agar tidak menjadikan rumah mereka seperti sebuah
tanah perkuburan, yang sunyi daripada tilawatul Quran. Ia akan mengundang
kehadiran syaitan, makhluk yang diingatkan Allah SWT sebagai musuh utama
manusia yang akan menimbulkan rasa tidak tenteram dan permusuhan sesama mereka.
Amalan membaca Al-Quran secara
berterusan perlu disemarakkan kerana ia penting dalam menjamin kejayaan langkah
seterusnya, iaitu penghayatan isi kandungannya dan penerokaan prinsip penting
yang menjamin kesejahteraan kehidupan.
Salah satu prinsip penting yang
digariskan Al-Quran dalam banyak ayat adalah pemeliharaan persaudaraan antara
sesama Muslim. Prinsip-prinsip penting ini seterusnya dikukuhkan pula oleh
hadis-hadis Nabi SAW. Al-Quran misalnya menegaskan jalinan yang mengikat antara
seorang Mukmin dengan yang lain. Sehubungan itu, mereka perlu berusaha
memelihara jaminan yang diasaskan pada keimanan kepada Allah SWT itu dengan
sebaik mungkin.
Maksud sebuah hadis Nabi SAW
menjelaskan bahawa seseorang Muslim merupakan saudara kepada Muslimnya yang
lain. Justeru, ia bertanggungjawab untuk tidak menzalimi saudara Muslimnya atau
membiarkan ia dizalimi.
Seterusnya ditegaskan bahawa jika
seseorang Muslim memenuhi hajat saudaranya, maka hajatnya juga akan dipenuhi
oleh Allah SWT dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu
kesulitan maka Allah akan melepaskan kesulitan dan penderitaan hari kiamat.
Demikian pula seandainya seseorang Muslim menutup keaiban saudaranya, maka
Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.
Sudah menjadi resam kehidupan,
hubungan yang terjalin antara sesama insan pasti ada ujiannya. Justeru, jika
berlaku sesuatu perbalahan atau pertikaian antara sesama umat Islam, al-Quran
menganjurkan supaya pihak ketiga daripada kalangan umat Islam berusaha
mendamaikan mereka (Surah al-Hujurat, ayat 10).
Dengan menghayati semangat
Ramadan yang menggesa penyucian jiwa, bersama-samalah kita bermuhasabah dan
menilai sikap kita terhadap saudara Muslim yang lain. Bersungguh-sungguhkah
kita dalam menunaikan segala hak mereka? Atau sebaliknya kita sentiasa
menyakiti dan meluahkan kebencian terhadap mereka dengan tidak mengambil kira
suasana dan lokasi?
Adakah kita sentiasa bersedia berunding,
berlapang dada, dan memaafkan, sekiranya berlaku pertikaian antara kita dengan
mereka? Atau sebaliknya kita menggunakan segala ruang dan kuasa yang dimiliki
untuk membalas dendam, menyakiti dan memudaratkan mereka dengan sehabis daya?
Seandainya pula terjadi
perbalahan antara sesama umat Islam, apakah sikap yang kita ambil ? Adakah kita
melaksanakan tanggungjawab mendamaikan antara kedua-duanya atau hanya membisu?
Atau lebih buruk lagi hanya bertindak mengeruhkan lagi keadaan dengan tidak
memberikan nasihat yang benar selain mengadu domba antara kedua-duanya sehingga
hubungan antara kedua-duanya hancur musnah.
Harus diingat bahawa apa-apa pun
juga sikap kita, ia menjadi cerminan kepada wajah Islam pada mata orang lain.
Jika mulia amalan dan sikap kita maka yang terpancar pada wajah Islam adalah
keindahan dan kemuliaan. Demikianlah pula sebaliknya.
Mengambil kira tirai Ramadan yang
baru sahaja disingkap dan peluang memperbaiki diri terbuka luas, sama-samalah
kita memohon keampunan, menjernihkan hati, dan memperbaiki hubungan antara
sesama kita.
Ini kerana Allah SWT memberikan
jaminan-Nya bahawa sesiapa jua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang
menganiayai diri sendiri dengan melakukan dosa lalu segera bertaubat dengan
sejujurnya, Dia pasti akan mengampunkan dosa-dosa mereka (Surah Ali 'Imran,
ayat 135).
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan