Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
SEDIKIT sebanyak, isu membabitkan mahasiswa pasti mengganggu minda
masyarakat, apatah lagi kebangkitan golongan itu kebelakangan ini agak ketara.
Kebangkitan itu juga ibarat isyarat mahasiswa hari ini lebih mudah
dipengaruhi atau terpengaruh dengan sesuatu isu berbentuk provokasi berbanding
perkara rasional.
Sedangkan antara matlamat utama institusi pengajian tinggi (IPT) ialah
membantu mentransformasikan minda serta diri mahasiswa menjadi lebih terbuka,
peka, dinamik dan berwibawa.
Namun, usaha itu tampak sukar dengan mentaliti mahasiswa sukar diubah.
Apakah peningkatan nilai ilmiah di kalangan mereka masih lagi di takuk lama?
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol
Hamid Abu Bakar berkata, proses itu berdepan halangan kerana mereka sendiri
membuat batasan terhadap perubahan ingin dilakukan.
Beliau berkata, transformasi mudah jika dilaksanakan melalui kata-kata,
sebaliknya perubahan bagi menganjakkan nilai pemikiran serta perbuatan adalah
cabaran terbesar.
“Semua boleh melakukan transformasi melalui kata-kata, tapi hakikatnya
mereka akan gagal apabila melaksanakannya melalui perbuatan.
“Ini menunjukkan transformasi bukan mudah kerana berkait rapat dengan cara
berfikir, kesedaran dan motivasi melakukan perubahan.
“Masalahnya, cara pemikiran mahasiswa kita tidak sama serta ada pelbagai
definisi. Itu menyebabkan proses perubahan yang ingin dilaksanakan sukar dan
bersimpang-siur,” katanya.
Pembabitan mahasiswa yang lebih menjurus kepada perlakuan negatif
kebelakangan ini cukup membimbangkan masyarakat, apatah lagi mereka mengharapkan
golongan itu sebagai ejen perubahan masa depan.
Kegusaran semakin bertambah apabila melihat mudahnya mereka dipergunakan
dalam ‘memanaskan’ sesuatu isu hingga menimbulkan tanggapan kurang
menyenangkan.
Apatah lagi pencapaian sebahagian besarnya yang kurang cemerlang dalam
akademik menjadikan mereka sasaran mudah untuk disalahkan.
Natijahnya, IPT sebagai tempat naungan turut menerima kritikan dengan
tanggapan gagal melaksanakan fungsi sebenar memberi pendidikan.
“Mahasiswa yang menggunakan nama IPT sebagai tempat untuk meluahkan rasa
tidak puas hati dianggap sebagai tidak tahu berterima kasih. Biarpun ia bukan
kesalahan institusi itu, tapi kerana perlakuan mahasiswanya, ia turut mendapat
nama busuk.
“Bagaimanapun, masyarakat jangan membuta tuli membuat tanggapan, perlu
mengakui bukan mudah membantu generasi muda ini melakukan transformasi.
“Melaksanakan transformasi perlu lahir daripada hati yang ikhlas serta
pemikiran matang. Belajarlah di institusi terbaik di dunia sekali pun, jika
mahasiswa enggan berubah, segala usaha menjadi sia-sia,” katanya.
Usaha tranformasi perlu memberi penekanan kepada mahasiswa Melayu kerana
mereka mudah terpengaruh dengan isu di luar kampus sehingga membawa masalah
kepada IPT.
Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab sering mengintai peluang di
kalangan mahasiswa kerana tahu golongan itu ‘mempunyai kuasa untuk bersuara’.
“Jangan menafikan bahawa mahasiswa antara jentera paling berpengaruh di
dunia, justeru pihak berkepentingan peribadi suka mengambil kesempatan.
“Mereka tahu sejauh mana kemampuan mahasiswa ini. Sebab itu pentingnya
mereka mempunyai pengukuhan jati diri dengan melakukan transformasi minda dan
diri bagi mengelak diperdaya.
“Malangnya, bukan semuanya dalam kategori ‘bijak’. Ramai yang pandai tapi
ada yang pandai memanipulasi atau mudah
dimanipulasi hingga menjejaskan keseluruhan sistem sedia ada,” katanya.
“Transformasi adalah satu fasa perubahan dan menjadikan mereka lebih baik. Jika
tidak, fasa kehidupan akan mati.
“Transformasi juga boleh membantu menyelamatkan masa depan mereka daripada
terus menjadi ‘hamba’ orang lain. Perubahan yang positif boleh melahirkan
generasi terbilang,” katanya.
Beliau turut kesal kerana
kebanyakannya sukar berubah hingga menyebabkan kualiti mahasiswa hari ini mudah
dipersoalkan.
“Setiap IPT komited menjalankan tanggungjawabnya seperti menyediakan
pensyarah yang bagus dan kemudahan terbaik, namun berapa ramai yang nampak
kelebihan ini?
“Betul mereka belajar tapi hanya ilmu yang sudah ada sedangkan banyak lagi
boleh diterokai. Berapa ramai mahasiswa yang suka membuka mulut di dalam
kuliah? Berapa ramai sanggup mengejar pensyarah hanya kerana ingin bertanyakan
soalan?
“Saya percaya senario ini sama seperti 20 tahun dulu. Kebanyakannya pasif
menjadikan institusi ‘terpaksa’ melahirkan mahasiswa bertaraf sederhana,”
katanya.
Bagaimanapun, jika ada kemahuan, mahasiswa pasti mampu melonjakkan
keupayaan dan meletakkan kemampuan pada tahap membanggakan.
“Bukankah universiti adalah gedung ilmu, mengapa tidak menggunakan peluang
ini sebaiknya tanpa perlu ‘menambah’ perencah yang boleh memusnahkan diri
sendiri?
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan