Oleh : Dr Anwar Ridhwan
Peralihan
tamadun tentukan rupa, jiwa Melayu Nusantara
Islam membantu perkembangan celik huruf di Asia Tenggara. Tulisan Jawi yang
ditambah beberapa huruf daripada tulisan Arab akhirnya membentuk tradisi
intelektual di Nusantara.
Kewujudan empayar Melayu Melaka menjadikan Islam sebagai wadah penting dari
segi keagamaan sehingga kini.
Tahun ini tarikh 6 Ogos 2012 bersamaan 17 Ramadan 1433 turut disambut
sebagai memperingati hari Nuzul al-Quran. Kelantan, Pahang, Perak, Perlis,
Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu menjadikan hari ini sebagai cuti umum.
Turunnya al-Quran kepada junjungan Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur
mulai malam 17 Ramadan lebih 1,400 lalu, memberi ‘cahaya’ serta kesan
kerohanian besar kepada seluruh umat Islam, di samping memberi rahmat kepada
seluruh alam.
Hasil turunnya al-Quran, serta ajaran yang dipraktikkan Rasul dan
penganutnya, terbentuklah peradaban Islam yang awal. Prof Dr Syed Muhammad
Naquib al-Attas menafsir kedatangan Islam sebagai fenomena peralihan paksi
daripada tamadun rantau ini yang berasaskan agama serantau, iaitu Hindu-Buddha
kepada tamadun yang berasaskan agama sarwajagat, iaitu Islam.
Peralihan paksi tamadun ini penting dalam menentukan rupa dan jiwa bangsa
Melayu yang baru, iaitu bangsa yang bebas daripada belenggu khurafat dan
tahyul, menjadi bangsa rasional dan intelektual.
Masyarakat dunia hari ini tidak saja ‘melihat’ tamadun masa lampau
berdasarkan tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur wujudnya tamadun
Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di
Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok
Besar; tamadun Mesir kerana Piramid; dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di
Semenanjung Yucatan.
Lebih penting daripada itu ialah tinggalan dalam bentuk teks persuratan
dalam pelbagai jenis tulisan termasuk pictographs dan ideograms.
Alam Melayu di tanah lamanya sebelum kedatangan Islam turut meninggalkan
kesan sejarah berupa pelbagai jenis tulisan dan candi. Kerajaan Champa (dari
abad ke-3 hingga abad ke-14 Masihi), Langkasuka di Segenting Kra (abad ke-6
hingga 7 Masihi), Sriwijaya di Sumatera (abad ke-7 hingga 13 Masihi) dan
Majapahit di Jawa (abad ke-10 hingga 14 Masihi) masing-masing meninggalkan
warisan sejarahnya.
Malah, pada zaman Sriwijaya berlangsung interaksi antara tamadun apabila
tamadun India banyak mewarnai aspek ketamadunan Melayu pada zaman pra-Islam.
Bahasa Melayu kuno menerima sekian banyak kosa kata serta unsur tatabahasa
bahasa Sanskrit.
Apa yang dialami oleh bahasa Melayu kuno pada zaman Sriwijaya membuktikan kebijakan
penutur dan pengguna bahasa itu yang menyerap sejumlah kosa kata bahasa asing
(Sanskrit) dan mencantikkan acuan tatabahasanya, sebagai bukti awal bahawa
bahasa Melayu ialah sebuah bahasa yang dinamik dan kerana kedinamikan itu
bahasa Melayu terus berkembang hingga sekarang. Pengalaman Sriwijaya dianggap
sebagai gelombang pertama perkembangan bahasa Melayu.
Gelombang keduanya berlaku pada zaman kesultanan Melayu, apabila menerima
Islam sebagai asas tamadun Melayu yang baru.
Sejak disinari cahaya tauhid, umat Melayu-Islam memilih tulisan Jawi –
daripada tulisan Arab yang ditambah beberapa huruf bagi menyesuaikannya dengan
lidah serta bunyi Melayu, membentuk aksara bahasa Melayu baru.
Bahasa Melayu baru yang terbentuk dalam gelombang kedua itu menzahirkan
sejumlah karya besar dan hebat. Pada abad ke-12, kitab dalam bahasa Arab
berjudul Bahr Al-Lahut tulisan ahli tasawuf Arab bernama Abdullah Arif yang
pernah berada di Aceh pada 1111 diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hikayat Raja
Pasai pula dikarang pada pertengahan kedua abad ke-14.
Petanda bahawa karya besar dan maju dalam bahasa Melayu muncul sejak abad
ke-14 dapat diikuti melalui karya Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri, Syamsudin
al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkili, Abdul Samad al-Falimbani, Syekh Muhammad
Arsyad al-Banjari, Syekh Daud al-Fatani, Raja Ali Haji dan sebagainya lagi yang
menulis kitab sufisme, falsafah, metafizik, tasawuf dan agama. Di samping itu
tercipta pula Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin oleh Tun Seri Lanang.
Menurut Ismail al Faruqi, tauhid memberikan identiti kepada peradaban
Islam. Oleh kerana tauhid itu pemberi identiti, maka semaju mana pun sesebuah
masyarakat itu menurut kriteria peradaban Barat, masyarakat belum mencapai
takah ‘peradaban’ yang tinggi dan lengkap menurut Islam.
Penulis ialah
Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan