HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada
bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam
suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di
negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama
yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan
penuh cabaran dan dugaan. Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang
terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang
panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama
ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah.
Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk
beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang
berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang
berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan
sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima
bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.
Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan
kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat
hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan
yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati. Menyentuh
soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang
sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya
Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.
Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah
melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai
lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun
kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil
sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari
raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.
Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik
mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di
sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga 'menyembah' bumi ditiup angin
kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan
keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13
yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur
Gemilang.
Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula
dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah
baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang
bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok
kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai
Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan
hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat
atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan
menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan
di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat
yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai
kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya
nanti.
Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna warni
atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman
dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang
kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang
percuma? Kalau dapat....kibarkan, kalau tak dapat...tak apa, biar orang lain
kibarkan.
Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan
lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian
sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan
kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema
sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk
mengibarkan Jalur Gemilang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan