DENDAM dan pembalasan sesama manusia mungkin merupakan antara kisah yang
selalu kita dengar.
Dalam peperangan, manusia terus berdendam dan saling membunuh pihak yang
bertentangan.
Banyak kisah pergaduhan sesama manusia yang kita dengar, sebahagian besar
daripadanya berpunca daripada rentetan kisah dendam yang berpanjangan.
Kajian-kajian psikologi yang dijalankan sejauh ini menunjukkan dendam
biasanya akan berakhir dengan pelbagai tingkah laku negatif, termasuklah bunuh,
vandalisme, kelangsangan dan jenayah. Ini berlaku terutamanya kepada pihak lain
yang menjadi punca kemarahan.
Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, ada juga orang yang berdendam melakukan
sesuatu yang merosakkan diri sendiri, misalnya melukakan diri sendiri atau
mengambil tindakan yang lebih menakutkan, misalnya membunuh diri.
Seorang lelaki warga Pakistan baru-baru ini membunuh diri bersama dua
anaknya dengan terjun dari sebuah kondominium. Besar kemungkinan ia disebabkan
dendam yang disebabkan oleh masalah rumah tangga yang dialaminya.
Mangsa mungkin tidak berupaya melakukan tindak balas kepada sasarannya,
tetapi mengambil tindakan pasif dengan merosakkan diri sendiri dan
anak-anaknya.
Mengapa orang yang berdendam selalunya akan melakukan sesuatu yang
adakalanya di luar kawalan?
Kajian-kajian psikologi menunjukkan pelbagai sebab mengapa manusia yang
berdendam ini melakukan tindakan yang tidak terjangkau akal.
Antara sebab yang selalu disebut termasuklah untuk menjaga air muka,
memberi pengajaran kepada mangsa, membina penghormatan dan mengembalikan harga
diri.
Dalam banyak keadaan, semua ini dilakukan bagi memastikan kononnya keadilan
sepadan akan dapat dicapai (getting even).
Oleh sebab itulah, dalam banyak kes dendam, kebanyakan serangan akan
dilakukan terhadap seseorang atau objek yang menyebabkan punca dendam itu
berlaku.
Ini bagi memastikan bahawa punca atau objek akan mendapat pengajaran yang
bersesuaian dengan apa yang telah dilakukan.
Pembalasan juga mungkin tidak semestinya terhadap mereka yang melakukan
sesuatu yang dianggap menyakitkan. Ia boleh jadi terhadap pihak lain yang
dianggap mempunyai persamaan dengan individu atau mereka yang menjadi punca
kepada dendam.
Dalam banyak kes, serangan pengganas misalnya telah menjadikan orang awam
sebagai sasaran. Orang awam itu dianggap mewakili atau ada hubungan dengan
mereka yang menjadi punca kepada dendam, walaupun hakikatnya orang awam tadi
mungkin tidak mengetahui tentang sebab permusuhan.
Penilaian subjektif
Sungguhpun begitu, harus diingat bahawa manusia biasanya hanya menggunakan
penilaian subjektif bagi melunaskan dendam mereka.
Ada tindakan yang adakalanya dilihat sebagai kecil sahaja, tetapi bagi
sesetengah orang, ia dilihat sebagai hal yang besar.
Tindakan mengacah atau mengejek misalnya, kadang-kadang berakhir dengan
tragedi pembunuhan. Ini kerana tindakan mengacah atau mengejek itu mungkin
dilihat sebagai sesuatu yang menjejaskan kehormatan sesetengah individu.
Semua ini menunjukkan bahawa dendam adalah reaksi emosi yang berlainan
antara seseorang individu dengan individu yang lain. Sebab itulah, dalam
perhubungan dan interaksi kita dalam masyarakat, kita sepatutnya mampu
membezakan sikap dan karakter seseorang individu agar tidak mencetuskan
permusuhan.
Walaupun umumnya, dendam dan pembalasan ini melibatkan sesama manusia,
bagaimanapun, adakalanya ia juga boleh melibatkan objek yang bukan manusia.
Memburu keadilan
Dalam kes di Sarawak baru-baru ini, seorang lelaki telah melakukan tindakan
nekad dengan memburu buaya yang telah mengorbankan nyawa isterinya.
Dia terus memburu bagi memastikan bahawa keadilan akan dapat dicapai dan
hukuman yang sepadan diterima oleh buaya yang menyerang isterinya.
Adakah dendam manusia terhadap objek yang bukan manusia merupakan tindakan
yang pelik?
Secara psikologi, ia bukanlah perkara yang pelik kerana haiwan tadi
dianggap sebagai 'objek' yang patut diberikan pengajaran.
Di Bangladesh, banyak harimau telah dibunuh kerana harimau ini dikatakan
sebagai musuh yang telah mengorbankan banyak nyawa. Ini menyebabkan harimau
dijadikan sebagai sasaran dendam manusia.
Bagaimanapun, ada sesuatu yang patut diberikan perhatian. Sebagai manusia,
sia-sia untuk kita mempunyai sifat dendam terhadap haiwan.
Haiwan tidak menyerang atau melakukan tindakan seperti manusia. Mereka
bertindak dengan menggunakan naluri dan bukan kerana dendam atau perasaan buruk
seperti manusia.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa dalam banyak kes, haiwan menyerang
mangsanya kerana disebabkan keadaan lapar atau terancam. Ada pula kerana
disebabkan oleh sifat biologikal haiwan itu sendiri.
Harimau atau singa misalnya, akan menyerang mangsanya kerana mereka
dilahirkan dengan sifat untuk menyerang.
Haiwan seperti buaya pula biasanya akan menyerang mangsa yang dianggap
telah menjangkau lingkungan kuasa 'taklukan' mereka.
Sebab itulah, sekalipun manusia terus memberikan pengajaran kepada haiwan,
ia akan terus menyerang dan menjadikan manusia sebagai mangsanya.
Haiwan tidak mempunyai proses penilaian seperti manusia dalam
tindakan-tindakan yang dilakukan. Ia menyerang manusia bukan kerana perasaan
tertentu, tetapi kerana itulah naluri yang telah diciptakan untuknya.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan