Jumaat, 13 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : 12,700 Lepasan SPM Kurang Cemerlang Dapat Peluang Kedua Menerusi Program MDAB


DUNGUN : Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang ditawarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) setakat ini telah memberi peluang kepada 12,700 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang cemerlang daripada keluarga kurang kemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata pelajar yang mengikuti program yang dilancarkan sejak 2010 itu telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

Daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 pelajar sedang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di UiTM di seluruh negara, katanya.

"Kita mencari pelajar-pelajar lepasan SPM ini jauh hingga ke kawasan pedalaman, terutama mereka yang terdiri dari keluarga miskin tegar untuk diberi kesedaran mengubah hidup masing-masing melalui pelajaran," katanya kepada pemberita pada majlis program MDAB yang dihadiri lebih 20,000 pelajar dan warga UiTM di Arena Square di sini, Jumaat.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja seharinya ke Terengganu hari ini. Antara syarat bagi mengikuti program MDAB ialah perlu memperoleh minimum tiga kepujian dalam SPM dan daripada keluarga berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Dr Sahol berkata program itu bertujuan memberi peluang kedua kepada anak Melayu untuk mengubah masa depan, walaupun pencapaian mereka dalam SPM kurang memberangsangkan dan dibiayai sepenuhnya.

"Pembiayaan bagi mereka diperolehi hasil kutipan wang sumbangan alumni dan wang zakat.

"Alhamdulillah, melalui kajian yang kita jalankan, mendapati pelajar yang menyertai program ini sangat bersungguh-sungguh dan bertekad mengubah hala tuju hidup mereka berikutan komitmen yang diberi kerajaan," katanya.

Kumpulan pertama pelajar program itu bakal menamatkan pengajian di peringkat diploma pada tahun 2013 setelah mengikuti kursus pradiploma selama empat hingga lima bulan.-BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan