Oleh : Akhbar Satar
Hukuman tegas patut jadi pengajaran
Tidak lama dulu, Laura Callahan, bekas Pengarah Kanan dan
Ketua Penerangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat di bawah
pentadbiran Presiden Barack Obama, meletakkan jawatan selepas beliau disiasat
dan didapati membeli Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada
online. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah
tidak melakukan semakan latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas.
Mengikut kajian di Amerika Syarikat, pada tahun lalu saja, kes pemalsuan ijazah
membabitkan AS$1 bilion (RM3 bilion) setahun.
Amerika Syarikat juga mengeluarkan sebanyak 50,000 PhD palsu
ke seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakan daripada laman web ini beroperasi di
Alabama, Mississippi dan Wyoming memandangkan undang-undang di negeri berkenaan
masih longgar dalam menangani isu itu.
Amerika adalah negara pelopor dalam penipuan dan pemalsuan
sijil kelulusan seperti ini. Ia merebak ke negara lain seperti India,
Singapura, Russia, Pakistan, Indonesia dan Filipina.
Di Malaysia, ia hanya mula dikesan dengan penipuan untuk
mendapat kelulusan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Situasi ini perlu
dibendung agar ia tidak merebak dan kelak diambil alih oleh pendatang Afrika
yang terkenal dalam jenayah penipuan.
India mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, termasuk 350
yang tidak diiktiraf kerajaan manakala di Pakistan pula ada banyak universiti
melantik profesor yang memperoleh kelulusan PhD dengan cara membeli kelulusan
palsu. Pembabitan ‘Profesor Segera’ ini merosakkan imej dan mutu pembelajaran
di Pakistan, terutama dalam bidang perubatan.
Beberapa bulan lalu, di Singapura, penipuan sijil dikaitkan
dengan sebuah institusi terkemuka dan kelulusan bidang yang popular masa kini
ialah pengurusan bisnes dan pelancongan. Sijil palsu ini dijual dengan RM30,000
sekeping, termasuk transkrip mengandungi keputusan yang baik.
Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000
sekeping. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu University Havard, sebuah
universiti terbaik di dunia dengan harga RM120,000. Filipina juga tidak
ketinggalan, mereka hanya mengenakan bayaran sekali gus RM30 hingga RM200 bagi
sebarang sijil atau ijazah dalam masa dua jam.
Kira-kira sebulan lalu, Kementerian Pelajaran Tinggi Arab
Saudi membongkar kegiatan 110 agensi yang menjual ijazah palsu daripada
universiti asing sejak beberapa tahun lalu. Dalam beberapa minggu lalu, Polis
Indonesia menumpaskan satu sindiket pengeluaran sijil palsu yang dijual dengan
harga RM2,000 sekeping.
Apa yang menyedihkan ada sebuah laman web yang menyediakan
perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu daripada pusat pengajian tinggi dengan
hanya perlu membayar RM240. Tawaran ini menjadi lebih menarik apabila mereka
bebas memilih apa saja bidang yang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk
diisi di dalam ijazah palsu terbabit.
Beberapa hari lalu, selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja
Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5
juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan
pembelinya terdiri daripada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.
Syarikat menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi
ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan
yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University
of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University
dan Charles Molnar University.
Adalah wajar sesiapa yang menipu menggunakan sijil palsu
boleh dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, jika sabit
kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau
kedua-duanya sekali. Impak hukuman ini bukan saja boleh menjatuhkan maruah
seseorang bahkan juga memusnahkan masa depan mereka.
Ramai orang yang sakit jiwa, pemalas dan suka menipu cuba
mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah
secara mudah dalam tujuh hari, sedangkan pelajar yang belajar di universiti
terpaksa belajar antara tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma,
ijazah, sarjana atau PhD.
Satu pusat menyimpan data mengenai seseorang graduan mesti
ditubuhkan untuk mengelakkan kes pemalsuan ijazah, mengadakan ciri keselamatan
atau semua sijil dicetak oleh Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti
yang tinggi.
Seseorang yang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan
pakar motivasi adalah tidak berintegriti dan patut berasa jijik jika memiliki
ijazah palsu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan