Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran
Seremban (MPS) bertindak menurunkan poster dan iklan ah long bagi memastikan
orang ramai tidak terjebak dengan skim pinjaman haram itu di sekitar bandar
Seremban, Negeri Sembilan awal bulan ini.
Oleh : Fauziah Arof
MEMANDU di jalan raya yang sesak sambil melayan radio dalam
perjalanan ke pejabat dalam bulan Ramadan ini, saya mendengar bermacam-macam
iklan promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri, daripada kain, langsir, produk
minuman, makanan, jubin lantai dan entah apa lagi semuanya dikaitkan dengan
perayaan itu.
Dan yang paling menarik perhatian adalah iklan daripada sebuah institusi
kewangan yang menawarkan pinjaman wang sempena Hari Raya. Wah, semua pihak mahu
mengambil kesempatan sempena Hari Raya untuk melariskan produk-produk termasuk
perkhidmatan.
Semuanya mahu menggalakkan orang kita berbelanja besar dan sakan untuk
menyambut Syawal ini.
Dan jika anda lihat di laman sosial terutamanya Facebook dan iklan-iklan di
Internet, ramai juga yang menjadi agen kepada mana-mana syarikat kewangan
berlesen mengajak rakan-rakan mengambil pinjaman yang ditawarkan sempena hari
raya, ada yang mencapai sehingga RM50,000!
Memang hebat penangan iklan-iklan tersebut, jika tidak fikir panjang, ramai
yang pasti terjerat untuk meminjam walaupun sebenarnya tidak ada keperluan
langsung atau terdesak pun.
Perlukah kita sampai ke tahap meminjam wang pada bank atau syarikat
kewangan berlesen untuk menyambut Hari Raya? Itu belum lagi masuk khidmat
ceti-ceti haram atau ah long.
Dengan kakitangan awam mendapat bonus setengah bulan, pesara pun dapat
bonus, peneroka Felda juga, tentu ini dapat melegakan sedikit sebanyak
persediaan golongan ini untuk menyambut hari lebaran itu.
Kepada kakitangan swasta, tidak mendapat bonus tidak semestinya perlu
meminjam sana sini. Memanglah perit kepada golongan yang berpendapatan rendah
dan sederhana untuk menyediakan segala persiapan Hari Raya terutamanya dalam
memenuhi keperluan dan permintaan anak-anak dengan pendapatan yang tidak
banyak.
Tetapi sekiranya anda memilih untuk membuat pinjaman bank atau syarikat
kewangan, ia pasti akan menambah beban tanggungan anda selepas ini. Nanti, raya
sudah habis sebulan, hutang sehingga raya tahun depan pun belum tentu habis.
Kita mesti ingat beberapa bulan lagi, pejam celik, pejam celik, musim
persekolahan sesi tahun depan pula akan bermula. Perbelanjaan ini lebih penting
dan besar kepada yang mempunyai ramai anak. Pada masa itu, masihkah kita mahu
meminjam lagi?
Sebaik-baiknya, perbelanjaan diatur mengikut kemampuan diri sendiri dan
keluarga. Perlukah kita berhabis-habisan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri
sedangkan agama kita turut menuntut kita bersederhana dan tidak melakukan
perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan keluarga kelak.
Sekiranya kita berbelanja secara berhemah, tidak mengikut rasa, ukur baju
di tubuh sendiri dan berbelanja atas perkara-perkara yang perlu, sudah pasti
isu-isu melibatkan kewangan setiap tiba Hari Raya dapat diatasi.
Dan kita juga dapat menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini
dengan hati dan fikiran yang tenang, fokus, tanpa diserabutkan dengan
masalah-masalah kewangan.
Kita perlu mensyukuri dengan kemakmuran yang diberikan Tuhan di negara ini,
di bulan Ramadan, kita dapat berpuasa, membuat amal ibadah dengan aman, serba
serbi ada, sedangkan umat Islam di negara lain seperti Somalia dan umat Islam
Rohingya di Myanmar bukan sahaja tiada makanan untuk bersahur, berbuka pun
begitu juga. Inikan pula hendak membuat persiapan seperti kita untuk menyambut
raya.
Dan ada juga suami isteri yang tidak bertegur sapa, bertengkar di bulan
yang mulia ini kerana hal-hal perbelanjaan untuk berhari raya!
Yang peliknya, pada Hari Rayalah semua benda hendak ditukar baru.
Seolah-olah kalau tidak ditukar, tidak boleh beraya. Dan berlaku juga amalan
pembaziran, sehingga ada kuih raya yang dibeli masih ada apabila menyambut Hari
Raya Aidiladha nanti. Ada yang membeli baju berpasang-pasang, sudahnya berlapuk
disimpan di dalam almari dan dipakai setahun sekali sahaja.
Dalam pada itu, kita juga meminta pihak yang berkaitan agar membuat
pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga-peniaga yang mungkin mengambil
kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati.
Dengan pemberian bonus kepada kakitangan awam, pesara, peneroka Felda dan
kecenderungan orang kita berbelanja sakan untuk menyambut Aidilfitri ini, kita
bimbang ramai peniaga yang gatal menaikkan harga barangan. Selain isu harga,
kualiti barangan juga perlu ditengok sama.
Dalam berbelanja kitalah sebenarnya menentukan apa yang perlu, apa yang
tidak, bukannya promosi atau iklan-iklan produk. Jika mampu berbelanja lebih,
tidak mengapa, jika tidak, kesannya mungkin mengganggu kesejahteraan dan
kualiti hidup kita dan keluarga dalam tempoh yang agak panjang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan