Kemalangan maut melibatkan bas
sekolah dan sebuah treler di Kilometer 382.1, Lebuh raya Utara-Selatan dekat
Behrang yang mengakibatkan empat orang maut dan 36 lagi cedera pada November
tahun lalu.
Oleh : DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Oleh : DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
MEMANDU di lebuh raya terutama
arah timur, barat, utara atau selatan tidak lagi mengundang keselesaan. Tanpa
mengira waktu, baik di awal pagi, rembang tengah hari atau waktu dinihari sudah
tidak lagi terasa ketenteramannya.
Malah setiap kali terpaksa
memandu melalui lebuh raya ini para pengguna sentiasa diancam kebimbangan bakal
berhadapan dengan kemalangan. Umpama memasuki medan peperangan, yang mana
risiko kecederaan dan kematian sentiasa terbayang dalam minda.
Ini dikukuhkan dengan bukti yang
saban waktu kita baca, kita lihat paparannya di media bagaimana ngerinya
kemalangan yang bukan sahaja meragut satu nyawa pada satu ketika tetapi memakan
korban hingga puluhan nyawa. Ia bukan sahaja sekadar kematian yang ditangisi
oleh keluarga mangsa tetapi sebenarnya mendatangkan kerugian besar kepada
negara dari impak ekonomi, pelaburan dan tenaga kerja. Malah rata-rata yang
terkorban adalah dalam lingkungan umur yang produktif.
Pelbagai kempen serta
penguatkuasaan sudah dilaksanakan namun statistik kemalangan jalan raya di
negara kita tidak pernah menurun. Malah menunjukkan peningkatan dan menelan
korban yang semakin ramai.
Tentu ada yang tidak kena.
Mustahil penyakit tidak mempunyai ubat dan penawarnya atau masalah tidak
menemui penyelesaian dan menjadi usai begitu sahaja. Sedangkan masalah global
boleh kita maju ke hadapan menjadi juara takkanlah pula masalah di jalan raya
kita sudah buntu menggaru kepala?
Malangnya, kita semua sudah
seperti hilang punca dan cara dan menyerahkan semua pada pihak berkuasa. Pihak
berkuasa mana pula agaknya yang patut menjadi juara? Ini pun menjadi satu lawak
jenaka apabila berlaku upacara tuding menuding dan saling melepaskan tengkuk
masing-masing.
Cuba kita perhatikan di lebuh
raya yang mempunyai tiga lorong. Bagaimana sikap buruk pemandu kita yang
memandu perlahan di lorong paling kanan. Ini mengundang rasa marah kepada
pemandu di belakang yang tidak dapat memotong. Alasan mereka, had laju cuma 110
kilometer sejam jadi kiranya sudah memandu pada had laju berkenaan orang di
belakang sudah melanggar undang-undang, jadi persetankan mereka. Benarkah
begitu cara pemanduan di lebuh raya?
Kemudian kita lihat kenderaan
berat dan komersial. Baik lori, bas, teksi, van, treler bukan sahaja memandu
melebihi had laju malah saling berlumba. Bukan setakat lorong yang
diperuntukkan kepada mereka yakni lorong pertama dan kedua tetapi sudah
bermaharajalela di lorong paling kanan yang sememangnya 'diharamkan' untuk mereka.
Tetapi dengan selamba mereka memandu di lorong itu bukan setakat waktu memotong
tetapi kadangkala berjam lamanya berada di lorong berkenaan.
Tidakkah mereka diberi kursus
wajib sebelum mendapat lesen PSV mengenai tatacara memandu di lebuh raya? Sudahlah
begitu, dengan barangan yang dibawa terdedah seperti sampah sarap, pasir, malah
daging babi yang menjengkelkan memang menggambarkan seolah-olah tidak ada
undang-undang dan peraturan yang perlu mereka patuhi.
Menjadi kepantangan kepada
golongan pemandu kenderaan komersial ini jika diberi lampu atau dihon supaya ke
tepi, alamat bala bakal menanti sama ada ditunjuk isyarat lucah dihimpit malah
dibaling dengan botol minuman juga seringkali berlaku.
Tidak cukup dengan itu, kini
penunggang motosikal juga sudah berani menunggang secara cilok ke tepi dan ke
tengah tanpa menghiraukan keselamatan diri seolah-olah mereka berada di jalan
persekutuan dan menganggap cara pemanduan begitu dibenarkan di atas lebuh raya.
Lebih merisaukan apabila lebuh
raya seperti Lebuh Raya Koridor Guthrie yang sudah menyediakan lorong khusus
untuk motosikal juga tidak berupaya menghalang laluan lebuh raya dirampas oleh
penunggang motosikal.
Alasannya, lorong motosikal lebih
terpencil, jauh dan sunyi sehingga memungkinkan berlaku kejadian jenayah.
Tetapi yang menjadikan lorong motosikal itu sunyi adalah disebabkan mereka
sendiri tidak menggunakannya.
Sudah tentu banyak tanda tanya
kini berlegar di minda kita bagaimana ini boleh berlaku dan bagaimana pula
boleh terjadi sedemikian atau apa pula caranya untuk diselesaikan? Sebenarnya
banyak yang boleh dilakukan selain operasi menjelang perayaan atau saman ekor
dan saman acilut macam orang main polis sentry di pedalaman dahulu kala. Sambil
menyorok ambil gambar sudah tentu seronok menghantar saman yang mana
keberkesanannya memang diragukan.
Malah menimbulkan kemarahan
rakyat seperti mana menganiaya pemandu dan sengaja pula ditahan jerat di
kawasan-kawasan yang tidak munasabah seperti had laju turun bukit adalah 80 km
sejam lantas di hujung sana sudah menunggu mangsa yang jika menekan brek ketika
menurun bukit akan mengundang bencana belakang dihentam oleh pemandu di
belakang.
Sudah sampai masanya, anggota
penguat kuasa ini diberikan modul khusus penguatkuasaan yang lebih komprehensif
bagi menangani isu-isu di atas.
Kehebatan dan kesamsengan pemandu
kenderaan berat dan komersial di negara kita memang sudah menjadi buah mulut
kepada pelancong asing yang datang hingga timbul komentar sebahagian daripada
mereka bahawa rakyat negara ini memang amat tinggi budi bahasa mereka kecuali
bila berada di jalan raya. Atau lebih menyakitkan telinga apabila mereka
memberikan komen bahawa ekonomi negara sudah menghampiri negara pertama tetapi
minda masih ditakuk lama.
Jadi kepada siapa ingin kita
marah? Pada pemerintah, pada penguat kuasa, pemandu jentera atau pada diri kita
sendiri? Kerana itu, berbalik semula kepada perkara asas yakni semuanya perlu
dilaksanakan secara penuh komited serta berterusan bukan setakat bermusim atau
ikut sedap.
Seperti kempen memasang lampu di
kenderaan berat yang menyala apabila dipandu melebihi had, atau memasang GPS
dan kotak hitam yang boleh merekod aktiviti pemandu kenderaan seperti had laju,
jarak perjalanan, dan juga laluan yang digunakan sebenarnya tidak akan berkesan
jika sekadar melepas batuk di tangga semata-mata.
Kita tidak pernah melihat
sebarang papan tanda memaparkan bagaimana cara menggunakan lebuh raya selain
amaran-amaran seperti kenderaan berat ikut lorong kiri. Kadangkala ditulis
kenderaan berat dilarang memotong. Malangnya, tidak ada satu pun yang
menunjukkan bagaimana cara betul menggunakan lebuh raya dua lorong, tiga lorong
dan seterusnya.
Malah tidak ada juga ditunjukkan
larangan kepada kenderaan komersial yang tidak boleh menggunakan lorong paling
kanan sehingga ramai yang tidak menyedari ia menjadi satu kesalahan.
Oleh itu, adalah baik sekiranya
dilaksanakan kempen khusus terutama oleh pihak pengendali lebuh raya sendiri
sebagai tanggungjawab sosial mereka dengan menggunakan pelbagai medium terkini
supaya ilmu pemanduan sedia ada boleh dipertingkatkan.
Pada masa sama, Plus Ronda turut
diberi kuasa membantu penguat kuasa untuk mengenakan tindakan, memberi tunjuk
ajar atau menghambat keluar penjenayah lebuh raya ini ke jalan biasa sekiranya
masih berdegil dengan sikap biadab mereka ini.
Ia seperti mana yang diperolehi
oleh Penguatkuasa Dewan Bandaraya yang diberikan kuasa menyaman pesalah trafik
ketika ini. Polis, JPJ, SPAD, MKJR dan sebagainya perlu melaksanakan usaha sama
secara bersepadu dengan modul khusus secara berterusan.
Ia memang terbukti mampu
dilaksanakan sebagaimana kejayaan Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan
Strategi Gelombang Biru mereka yang menggabungkan pelbagai agensi dalam gerak
kerja membanteras jenayah, mengekang dan membetulkan perspektif umum terhadap indeks
jenayah di negara ini.
Penulis ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam
Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan