Gaza : Pejuang Hamas
membedil berpuluh-puluh roket ke selatan Israel, menyebabkan tiga orang
terbunuh ketika rejim Zionis itu melancarkan serangan udara di seluruh
Semenanjung Gaza, mengancam serangan lebih besar untuk menghalang tindakan
Palestin.
Polis Israel berkata, tiga maut
apabila roket Palestin terkena bangunan empat tingkat di bandar Kiryat Malachi,
kira-kira 25 kilometer ke utara Gaza. Mereka adalah mangsa Israel pertama dalam
konflik terbaru yang melanda wilayah berkenaan.
Israel kelmarin membunuh tokoh
tentera Hamas dan menyerang wilayah berkenaan dari darat, udara dan laut,
meragut 15 nyawa, termasuk lima pejuang, tiga kanak-kanak dan seorang wanita
hamil.
Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar lewat kelmarin untuk
membincangkan serangan Israel itu. Ia menggesa keganasan dihentikan tetapi
tidak mengambil sebarang tindakan.
Menjangkakan serangan akan
berlanjutan, Israel memberi amaran kepada Hamas bahawa semua anggotanya
diperhatikan dan menggugurkan risalah di Gaza meminta penduduk supaya
menjauhkan diri daripada pejuang dan kemudahan Hamas.
Risalah menegaskan Hamas menyeret
wilayah itu ke arah keganasan dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bersedia
mempertahankan penduduknya sehingga keamanan dikembalikan ke wilayah itu, kata
tentera dalam kenyataan.
Israel berdepan kecaman hebat
negara Arab berpengaruh seperti Mesir dan Qatar. Hamas menegaskan pembunuhan
salah seorang komander kanannya, Ahmed Al-Jaabari, akan membuka pintu neraka
kepada Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin
Netanyahu kelmarin berkata, operasi ke atas Gaza akan ditingkatkan.
Serangan itu dilancarkan seminggu
selepas keganasan merentasi sempadan dan menafikan harapan Mesir yang menjadi
orang tengah gencatan senjata
Kerajaan Mesir baru berasaskan
Islam yang berjanji menghormati perjanjian damai 1979 dengan Israel, mengutuk
serangan baru Israel sebagai ancaman kepada keselamatan rantau itu. Ia
memanggil balik dutanya dari Israel dan mendesak diadakan sesi tergempar Majlis
Keselamatan PBB. Reuters.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan