Oleh : FARUSH
KHAN
Membelakangkan orang lain itu sifat tamak. Membelakangkan diri sendiri
ertinya berkorban. Ini antara beberapa mesej yang saya terima melalui SMS
menjelang Aidiladha yang lalu.
Tiada permohonan 'maaf zahir batin' seperti yang selalu kita terima pada
musim Aidilfitri.
Tiada yang pelik dalam perkara ini, cuma terfikir, apakah permohonan maaf
itu hanya perlu setahun sekali pada musim hari raya puasa? Apakah pada masa
lain, memohon dan memberi maaf menjadi larangan?
Dalam dunia realiti hari ini, meminta dan memberi maaf nampaknya bagaikan
sesuatu yang sangat berat. Manusia lebih sanggup dihalau dari dewan atau
dikecam daripada memenuhi tuntutan kerana buat kesalahan daripada memohon maaf.
Ramai yang sanggup menyimpan dendam dan marah daripada memberi maaf kepada
mereka yang melakukan kesalahan, sedangkan memberi maaf adalah sesuatu yang
sangat mulia dalam Islam.
Sabda Rasulullah SAW: “Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni
dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang
yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah
memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayaimu.”
Firman ALLAH: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada
syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang
bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang
mahupun pada waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan
(kesalahan) orang. Dan ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali
Imran 3:133-134)
Bertentangan dengan apa yang biasanya dipercayai, Islam sebenarnya mengajar
umatnya suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menanti orang memohon maaf.
Ada kalanya seseorang menyedari kesalahannya dan berniat untuk meminta
maaf, tetapi disebabkan ego, tidak mampu meluahkannya, apatah lagi jika orang
itu berasa kedudukannya lebih tinggi daripada orang yang akan diminta maaf.
Seorang ketua barangkali berasa terhina hendak minta maaf daripada orang
bawahan; begitu juga bagi seorang bapa hendak minta maaf daripada anaknya.
Itulah salah satu hikmah barangkali kenapa ALLAH SWT memerintahkan kita untuk memberi maaf
sebelum diminta.
Tentu kita pernah mendengar kisah bagaimana Rasulullah SAW sanggup
memaafkan Zainab binti al-Haris, isteri seorang pemimpin Yahudi, walaupun dia
membubuh racun pada kambing yang dihidangkan kepada Rasulullah.
Memetik sebuah daripada ribuan kata-kata mutiara ulama muktabar,
Allahyarham Hamka: "Membalas baik dengan jahat adalah perangai
serendah-rendahnya. Membalas jahat dengan jahat bukan perikemanusiaan. Membalas
baik dengan baik adalah biasa. Tetapi membalas jahat dengan baik adalah
cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya."
Kata Lokman al-Hakim; "Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan
pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika
dia marah, tidak dapat diketahui orang berani kecuali ketika dia berjuang dan
tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita berada dalam
kesusahan.”
Ambillah pengajaran daripada kisah pembukaan kota Makkah oleh Nabi Muhammad
SAW, penaklukan kembali Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayubi terhadap tentera
salib dan penaklukan Konstantinopel (Istanbul) oleh Sultan Muhammad al-Fateh.
Semua penduduk yang tidak berdosa tidak ditawan, malah dilepaskan dengan
bayaran pembebasan diri sahaja, padahal sekian lama mereka menindas orang Islam.
Sebenarnya, Muslim yang buruk sangka terhadap Muslim yang lain hanya akan
mencari-cari kesalahan orang lain.
Dalam politik, kerana berbeza ideologi, kadang-kadang semangat kepartian
dijulang lebih tinggi daripada persaudaraan Islam dan isu dinilai dengan kaca
mata politik sebelum dinilai melalui kaca mata Islam.
Akhirnya berlakulah permusuhan, perpecahan dan kehilangan kekuatan umat.
Siapa yang rugi?
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan