Dalam dunia Islam kini terdapat
berbagai-bagai orientasi kepimpinan. Ada bersifat demokratik, autokratik dan
tidak kurang juga mempunyai wibawa liberal yang tinggi.
Cabaran para ulama dan ilmuwan
Islam melakukan islah bukan mudah; tidak sekadar melontarkan syarah dan
khutbah, rujukan ayat-ayat al-Quran dan sunnah - maka selesai masalah.
Rasulullah SAW mendekati mad’u dengan darjah kesabaran yang tinggi, berhemah
dan hikmah yang hebat dengan sumber wahyu membawa petunjuk.
Abu Jahal didekati, Abu Lahab
dihadapi, Abu Talib disantuni. Hakikat melakukan dakwah terbaik adalah kerja
dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja ALLAH.
Para umara’ atau pemimpin
mempunyai orientasi pendidikan berbeza. Setengahnya mendapat orientasi Barat
dan menghasilkan faham liberal demokratik yang tinggi. Ada pemimpin yang
mendapat orientasi pendidikan Islam bersifat diniah, tetapi tidak memiliki ilmu
dan pengkhususan yang sifatnya profesional menyebabkan kefahaman Islam untuk
bernegara terbatas.
Ulama dan ilmuwan Islam harus
memahami hakikat ini. Sistem Islam memerlukan proses binaan yang lama,
menghadapi cabaran dan ujian yang pelbagai dan menuntut tekad tinggi supaya
pendekatan dakwah dan tarbiah menghasilkan perubahan kepada diri manusia,
termasuk pemimpin.
Asas penting membangun perubahan
kepada diri manusia ialah ilmu dan pendidikan. Jenis ilmu dan pendidikan yang
ditawarkan dalam sistem memberi kesan kepada orientasi berfikir dan gaya hidup
seseorang. Pepatah Melayu memberi asas bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Sekiranya manusia itu terbangun
dengan orientasi ilmu dan pendidikan mengikut acuan Barat maka orientasi
pemikiran produk selalunya sekular dan liberal. Sekiranya manusia dididik
dengan orientasi pendidikan agama yang tradisional - memberi fokus kepada aspek
diniah dan rohaniah semata-mata, maka orientasi berfikir dan gaya hidupnya
rohaniah juga.
Sekiranya manusia dididik dalam
orientasi integrasi ilmu diniah dan juga ilmu takhasus sains dan teknologi yang
Islami, cara berfikir, gaya hidup dan pendekatannya membangunkan sistem jauh
lebih komprehensif dan menyediakan tapak untuk suatu tamadun.
Umara’ atau kepimpinan di
Malaysia perlu didekati dengan bijaksana supaya pengukuhan sistem yang Islami
boleh terjadi.
Ulama dan pendakwah tidak perlu
gopoh hingga menyebabkan konflik terjadi dan maslahah hilang tujuan.
Ulama, ilmuwan dan profesional
harus mampu menawarkan model alternatif sesuai dengan iklim perubahan yang ada
dan dalam masa sama dapat memberi pilihan terbaik untuk perkembangan ilmu dan
pendidikan, kestabilan ekonomi, kedewasaan berpolitik dan melihat hikmah jangka panjang dalam suatu
realiti masyarakat yang pelbagai.
Para umara’ atau pemimpin harus
bersikap terbuka dengan pendekatan Islam berketamadunan supaya melakukan
transformasi terhadap sistem didukung oleh etika dan sistem nilai yang teguh
dan mantap.
Islam tidak harus dilihat hanya
dalam batas ritual semata. Pilihan model alternatif yang ada di Malaysia
memperlihatkan perkembangan baik dari sudut pematuhan syariah. Ia baik bagi
orang Islam dan juga bukan Islam.
Banyak masa dalam kalangan
sesetengah ulama, ilmuwan, jamaah dan harakah Islamiah mengambil gaya reaktif
tetapi bukan proaktif berdepan dengan isu-isu berbangkit. Harus ada sifat
menghargai yang baik dikatakan baik dan tidak baik didekati dengan nasihat
bijaksana.
Para pemimpin harus bersikap
terbuka dan berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati. Teguran baik dan
berasas harus diterima dengan sangka baik yang tinggi. Adanya sifat kesalingan
memberi dan menerima boleh menghasilkan daya taawun atau kerjasama yang tinggi.
Kesalingan ini penting kerana
sifat saling memperkukuh dan melengkapi adalah jalan terbaik bagaimana proses
perubahan boleh terjadi. Para pemimpin yang mempunyai kuasa pengurusan
memerlukan pedoman ilmu dan syara’ dalam melakukan sesuatu.
Bukti yang ada dalam melaksanakan
sistem patuh syariah perbankan dan kewangan Islam, wujudnya sistem pendidikan
dalam universiti dan kolej dalam orientasi Islam adalah suatu permulaan yang
baik ke arah program islamisasi dan integrasi dalam semua bidang.
Sekiranya para ulama, ilmuwan dan
profesional Islam dapat membantunya dengan tekad yang tinggi dan perancangan
rapi, penulis percaya perubahan boleh terjadi berasaskan acuan kita sendiri.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan