oleh MOHD ALI MUHAMAD DON
BULAN silih berganti, kini tahun
baharu 1434 hijrah disambut dengan penuh kegembiraan seraya membuka lembaran
baharu dalam diari kehidupan Muslim ke arah yang lebih positif lagi berkualiti.
Seyogianya berbahagialah orang
yang amalannya lebih baik daripada tahun yang sudah, sebaliknya rugilah orang
yang tidak berubah dan berperangai lebih buruk daripada masa lalu.
Justeru, sempena ketibaan detik 1
Hijrah ini para Muslimin diseru untuk memperbaharui niat dan komitmen untuk
berubah sekali gus berhijrah ke arah yang lebih baik dalam segenap lapangan
kehidupan.
Ini boleh dilakukan dengan
sentiasa menjaga peribadi, tutur kata dan perbuatan daripada melanggar
ketetapan Ilahi. Apatah lagi dalam era teknologi di hujung jari di mana tiada
yang boleh disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga berita-berita yang
baik mahupun yang buruk mudah sahaja tersebar dalam masyarakat.
Bak kata pepatah terlajak perahu
boleh di undur terlajak kata badan binasa.
Ketibaan tahun hijrah yang baharu
ini juga menandakan umur dunia semakin bertambah dan dalam masa yang sama usia
seseorang juga bertambah setahun lagi ke hadapan. Yang pasti tiada sesiapa yang
berupaya memutarkan masa untuk kembali ke belakang demi untuk memperbetulkan
kesilapan silam.
Malah ramai yang alpa betapa
akhir kepada kehidupan di dunia juga semakin hampir tiba dan manusia semakin
dekat detik pertemuan dengan Penciptanya. Persoalannya adakah kita telah
bersedia atau kita masih lena dibuai mimpi yang panjang yang tak berkesudahan.
Malahan terdapat umat manusia
yang terkesima dengan keseronokan hidup di dunia sehingga bertuhan kepada nafsu
dan keinginan syahwat semata-mata. Golongan ini terpedaya dengan nikmat yang sementara
sehingga asyik dalam buaian dosa dan maksiat yang mencengkam sepanjang masa.
Mana tidaknya setelah
berbagai-bagai usaha dilakukan untuk menghentikan jenayah buang bayi, hari ini
ia masih lagi menghiasi dada akhbar tempatan. Pelbagai gejala dosa dan maksiat
yang tumbuh bak cendawan selepas hujan jelas menuntut perubahan dan
penghijrahan dalam konteks yang luas dan bersungguh-sungguh.
Selain itu, segelintir masyarakat
menyangka tahun baru hijrah cukup diraikan dengan amalan membaca doa akhir dan
awal tahun yang semarak dilakukan di sana sini, walaupun realitinya ada yang
langsung tidak mempedulikan untuk membacanya.
Lebih daripada itu sebenarnya
mereka lupa bahawa setiap individu perlu menilai dan memuhasabah segala
perbuatan yang telah dilakukan setahun yang lalu, di samping bertaubat dan
berazam untuk tidak mengulangi lagi perbuatan negatif yang pernah dilakukan.
Dalam masa yang sama para
Muslimin diseru berbaik sangka dan menggantungkan pengharapan yang sepenuhnya
kepada Ilahi agar segala amalan setahun yang lalu diterima oleh Nya dengan
sempurna.
Dalam hal ini peranan ibu bapa
secara khususnya ditagih untuk membimbing anak-anak dan keluarga ke arah
kebaikan terutama ketika musim cuti persekolahan.
Selain melancong dan melakukan
aktiviti bersama keluarga masa yang ada elok diisi dengan mengimarahkan rumah
Allah SWT menerusi aktiviti ibadah dan menghadiri majlis-majlis ilmu sebagai
usaha untuk membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kerosakan.
Kegagalan ibu bapa memainkan
peranan itu akan memberi kesan kepada aspek-aspek yang lain. Contohnya
anak-anak akan leka menonton televisyen atau bermain permainan video sehingga
berjam-jam lamanya tetapi malas untuk mengerjakan solat yang wajib walaupun hanya
sekadar lima minit dan sering bertangguh.
Tanpa nasihat dan tunjuk ajar
yang baik daripada ibu bapa boleh jadi anak-anak jauh daripada petunjuk agama
hingga terdedah pula melakukan aktiviti tidak bermoral yang menjadi penyakit
kepada masyarakat.
Begitu pula dalam konteks ibadah
dan hubungan kemasyarakatan, terdapat segelintir yang terlalu obsesif dan sibuk
bekerja sehingga lupa untuk berziarah dan bertanya khabar bagi mengeratkan
hubungan silaturahim antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat.
Akibatnya perpaduan sesama
komuniti begitu rapuh dan tiada semangat kerjasama dan tolong-menolong antara
sesama mereka. Sikap tak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling
juga mengeruhkan lagi hubungan ukhuwah ini. Akibatnya jenayah seperti rompakan,
kehilangan malah dosa bersekedudukan dan berkhalwat berleluasa tanpa halangan.
Justeru bersyukur dan
bersederhana dalam melakukan sesuatu adalah kunci kejayaan yang sebenar.
Nilai wasatiyah sebagai tonggak
kesatuan ummah hendaklah dipupuk dan dipelihara agar semua anggota masyarakat
mengerti dan memahami slogan itu dan tidak hanya berseronok dan beria-ia
menyertai perarakan dan membawa sepanduk sempena sambutan Maal Hijrah kemudian
pulang tanpa mengerti erti hijrah dan perubahan yang perlu dipraktikkan.
PENULIS Pensyarah,
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan