Oleh : Fauziah Arof
MEWUJUDKAN sekolah budi bahasa?
Bagi sesetengah pihak, cadangan ini bunyi macam sudah tak ada kerja, saja-saja
mahu cari kerja dan tambah kerja.
Ada yang tertanya-tanya, perlukah
diadakan sekolah seperti ini? Sedangkan banyak lagi sekolah dan bidang lain
boleh diwujudkan. Tidak cukupkah soal budi bahasa ini diajar di peringkat
sekolah biasa atau di rumah?
Namun apabila melihat apa yang
berlaku pada sekeliling kita, tidak kiralah di tempat awam, tempat kerja, jalan
raya atau melayari laman-laman sosial memang ada kewajaran kita mempunyai
sekolah seperti ini.
Cuma kita mahu tahu perjalanan
dan mekanisme sekolah itu bagaimana. Guru atau cendekiawan seperti mana yang
diperlukan sebagai tenaga pengajarnya dan jika saranan itu jadi kenyataan, adakah
sekolah berkenaan akan benar-benar memberi kesan dan sampai kepada tujuannya
dan pada masa sama tidak berlakunya pertindihan fungsi guru.
Apabila saranan ini dibuat oleh
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan (Aswara) menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan
sahsiah budaya tinggi dalam masyarakat, cadangan seperti ini janganlah terus
dipandang remeh.
Meningkatkan budi bahasa dalam
kalangan kita bukan perkara yang boleh diringan-ringankan.
Menghadapi orang sekeliling dalam
keadaan iklim seakan-akan kontang budi bahasa ini lebih-lebih lagi apabila
berdebat dalam isu-isu yang boleh saja dipolitikkan- yang mana orang yang
tinggi pendidikannya pun boleh mengeluarkan kata-kata kesat, kita perlu akui
ketiadaan budi bahasa ini boleh mengeruhkan keharmonian hidup dalam
bermasyarakat.
Tidak perlu pergi jauh, dengan
rakan-rakan sekeliling kita pun, ia boleh saja menimbulkan hubungan tegang,
sedangkan jika difikirkan secara logik akalnya, tidak pasal-pasal dek kerenah dan isu yang dicetuskan oleh parti-parti politik ini, kita yang hilang
kawan dan senang-senang sahaja mendapat musuh.
Yang peliknya, ini yang dilakukan
oleh orang yang berpendidikan tinggi. Apa pula yang akan berlaku jika
nilai-nilai keintelektualan yang dipunyai oleh rakyat Malaysia ini tidak dapat
diseimbangi dengan nilai-nilai kemanusiaan?
Budi bahasa adalah keperluan dan
pembentukan asas dalam diri. Kalau kita ada budi bahasa dan menghormati semua
orang, tidak kira apa peringkat, bangsa dan dalam menghadapi apa jua
perbezaan-perbezaan lainnya, segalanya akan jadi lebih mudah.
Jika kita mahu anak-anak kecil
kita tidak berlaku biadab, kita yang perlu memberi tunjuk ajar dan teladan
kepada mereka. Sudah tentu, kita akan terasa sakit dan malunya, jika anak-anak
kita dikata tidak beradab. Sedangkan, kita boleh saja menutup sebelah mata,
dengan apa yang kita lakukan dan katakan.
Malaysia juga pernah disenaraikan
oleh Readers Digest sebagai antara negara
yang paling biadab di dunia. Ia diambil kira daripada tinjauan di tempat-tempat
awam di negara ini.
Kebiadapan itu dinilai melalui
kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak
20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca
daripada sikap biadab di jalan raya.
Dalam pada itu, rakyat kita
merokok di zon larangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang,
lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan terima
kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak
kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum
penumpang keluar.
Tidak kiralah tepat atau tidak,
atau sama ada penyelidikan dilakukan secara rambang, sebagai rakyat Malaysia
yang waras pemikirannya, sudah tentu kita tidak mahu negara yang kita cintai
ini dicap begitu.
Tentu saja mengejar status negara
maju akan jadi pincang dan tidak seimbang sekiranya, rakyatnya sendiri rendah
budi bahasanya, kemarau dalam amalan-amalan nilai murni, dan apatah lagi hendak
dipandang sebagai mempunyai sahsiah budaya bangsa yang disegani. Maka, mewujudkan
sekolah budi bahasa, berkempen, atau apa jua usaha ke arah mengangkat budi
bahasa, tidak harus dipandang ringan, diperlekeh dan dijadikan bahan gurauan.
Tegak rumah kerana sendi, runtuh
sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan