Oleh : Akhbar Satar
Di sebalik kemajuan dan
pembangunan yang ada, tersentuh hati penulis melihatkan perubahan yang berlaku
di Kuala Lumpur kesan kemasukan pendatang asing ke negara ini. Tersentak hati penulis
apabila seorang rakan mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Indonesia adalah
bangsa Malaysia ketiga paling ramai di negara ini, selepas Melayu dan Cina.
Kini, bangsa Afrika pula kelihatan
berada dalam carta itu.
Sejauh mana kebenarannya sukar
untuk dipastikan, namun daripada pemerhatian, kenyataan ini tidak boleh
dipandang ringan oleh pihak berwajib. Itu baru jumlah yang mengikut peraturan,
belum lagi yang masuk secara haram?
Lihatlah sekitar Chow Kit dan
Jalan Tuanku Abdul Rahman. Siapa yang memonopoli perniagaan di sana? Ke mana
perginya orang Melayu, Cina dan India yang dahulunya berniaga buah-buahan,
sayur dan barangan mentah yang lain?
Senario yang amat nostalgia bagi
saya ialah bagaimana penjual buah-buahan ini lari lintang pukang bersama-sama
gerai beroda mereka apabila diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Beg
penuh rambutan yang dibeli tidak sempat dibayar apabila peniaga lari
meninggalkan pelanggan kerana dikejar penguat kuasa. Fenomena ini hanya tinggal
kenangan buat penduduk ibu kota.
Melawat ke China Town, Petaling
Street, membuatkan penulis semakin keliru dengan apa yang berlaku di Kuala
Lumpur. Sikap kasar dan samseng peniaga yang terdiri daripada remaja berbangsa
asing seperti Bangladesh dan Myanmar amat menggerunkan. Ke mana perginya
peniaga tempatan? Kenapa dibiarkan rakyat asing ini bebas berniaga dan
merosakkan imej Kuala Lumpur di kaca mata pelancong? Kenapa harus kita berasa
takut untuk ke Chow Kit dan Jalan Petaling?
Bebas bergerak kerana
dilindungi
Persoalan paling penting di sini
ialah ke mana perginya penguatkuasaan? Bagaimana kegiatan ini boleh berkembang
tanpa ada sebarang tindakan? Adakah ia mendapat restu pihak berkuasa? Bagaimana
barangan palsu dapat memasuki ke negara ini? Sebagai rakyat biasa, sudah tentu
jawapan yang bermain di kotak fikiran ialah tiada penguatkuasaan kerana rasuah.
Mereka ini bebas bergerak dan bertindak kerana dilindungi.
Penguat kuasa yang sepatutnya
bertanggungjawab membanteras rasuah sengaja menutup sebelah mata terhadap
kegiatan jenayah. Malah ada yang sanggup bertindak sebagai pengkhianat termasuk
membocorkan maklumat berhubung serbuan dan sengaja melengah-lengahkan atau
tidak menyiasat sepenuhnya sesuatu kes jenayah sehingga membolehkan penjenayah
terlepas daripada hukuman.
Penulis berharap perkara ini
tidak benar termasuk tohmahan seorang peniaga di Jalan Petaling mengaku
membayar sogokan secara bulanan kepada agensi penguat kuasa. Katanya, penguat
kuasa hanya mengadakan pemeriksaan mengejut dan rampasan barang yang kurang bernilai
untuk mengaburi mata masyarakat.
Pelbagai kajian yang dijalankan
dalam bidang pencegahan rasuah menunjukkan bahawa wujud hubung kait yang tinggi
antara jenayah dan rasuah. Secara umumnya, dapatan kajian jelas menunjukkan
bahawa semakin tinggi kadar jenayah dalam sesebuah negara maka semakin tinggi
jugalah tahap rasuahnya.
Rasuah punca jenayah
berleluasa
Menurut kajian yang dijalankan
Marie Channe bertajuk Anti Corruption Resource Center, di kebanyakan
negara, rasuah adalah punca kenapa kegiatan jenayah gagal disekat dan terus
berleluasa. Rasuah adalah pelindung kepada tindakan penguatkuasaan, membantu
memperluaskan rangkaian jenayah dan mengelakkan hukuman serta tindakan
undang-undang.
Lebih buruk lagi, bilamana rasuah
digunakan sebagai umpan kepada penguat kuasa di pintu sempadan negara sehingga
menyebabkan dadah, senjata api, kenderaan curi, rokok, barangan tiruan dan
aktiviti memperdagangkan manusia lolos dengan begitu mudah. Dengan hanya
menyogok RM200, ada kalangan anggota penguat kuasa tidak memeriksa kandungan
kontena berkenaan.
Perbuatan rasuah bukan saja
menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan etika perkhidmatan awam, malah
mengundang risiko tinggi kepada keselamatan negara. Akibatnya semakin banyak
senjata diseludup ke dalam negara kita.
Ingatlah menerima rasuah adalah
perbuatan jijik dan hina. Sesiapa yang melakukannya mendapat dosa besar, malah
mereka yang terbabit dengan gejala itu dilaknat Allah dan Rasul-Nya, dan akan
menerima azab di akhirat kelak. Ibnu Umar meriwayatkan hadis bermaksud:
“Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (Hadis riwayat
al-Tabrani)
Justeru, rasuah tidak harus
dibiar berleluasa dan ia perlu dibanteras habis-habisan. Rasuah harus diperangi
semua lapisan rakyat. Sokongan rakyat kepada usaha Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memberi maklumat dan tidak memberi rasuah sangat
penting untuk menjayakan hasrat murni kita itu. Kepada SPRM, teruskan kerja
yang baik untuk bangsa dan negara, walaupun terpaksa mengharungi liku yang
penuh dengan onak duri ini dan jarang sekali mendapat pujian. Percayalah pasti
ada ganjarannya di sisi Allah SWT.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan