Rabu, 6 Februari 2013

ISU SOSIAL : Cegah jenayah terhadap kanak-kanak


 Oleh :  Dr. Mohd. Mahzan Awang

ADA sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat kita hari ini apabila banyak kes jenayah terhadap kanak-kanak dilaporkan media. Ironinya adalah walaupun banyak program pemerkasaan insan kamil dilakukan sama ada menerusi program keagamaan, motivasi, latihan berkumpulan dan pendidikan berterusan, kes tragis melibatkan kanak-kanak kerap kali berlaku.

Dalam kes jenayah terhadap kanak-kanak di Malaysia, keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat tinggi. Ramai yang prihatin dan sensitif dengan nasib kanak-kanak teraniaya, cuma cara menzahirkan keprihatinan masyarakat kita perlu diubah.

Masyarakat kita kerap tersentuh emosi apabila melihat kanak-kanak meminta derma pada waktu tengah hari yang terik. Ramai yang menghulurkan derma dengan niat dapat membantu kanak-kanak. Namun, hakikatnya ia menggalakkan kewujudan peminta derma di jalanan dan juga telah membuka ruang kepada sindiket mencari kanak-kanak bagi tujuan pungutan derma.

Menyalurkan bantuan secara tepat dan betul adalah penting untuk membantu mengurangkan jenayah kanak-kanak. Bagi tujuan itu, pihak berwajib termasuklah kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu mengambil inisiatif yang lebih efisien dengan mempermudahkan proses menyelamatkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa.

Pertama, jadikan sistem talian aduan Nur 15999 lebih proaktif untuk mengawal risiko jenayah terhadap kanak-kanak. Pada masa sekarang, talian tersebut berfungsi sebagai pusat aduan semata-mata, namun sejauh mana tindakan segera diambil daripada aduan penderaan tidak diketahui jelas.

Memahami situasi bahawa penderaan lazimnya dilakukan oleh saudara-mara terdekat di dalam kawasan tertutup, adalah sukar untuk pengadu membuat aduan secara tepat dan terperinci dengan bukti yang konkrit. Maka, sebarang aduan yang dibuat berdasarkan andaian atau kebimbangan pelapor kepada kes penderaan hendaklah diberi keutamaan oleh pihak berwajib.

Kurangkan birokrasi tentang maklumat laporan yang lebih terperinci kerana talian Nur 15999 adalah untuk tindakan pantas pencegahan. Permudahkan urusan ini bererti percepatkan usaha mengawal kejadian yang tidak diingini.

Dengan cara ini, usaha untuk campur tangan langsung masyarakat dalam isu-isu yang sering dikodkan sebagai urusan kekeluargaan (termasuk kes penderaan) dapat dielakkan. Tambahan pula, memukul anak yang kononnya bagi tujuan pendidikan, diterima dalam norma dan budaya kita.

Kajian ilmiah menunjukkan bahawa penderaan fizikal lebih kerap berlaku apabila hukuman berbentuk fizikal dibenarkan dalam norma masyarakat. Hukuman fizikal juga menggalakkan budaya menuduh dan konfrontasi sekali gus meminggirkan budaya tolak ansur, runding cara dan perbincangan.

Kedua, oleh sebab hubungan baik antara guru dan murid di sekolah adalah platform yang terbaik untuk mengesan kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak, tindakan proaktif pihak sekolah amatlah perlu. Guru wajar bertanya khabar secara peribadi terhadap kanak-kanak terutama apabila wujudnya perubahan tingkah laku yang ketara kepada kanak-kanak.

Lazimnya kanak-kanak yang tertekan emosinya mengalami trauma yang bukan sekadar membuatkan mereka tidak yakin diri, malah mempamerkan tingkah laku anti sosial seperti membuli rakan lain dan juga kesukaran untuk membina hubungan baik dengan pelajar lain.

Kegagalan menyiapkan kerja rumah umpamanya adalah indikator kepada kurangnya perhatian penjaga dan ibu bapa kepada kanak-kanak. Ia juga petanda kepada elemen- elemen penderaan emosi dalam keluarga seperti memperkecilkan kebolehan kanak-kanak serta membiarkan kanak-kanak dengan serba kekurangan.

Banyak kanak-kanak di kawasan flat bermain di kawasan yang tidak sepatutnya tatkala ibu bapa sibuk dan asyik dengan tugas masing-masing. Adalah malang sekali bagi kanak-kanak ini apabila guru turut menghukum mereka.

Tindakan guru yang cenderung menghukum pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah adalah suatu yang malang sekali. Bagaimana kerja rumah boleh disempurnakan dalam keadaan persekitaran rumah dan budaya hidup keluarga yang tidak menyokong kepada pembelajaran yang produktif.

Jika ini berlaku, maka penderaan berganda menimpa kanak-kanak tersebut yang lama-kelamaan menyumbang kepada ketidakstabilan emosi dan mental kanak-kanak.

Ketiga, memanfaatkan data penduduk setempat oleh komuniti juga dapat membantu mengurangkan jenayah kepada kanak-kanak. Struktur komuniti di Malaysia pada hakikatnya amat bersistematik. Persempadanan komuniti dipecah-pecahkan mengikut pelbagai saluran seperti persempadanan mengikut Parlimen, Dewan Undangan Negeri, daerah, majlis tempatan, pembangunan mukim, jajahan, kampung, komuniti kejiranan dan pelbagai lagi.

Oleh sebab data-data penduduk berada secara terpisah dalam bank data bagi setiap kelompok persempadanan, perubahan dan perkembangan keluarga dalam komuniti tidak diketahui secara berpusat. Pengintegrasian data pergerakan sosial masyarakat dapat membantu menyelesaikan kes-kes yang melibatkan orang hilang dan juga kemunculan bayi baru yang diragui dalam komuniti.

Tanpa usaha bersepadu sebegini, kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak pasti berlaku secara diam-diam tanpa diketahui umum. Adakah keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak- kanak berada dalam prioriti yang rendah? Mungkinkah juga, ekoran daripada pengaruh individualistik dan sikap tidak campur tangan telah membuatkan jenayah terhadap kanak-kanak terus menjadi-jadi?

PENULIS ialah Pensyarah Pendidikan Komuniti, Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, UKM

Sumber  : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan