PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) untuk membantu pelajar-pelajar peringkat pengajian tinggi mendapat kemudahan pinjaman kewangan tambahan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam
bentuk pinjaman mahupun biasisiwa, memandangkan kos pendidikan tinggi semakin
meningkat sekaligus memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya yang membiayai
pendidikan anak secara persendirian.
"Menyedari keperluan itu kerajaan memperkenalkan SPP1M sebagai dana
tambahan dengan jumlah pinjaman dihadkan RM150,000 untuk bidang kepakaran
perubatan dan RM100,000 bagi bidang khusus kritikal dan terpilih," katanya
kepada pemberita pada majlis pelancaran skim tersebut di sini hari ini.
SPP1M bertindak sebagai pinjaman tambahan kepada dana atau pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sedia ada untuk pelajar yang
sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam
bidang tertentu.
Pelaksanaan SPP1M akan diadakan dalam dua peringkat iaitu suku kedua
2013 untuk kemasukan ke universiti tempatan dan Jun 2013 untuk program
berkembar dan program luar negara. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan