KUALA LUMPUR : Ekonomi
Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh dan stabil
pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar
Aziz.
"Prestasi ekonomi yang lebih
baik ini adalah hasil daripada penyusunan semula ekonomi sepanjang sedekad yang
lalu, sektor kewangan yang berdaya tahan dan potensi dasar yang
fleksibel."
"Susulan penyusunan semula
ekonomi, permintaan dalam negeri semakin menyerlah sebagai pemacu
pertumbuhan," katanya dalam Perutusan Gabenor sempena Laporan Tahunan BNM
yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, pertumbuhan itu, pada
asasnya, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, dan yang terkini oleh
peningkatan yang ketara dalam pelaburan swasta.
"Sumber pertumbuhan ekonomi
juga menjadi lebih pelbagai dan seimbang dalam semua sektor ekonomi dan rakan
perdagangan. Yang lebih penting ialah peranan sektor swasta yang semakin
meningkat," katanya.
Menurut Zeti, prestasi ekonomi
Malaysia disokong kukuh terutamanya oleh sektor kewangan yang berdaya tahan.
"Meskipun terdapat
peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dalam negeri berikutan
perkembangan ekonomi dan sistem kewangan global, pengantaraan kewangan dalam
negeri telah berfungsi tanpa gangguan," katanya.
Sistem perbankan yang kukuh dan
pasaran bon domestik yang lebih maju bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan
yang berterusan kepada ekonomi, tetapi juga berperanan mengelakkan penumpuan
risiko dalam sistem kewangan.
Selain itu, liberalisasi secara
berperingkat-peringkat dan kehadiran lebih banyak peserta asing bukan sahaja
meningkatkan persaingan dalam sistem kewangan, bahkan menyumbang kepada
peningkatan aliran modal dua hala dan seterusnya keadaan pasaran yang teratur,
katanya.
Melangkah ke hadapan, Gabenor itu
berkata reformasi dan perkembangan kewangan yang berterusan akan disasarkan
pada usaha mempertingkat daya tahan sektor kewangan dan memastikan sektor
kewangan akan terus memberikan sokongan yang terbaik kepada ekonomi.
Selain itu, potensi dasar
makroekonomi dalam negeri yang fleksibel juga memainkan peranan yang sama
penting untuk menyokong ekonomi, terutamanya dalam persekitaran yang semakin
kompleks dan mencabar, katanya.
"Bank sentiasa bersikap
pragmatik dalam pembentukan dan pelaksanaan dasarnya, dengan bergantung pada
satu set langkah yang menyeluruh demi mencapai matlamat yang dikehendaki.
"Meskipun dasar monetari
kekal sebagai alat dasar yang utama, namun langkah pelengkap lain seperti dasar
kehematan makro turut dilaksanakan untuk menangani risiko dalam segmen khusus
sistem kewangan dan ekonomi, lantas meningkatkan keupayaan dasar dan mengelak
daripada terlalu bergantung pada dasar monetari," katanya.
Zeti berkata, penyelarasan dengan
dasar fiskal turut mempertingkat impak dan keberkesanan dasar bagi mempengaruhi
ekonomi.
Walau pun inflasi mencatat trend
menurun sehingga serendah 1.3 peratus pada permulaan 2013, fokus dasar monetari
pada 2013 adalah pada pengurusan risiko kenaikan harga di samping menyokong
pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang mampan, katanya.
Zeti berkata, berasaskan
penilaian tentang keadaan prospek ekonomi dalam negeri dan global, inflasi
dijangka kekal sederhana.
Bank akan terus memandang ke
hadapan dan mengambil perspektif jangka sederhana kerana dasar monetari amat
berkesan apabila dilaksanakan sebagai langkah awalan, katanya.
Beliau berkata, pertimbangan juga
akan diambil untuk mengelak peningkatan ketidakseimbangan kewangan yang boleh
memberikan kesan buruk kepada kestabilan makroekonomi dan kewangan dalam jangka
sederhana.
Pengajaran boleh diambil dari
ekonomi yang dilanda krisis akibat peningkatan yang berlebihan dalam
keberhutangan isi rumah yang akhirnya memberikan kesan buruk dan berpanjangan
terhadap penggunaan, ekonomi yang lebih meluas dan kestabilan kewangan,
katanya.
"Meski pun penilaian telah
menunjukkan keberhutangan isi rumah di Malaysia dan risiko terhadap kestabilan
kewangan terus dibendung, namun beberapa langkah telah pun dilaksanakan sebagai
langkah awalan untuk mengelak daripada menjadi satu masalah."
"Data terkini menunjukkan
pertumbuhan kredit bagi isi rumah mula menjadi sederhana. Di samping itu,
pertumbuhan kredit bagi isi rumah disokong oleh infrastruktur yang komprehensif
dan lebih maju untuk menguruskan risiko," katanya.
Dari perspektif jangka sederhana,
katanya cabaran utama Malaysia adalah untuk mengurus dengan jayanya peralihan
negara ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi, iaitu ekonomi yang pertumbuhannya
didorong oleh sektor swasta dan dicirikan oleh produktiviti dan inovasi yang
lebih tinggi, pada masa yang sama bersifat mampan dan inklusif.
Inisiatif pembaharuan struktur
yang penting kini sedang dilaksanakan bagi mencapai transformasi itu, di samping
mengambil kira keadaan dalam negeri dan persekitaran global yang lebih dinamik.
Katanya, dalam hal ini, dasar
makroekonomi berperanan untuk memastikan kestabilan dan menyediakan insentif
yang sesuai kepada sektor swasta untuk menyumbang kepada proses transformasi
ekonomi negara.
Sebagai sebahagian daripada
transformasi itu, beliau berkata sektor kewangan dijangka memainkan peranan
penting dalam pengantaraan dana yang cekap, bukan sahaja di Malaysia malah di
rantau ini dan di negara-negara sedang pesat membangun yang lain.
Ini memerlukan produk dan
perkhidmatan kewangan yang baru untuk memenuhi kehendak ekonomi dalam negeri
yang lebih berintensif pengetahuan dan inovasi, selain infrastruktur kewangan
yang akan menyokong pengantaraan dana serantau untuk tujuan produktif. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan