Oleh : MUHAMMAD IQBAL IKHWANDI MAT
ZIN
‘Maklumat di hujung jari’ adalah
frasa yang diguna pakai untuk menggambarkan fenomena masa ini.
Kita tidak dapat lari daripada
mengaitkan frasa ini dengan alam siber atau lebih spesifik lagi Internet.
Bagi merealisasikan objektif
‘maklumat di hujung jari’ ini, maklumat-maklumat yang dahulunya disimpan secara
konvensional kini telah berubah wajah, apabila atas nama ‘peredaran zaman’
maklumat-maklumat pada masa ini banyak di simpan secara ‘atas talian’ ataupun
online.
Fenomena ini turut disokong oleh
dasar-dasar kerajaan melalui kementerian, jabatan mahupun agensi-agensi
kerajaan.
Dalam konteks ini, Unit Pemodenan
Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah pemangkin kepada
perkara ini dengan menerajui polisi Kerajaan Tanpa Kertas.
Intipati bagi polisi Kerajaan Tanpa
Kertas ini adalah pewujudan sistem pengurusan dokumen secara digital serta
urusan antara agensi kerajaan seperti surat/memo, jemputan, pekeliling dan
minit mesyuarat dijalankan secara atas talian.
Perkara ini adalah satu usaha
murni sejajar dengan salah satu bidang di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA) iaitu Komunikasi Kandungan dan Infrastuktur (CCI).
Berbekalkan semangat ‘kaizen’
ataupun penambahbaikan berterusan, polisi Kerajaan Tanpa Kertas yang dijuarai
oleh MAMPU ini wajar dilihat dari perspektif keselamatan maklumat.
Insiden penggodaman terhadap dua
sistem atas talian milik Jabatan Penerangan Malaysia iaitu sistem e-Press dan
e-Akhbar pada 18 Februari 2013 wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak.
Ini bukan kali pertama kes laman
web rasmi jabatan kerajaan digodam oleh individu dan golongan yang tidak
bertanggungjawab.
Sebelum ini, terdapat beberapa
lagi laman web jabatan kerajaan lain yang turut menjadi mangsa kerakusan
penggodam untuk mencapai kepuasan peribadi mereka.
Saranan yang wajar diberikan bagi
membendung dan mencegah perkara ini daripada terus berlaku pada masa hadapan
ialah dengan mempertingkatkan tahap keselamatan Komunikasi Maklumat dan
Teknologi (ICT) dalam setiap jabatan kerajaan.
Peruntukan tahunan tambahan wajar
diberikan kepada setiap jabatan khusus untuk mempertingkatkan tahap keselamatan
ICT oleh para pemegang taruh (stakeholder).
Peruntukan tambahan ini antara
lain tujuannya boleh digunakan untuk memperkukuhkan sistem ‘firewall’ di
setiap jabatan bagi mencegah sebarang pencerobohan dan penggodaman daripada
terus berlaku.
Soal keselamatan ICT tidak harus
sama sekali dipandang ‘enteng’ kerana terdapat antara maklumat-maklumat yang
dimuatnaik, disimpan dan disalurkan melalui atas talian adalah melibatkan
maklumat-maklumat terperingkat iaitu sama ada 'Rahsia Besar', 'Rahsia', 'Sulit'
dan 'Terhad'.
Oleh yang sedemikian jabatan-jabatan
kerajaan seperti Ketua Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Malaysia (CGSO),
MAMPU, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan
lain-lain yang berkaitan boleh duduk semeja dalam mencari satu titik
persetujuan dalam perkara ini.
Hasil muafakat bersama pastinya
mampu mencapai satu jalan penyelesaian yang tuntas demi menjaga kestabilan dan
keselamatan negara.
Selain daripada impak terhadap
maklumat-maklumat terperingkat dan keselamatan negara, penggodaman berterusan
ke atas laman-laman web rasmi jabatan kerajaan juga memberi imej yang negatif
kepada Kerajaan sendiri.
Oleh yang sedemikian, persetujuan
untuk memperuntukkan peruntukan tambahan khusus bagi mempertingkatkan
keselamatan ICT jabatan-jabatan kerajaan adalah dilihat sebagai satu langkah
yang amat wajar dan proaktif, bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada
mengubati’.
Di Malaysia, aktiviti penggodaman
adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997.
Perkara ini juga harus diambil
perhatian oleh rakyat Malaysia agar tidak ada yang menjadi suspek tanpa
disedari kerana tidak peka terhadap peruntukkan undang-undang yang sedia ada
akibat terlalu ghairah mengejar kepuasan peribadi.
Psikologi para penggodam juga
boleh difahami iaitu majoriti daripada mereka menggodam dengan tujuan
‘suka-suka’ selain daripada menguji tahap kemahiran masing-masing.
Namun, perkara ini tidak akan
melepaskan mereka daripada tindakan penguatkuasaan yang akan diambil atas
salah laku mereka itu.
* Penulis ialah bekas PTD.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Terima kasih Cikgu Taufiq kerana menyiarkan artikel saya.. :)
BalasPadam