PENERAPAN nilai-nilai murni
kepada generasi muda perlu digerakkan sepanjang masa. Kegagalan kita untuk
menerapkan nilai murni ini menyebabkan segala perkara yang tidak disangka sama
sekali boleh sahaja akan terjadi.
Bak pesanan orang dulu-dulu, ilmu
agama penuhkan di dada, kemudian pergilah kamu berhijrah atau merantau
berkelana ke mana jua. Nescaya diri akan selamat dan berupaya menepis segala
godaan yang datang. Hidup tidak akan susah, niat tidak akan berubah malah segala
kerja dapat dipermudah.
Antara nilai-nilai murni yang
patut ada dalam kalangan generasi muda adalah sikap usul periksa, bukan senang
percaya membabi buta. Nilai kedua yang perlu dipunya, adalah sikap menghormati
pada yang tua yang lebih berpengalaman dan banyak membuat jasa. Nilai murni
yang ketiga, adalah perasaan tahu untuk berterima kasih kepada bantuan,
pertolongan mahu pun pemberian orang kepada kita.
Inilah tiga nilai murni utama
yang penulis rasakan sudah semakin pupus dalam kalangan sebahagian generasi
muda kita hari ini.
Generasi muda tidak harus melatah
dan terpengaruh dengan ayat-ayat klise kebebasan hak manusia, kebebasan
bersuara dan kebebasan memilih dalam apa jua perkara. Perkataan-perkataan
seperti rasuah, kroni, tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran atau
sebagainya hanyalah momokan mencari sokongan oleh pihak yang memberi alternatif
.
Malangnya, ciri-ciri yang
diberikan ini hanya diguna pakai dalam menilai pemerintah sahaja. Kenapa
ciri-ciri penilaian ini tidak turut dipakai sama apabila menilai golongan
alternatif lain? Di sini pun sudah ada double standard. Ayat dan perkataan ini
hanya sah laku untuk menilai kerajaan. Tidak pula diguna pakai untuk menilai
pihak lain.
Sejak dari zaman kanak-kanak lagi
generasi ini diajar dan diprogramkan ke dalam minda mereka supaya berfikiran
sedemikian. Bahkan, ayat-ayat klise itu tadi menjadi buah mulut dan ikut-ikutan
tanpa pengertian yang mendalam terhadap bagaimana untuk mempraktikkan dan di
kala mana ia perlu dipraktikkan.
Kebebasan bersuara, hak asasi
manusia, kami pembayar cukai adalah antara ayat-ayat yang menjadi pujaan
semasa. Seolah-olah ia fahaman baharu yang merentasi agama dan budaya serta
norma-norma kehidupan seharian di pelosok nusantara. Habislah melatah semua
anak muda. Hasilnya, maka terkinja-kinjalah mereka di sekitar pasar raya,
bandar raya dan jalan raya.
Janganlah jadi seperti kerengga,
sekali tersauk bagai dirasuk. Menyerang musuh tanpa mengkaji, usul periksa dan
tanpa perbandingan segala. Generasi kerengga ini juga begitu taksub akan
ketuanya. Apa yang tidak kena kepada orang lain semuanya betul belaka. Tak
perlu untuk disemak buat kali kedua. Tetapi apabila terconteng ke batang hidung
sendiri, ia perlu segera dinafikan. Ini pihak ketiga empunya kerja. Pengikutnya
memang tak mahu hendak percaya. Malah sudah diajar supaya jangan percaya kepada
apa juga khabar berita yang tidak elok mengenai kumpulannya.
Generasi kerengga juga terlalu
sukar untuk menghormati pandangan dan pendapat mereka yang lebih tua. Ini
adalah kerana kepada mereka siapa dahulu yang memakai lampin bayi pakai buang
adalah lebih relevan pada ketika ini daripada siapa dahulu yang memakan asam
dan garam. Kiasan lama itu bagi generasi kerengga sudah lama lapuk di telan
zaman.
Generasi kerengga juga amat sukar
untuk merasa berterima kasih kepada orang lain hatta berterima kasih kepada
negara sekalipun. Cuba anda lihat kerengga. Dalam keluarga semut dialah yang
paling cantik. Dengan warna kekuningan merah-kemerahan, dialah semut yang
paling comel. Ditambah pula dengan pinggangnya yang ramping, dialah yang paling
anggun dalam kalangan semut-semut yang ada. Tetapi perilakunya, jauh sekali
dari menjadi cerminan dirinya yang anggun itu.
Perhatikanlah, apabila dia
membuat sarang di sebatang pohon mangga di depan rumah kita. Dia akan menjadi
raja dan bermaharajalela di sana. Apabila cuba didekati, atau cuba kita ceroboh
kawasan mahu pun sarangnya usahkan binatang lain, tuan pokok dan tuan tanah
yang ditumpanginya itu pun akan digigitnya. Begitu sekali tidak tahu berterima
kasihnya, kalau mahu dianalogikan akan generasi kerengga ini.
Kiasan yang boleh dibuat di sini
adalah seperti anak yang diberikan peluang menimba pelajaran, diberikan kasih
sayang, kemudahan bergerak, kemudahan perhubungan, kemudahan kewangan,
kehidupan selesa, malah dibantu untuk mendapatkan pekerjaan oleh ibu bapanya.
Apabila sudah dewasa dan menjadi orang berada, dia sanggup akan berkata, ibu
ayah tidak jujur, ibu ayah tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran
keluarga. Ada kroni dalam keluarga ini. Lalu dia membawa diri keluar dari rumah
dan mencari keluarga angkat lain yang dirasakannya lebih jujur dan lebih baik
dalam segala aspek.
Inikah generasi baharu yang kita
mahu? Inikah pemuda-pemudi pelapis bangsa, pelapis negara yang kita ingin didik
dan lahirkan? Inikah jenis anak muda yang kita mahu laburkan wang ringgit kita
untuk membesarkannya?
Inilah doktrin baharu yang sedang
diserapkan oleh pendokong alternatif. Dengan mempersoalkan sejarah tanah air,
menjadikan undang-undang sebagai bahan permainan dan momokan adalah dengan
tujuan mendidik generasi muda supaya bersifat seperti kerengga. Supaya generasi
ini menjadi generasi sorry, no thank you for
you". Tidak perlu disanjung usaha pemerintah yang ada. Tidak perlu
dikenang segala jasa datuk nenek moyang mereka. Kerana anda adalah anda.
Generasi kerengga ini jika berterimakasih pun setakat hanya manis di mulut
sahaja.
Melihat pula di laman siber,
bekas pemimpin negara malah pemimpin semasa turut diselar malahan dipersenda.
Yang memberi komentar rata-ratanya generasi muda. Jika sekali sekala kita
terfikir kita bahawa kita ini seorang yang tidak pandai berbudi bahasa, janganlah
kecewa, sebab di alam siber sana berpuluh ribu lagi yang lebih biadab daripada
kita. Inilah generasi kerengga, hasilan dari didikan alternatif semasa.
Generasi I follow, gangster, generasi pemaki hamun, generasi mencarut, dan
generasi yang suka membangsatkan orang lain terutamanya di laman siber sudah
pun kita lahirkan di bumi Malaysia yang tercinta. Generasi kerengga juga adalah
generasi buta sejarah. Tidak minat untuk mendalaminya kerana dipesongkan
pemikiran bahawa kononnya sejarah negara sudah lama di manipulasi oleh pihak
pemerintah negeri.
Persoalannya, kenapa orang muda
yang berpotensi besar menjadi generasi kerengga? Mudah sekali jawapannya. Fokus
utama pihak berkenaan adalah untuk menyasarkan generasi muda belia yang mudah
dibentuk corak pemikiran mindanya. Begitulah juga yang dibuat oleh komunis pada
waktu dahulu. Anak muda, anak sekolah dan kanak-kanak menjadi sasaran utama
mereka.
Sebagai kesimpulannya, pihak
berwajib harus sentiasa peka dan perlu membanteras segera segala usaha yang
digerakkan oleh kumpulan tertentu ke arah pembentukan generasi kerengga ini.
Sesungguhnya, keperluan untuk generasi muda di luar sana untuk menidakkan diri
daripada menjadi sebahagian daripada statistik terkini keahlian generasi
kerengga amatlah dihargai. Adalah lebih baik mencegah daripada berpeluh sakan
menanggung musibah.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/