Isnin, 21 Januari 2013

ISU BAHASA : Buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Untuk Media Dilancar


KUALA LUMPUR : Buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media Massa dilancarkan pada Isnin bagi membantu pengamal media penyiaran, media cetak dan media baharu yang berfungsi sebagai saluran komunikasi dalam menyebarkan maklumat menggunakan bahasa Melayu mengikut tatabahasa yang betul.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata buku yang dirangka dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu adalah supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mencapai tahap kecemerlangan dari segi ejaan, sebutan, diksi dan intonasinya.

"Pelaksanaan ini bagi menambah baik penggunaan bahasa Melayu termasuk dari segi sebutan dan intonasi. Buku yang dilancarkan ini mengandungi banyak petua yang baik dan membina, maka buku ini akan digunakan sebagai asas bagi membetulkan amalan berbahasa Melayu yang salah," katanya selepas melancarkan buku tersebut di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini.

Buku itu merupakan inisiatif kementerian yang dikendalikan IPPTAR sebagai urus setia bagi memastikan semua media penyiaran dan media cetak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu seragam dalam siaran radio, televisyen, akhbar dan majalah.

Ia menggariskan pelan tindakan yang perlu dilakukan setiap organisasi media penyiaran, persuratkhabaran dan media baharu bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam organisasi masing-masing.

Turut hadir pada majlis itu kedua-dua timbalan menteri, Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail, Pengarah IPPTAR Datuk Adilah Shek Omar dan pemangku Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong.

Rais berkata garis panduan ini juga bertujuan mewujudkan keseragaman penggunaan bahasa Melayu dalam media massa termasuk aspek sebutan.

"Setakat tatabahasa sahaja tidak cukup. Oleh itu, kita perlu mewujudkan rancangan intonasi, penyampaian, diksi atau sebutan dalam bahasa Melayu yang betul. Latihan ini memang wujud, tetapi sekarang, dalam perlumbaan pembahasaan, maka bahasa Melayu sudah ketinggalan dalam aspek sebutan yang betul dan penggunaan yang tepat," katanya.

Sehubungan itu, katanya asuhan sedemikian akan dilaksanakan termasuk meneruskan program di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung bahasa, yang mendapat sambutan baik daripada penonton dan berjaya mencatat lebih daripada sejuta pengikut bahasa di tanah air.

Katanya hadiah dan pengiktirafan akan diberikan setiap tahun kepada penyampai bahasa Melayu yang berkesan dan dapat dijadikan sebagai contoh serta panduan yang baik kepada mereka yang berada dalam jurusan penyampaian berita, dokumentari, hal ehwal semasa dan majlis lain.

Mengenai jawatankuasa pemantau yang harus wujud di setiap jabatan, beliau berkata semua stesen perlu mengambil inisitiaf ini dan kementerian akan membantu stesen yang didapati memerlukan bimbingan dalam pembahasaan dan juga penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap pihak yang enggan membetulkan penggunaan bahasa Melayu yang salah, Rais berkata peruntukan undang-undang di bawah kuat kuasa DBP sedang disusun dan jika termasuk dalam kategori sedemikian, DBP diminta mengemukakan jenis tindakan yang harus diambil.

"Harus difikirkan, (tindakan yang diambil) jangan keterlaluan seperti kita mengambil tindakan terhadap rasuah.

"Tetapi kita mesti memberi kuasa ini kepada DBP terhadap keengganan dan ketidakmahuan pihak-pihak tertentu supaya membetulkan kesilapan di dalam iklan atau penggunaan yang jelas disalah guna di stesen-stesen radio dan bidang penerbitan lain," katanya. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Mengesan isu kesihatan mental di sekolah


Oleh :  Khairul Azhar Idris

MUSIM persekolahan sesi 2013 baru bermula. Pelbagai kerenah yang ditunjukkan oleh anak-anak murid, terutamanya yang baru memasuki alam persekolahan sememangnya berasa teruja dan amat gembira.

Mereka gembira kerana dapat pergi ke sekolah dan memakai pakaian seragam. Mereka gembira dapat berjumpa dengan kenalan baru dan para guru. Pastinya, mereka turut gembira kerana dapat bersekolah dan belajar bersama dengan pelajar lain. Alam persekolahan peringkat rendah merupakan tempoh di mana kanak-kanak mula memahami apa itu belajar dan pembelajaran. Jika di peringkat pra-persekolahan, mereka memahami bermain itu adalah belajar, namun kini situasinya berubah. Apa yang mereka tahu ialah mereka perlu benar-benar belajar, iaitu belajar secara formal.

Kini mereka mula memahami pembelajaran itu sebenarnya adalah proses yang amat berbeza daripada kaedah bermain sambil belajar. Pada peringkat ini, mereka mula mengerti sekolah dan belajar mempunyai pengertian yang lebih luas. Mereka perlu ada jadual untuk belajar, ada penyertaan murid dengan guru dan kawan-kawan, kokurikulum, peperiksaan, dan lain-lain.

Memandangkan suasana dan konteks persekolahan seperti ini, pelajar mula mengerti apa itu kehidupan dan apakah proses yang perlu dilalui dalam kehidupan. Namun reaksi, pengertian dan penerimaan setiap individu adalah berbeza antara individu lain. Malah, perbezaan inilah yang akan ditunjukkan dan mula menjadi ketara pada peringkat usia persekolahan.

Suasana dan proses pembelajaran serta persekolahan menilai bahawa persamaan dalam kalangan pelajar adalah menjadi keutamaan mengatasi perbezaan. Malah, teknik dan kaedah pembelajaran pula adalah turut memfokus ke arah ini. Sementara itu, perbezaan yang ada merupakan halangan yang luar biasa dan tidak sewajarnya wujud atau diperbesarkan. Matlamatnya ialah agar setiap perbezaan, keluarbiasaan dan ketidakabnormalan yang ada tidak akan menjejaskan reputasi institusi pembelajaran tersebut atau menjejaskan fungsi pelajar lain yang kelihatan normal.

Dalam konteks kesihatan mental khususnya di peringkat sekolah, perbezaan merupakan satu langkah awal ke arah mengenal  pasti masalah, rawatan pemulihan dan pencegahan dari pada mengalami gangguan mental kronik lain pada  masa hadapan. Perlu dipastikan tahap dan sejauh mana perbezaan itu akan mengganggu atau menjejaskan fungsi pelajar dan pengajian serta kehidupannya. Persamaan dalam kalangan pelajar dimaksudkan sebagai memiliki ciri-ciri perkembangan yang sama atau hampir sama dalam aspek perkembangan intelek, emosi, fizikal, tingkah laku sosial, personaliti dan komunikasi.

Perkongsian yang sama ini meletakkan mereka untuk berada  dalam kategori normal dan perbezaan pula merujuk kepada keadaan perkembangan yang tidak sama dalam aspek berkenaan dan ia dinyatakan sebagai berbeza daripada kenormalan. Perbezaan yang ada sering kali digambarkan sebagai ketidaknormalan kerana ia menyimpang daripada  garisan kenormalan menurut pandangan masyarakat dan pengkaji.

Matlamat dalam kesihatan mental ialah melaksanakan pelbagai intervensi yang bersesuaian dan bertepatan bagi mengurangkan kesan akibat daripada masalah perbezaan itu, dan meletakkan mereka supaya seiring dengan golongan yang normal. Perbezaan dalam tahap perkembangan seseorang individu pelajar boleh berlaku dalam mana-mana aspek, sama ada sebahagian atau keseluruhan, dan ia akan menjejaskan pencapaian akademik, personaliti dan sosial pelajar terbabit. Namun ia masih boleh diperbaiki jika perbezaan dapat dikenalpasti dan tindakan awal dapat dilakukan.

Perkara ini memerlukan keprihatinan dan sikap yang sensitif daripada guru dan pihak pengurusan sekolah, ibu bapa dan guru kaunseling. Dalam konteks persekolahan dan pembelajaran, peranan pihak berkaitan perlu diberikan kepada aspek-aspek lain yang tidak hanya tertumpu kepada aspek pembelajaran, tetapi harus menyeluruh dan merangkumi aspek perkembangan jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial sebagaimana menurut dasar dan polisi pelajaran kebangsaan itu sendiri.

Sebagai seorang pelajar yang ada kelainan dari mereka yang normal, gejala kesihatan mental boleh berlaku apabila mereka mempunyai masalah dalam pembelajaran. Ia terdiri daripada kesukaran untuk memahami atau menerima pelajaran, kesukaran membaca dan menulis, ada masalah dalam memahami aspek pengiraan dan lain-lain.

Terdapat dalam kalangan pelajar yang ada masalah membaca dan memahami pelajaran, secara khususnya dikenali sebagai disleksia. Terdapat juga kanak-kanak yang sukar untuk menulis dan mengira seperti gangguan disgrafia dan diskalkulia. Seringkali juga wujud pelajar yang sukar untuk memahami pertuturan dan dan akhirnya menjejaskan arahan guru dan menyukarkan komunikasi. Semua ini adalah tanda gejala bagi kanak-kanak yang ada keperluan khas pembelajaran dan persekolahan dan seringkali tidak difahami oleh warga pendidik.

Kanak-kanak seperti ini sering kali pula menjadi mangsa kepada kekeliruan dan sering dilabel sebagai bodoh, malas, degil dan tidak mahu ikut arahan. Kekeliruan dan pelabelan negatif ini akhirnya memberi kesan yang amat negatif kepada kanak-kanak ini. Mereka akan berfikir persekolahan bukanlah sesuatu yang menarik. Proses pembelajaran merumitkan mereka dan melemahkan dorongan serta motivasi dan minat terpendam mereka untuk belajar.

Paling teruk, mereka akan menyalahkan diri sendiri kerana menjadikan guru berasa penat dan letih serta bosan kerana menyukarkan guru untuk mendidik mereka sebagai pelajar yang berbeza dari kebanyakan pelajar lain yang normal dan mudah untuk dididik. Tetapi itulah diri mereka yang sebenarnya, dan salahkah atau bodohkah untuk menjadi diri mereka sendiri yang sebenarnya? Sememangnya mereka amat memerlukan bimbingan.

PENULIS ialah Fellow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

PETAKA GEJALA SOSIAL


Tuhan menghantar petaka
menguji iman akhlak
manusia
tsunami dan gempa bumi
itu hanya ujian sedikit
cuma
manusia engkar dan buat
angkara.

Betapa  remaja dibelit
gejala
gejala bawa petaka
nestapa
nestapa bohsia merempit
di kota
pelajar tak berdisiplin tak
dengar kata
di sekolah,  guru pening
kepala
di rumah ibu bapa hilang
segala
anak remaja dadah; lari
dari rumah
kononnya untuk
mendapatkan hikmah
lepak dan murtad
membelit ummah
pelacuran pembuangan
bayi menjadi-jadi
penagihan dadah
penderaan isteri
berlaku angkara tiap saat
tiap hari
penculikan penganiayaan
kanak-kanak
umpama duri tumbuh
dalam semak
rasuah penceraian menjadi
barah
rogol dan sihir bagai air
mengalir
membanjir kepada ummah
bawa petaka.

Petaka gejala musnah
masyarakat
manusia lupa khalifah
diangkat
keliru celaru mengejar
pangkat
berkata tak apa kepada
maksiat
saat tsunami, gempa
bumi melanda
ujian kemungkaran di atas dunia.
Allah menguji keimanan
kita
tak sedarkah lagi wahai manusia?

AMI MASRA
Bangi Selangor

Ahad, 20 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Hanya 6 guru mohon kebenaran aktif berpolitik



JOHOR BAHRU - Kementerian Pelajaran hanya menerima enam permohonan daripada pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, permohonan kurang memberangsangkan itu berkemungkinan disebabkan mereka bimbang dikenakan tindakan sekiranya terlibat dengan aktiviti sedemikian.

"Mungkin mereka (guru) takut dedahkan identiti sedangkan mereka tidak perlu ragu-ragu kerana kerajaan tidak akan mengambil tindakan.

"Contohnya, tiada tindakan diambil terhadap pelajar yang aktif berpolitik selepas pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilakukan.

Jadi, sebaik-baiknya, minta kebenaran jika hendak berpolitik dan jangan bawa hal politik ke dalam sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Bual Bicara Strategik Penyatuan Umat Islam Bersama Pesara Guru Negeri Johor, di sini, hari ini.

Mulai 1 Ogos 2010, kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik dengan syarat kebenaran rasmi perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata, kebenaran berpolitik dengan syarat tidak memegang jawatan penting seperti pengetua dan pegawai pelajaran itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin selain melambangkan tugas guru sebagai pemimpin bukan sekadar di bilik darjah tetapi di peringkat masyarakat.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, dialog Kabinet berkenaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan diadakan 30 Januari ini bagi membincangkan mengenai pelaksanaannya.

Dialog itu, katanya, merupakan sesi terakhir perbincangan sebelum pelan tersebut dikemukakan kepada kabinet untuk diluluskan.

September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Mengenai perbuatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, Johor Baharu menawarkan diskaun yuran komputer bagi menggalakkan ibu bapa membayar yuran terbabit menggunakan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100, beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk menyiasat dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap sekolah itu.

Beliau berkata, perbuatan itu melanggar pekeliling yang dikeluarkan dan kementerian tidak mahu perbuatan seumpama itu dijadikan isu oleh ibu bapa para pelajar. - Bernama

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Akan pupuskah surat khabar?


Oleh : HAFIZAHRIL HAMID

RAMAI pihak berpandangan industri penerbitan terutama surat khabar dan majalah kini sudah sampai ke penghujung.

Keadaan ini berbeza jika dibandingkan pada 15 atau 20 tahun lepas yang mana sumber utama mendapatkan maklumat hanya berlandaskan surat khabar, buku dan majalah.

Kini surat khabar dikatakan sebagai sumber maklumat yang ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan media baru yang semakin berleluasa penggunaannya.

Sumber media baru seperti blog, portal berita mahupun laman sosial seperti Facebook dan Twitter semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama orang muda.

Sebenarnya perkara sama pernah berlaku apabila televisyen dan radio menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat sekitar 1950-an dan 60-an.

Ramai yang berpandangan televisyen bakal mengakibatkan surat khabar akan melalui liku-liku sukar kerana peranannya yang lebih menyeluruh.

Namun surat khabar masih kekal utuh bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat bahkan menjadi teras dalam mencambah dan menyebar pemikiran rakyat.

Pupus

Terdapat pihak yang berpandangan surat khabar tidak mampu bertahan lama. Ada yang berpandangan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi surat khabar akan pupus.

Ada yang lebih dangkal hanya mensasarkan dalam tempoh lima tahun surat khabar akan disimpan di muzium berdasarkan kajian yang dilakukan oleh USC Annenberg's Center for the Digital Future.

Tidak dinafikan surat khabar kini melalui zaman kelamnya. Edaran akhbar di seluruh dunia kini merosot dengan mendadak atas faktor medium media baru yang bercambah tidak terkawal.

Sejak akhbar pertama di dunia, Relation aller Fürnemmen und gedenckwürdigen Historien membuat kemunculan di Jerman pada 1605, tradisi pembacaan akhbar menjadi satu kemestian dalam kehidupan seharian.

Begitu juga apabila surat khabar pertama wujud di negara ini melalui The Prince of Wales Island Gazette pada 1806 di Pulau Pinang, ia menjadi pemangkin awal dalam mendidik dan mengubah pemikiran masyarakat tempatan.

Namun kini peranan ini cuba diambil alih oleh media baru yang kebanyakannya masih belum teruji kewibawaannya.

Sehingga kini ternyata surat khabar masih mempunyai kekuatannya sendiri terutama dalam laporan berita yang tepat dan kredibel selain menjadi pilihan para pengiklan, sesuatu yang masih belum dapat ditandingi oleh media baru.

Nasib surat khabar sama ada pupus atau tidak akan hanya ditentukan oleh masyarakat jika mereka merasakan tidak lagi memerlukannya.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Chong Wei Lengkapkan Gelaran Ke-9 Terbuka Malaysia



KUALA LUMPUR : Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mencatat rekod enam kali berturut-turut bergelar juara Terbuka Malaysia Maybank sekali gus menambah koleksi trofi kesembilan kejohanan tahunan ini selepas menewaskan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia pada aksi akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad.

Pemain berusia 30 tahun itu menewaskan pemain kelima dunia dari Indonesia ini 21-7 21-8 dalam tempoh 32 minit.

Kemenangan ini juga mencatat rekod kemenangan 8 - 5 memihak kepada Chong Wei ke atas Sony sejak tahun 2007.

"Saya teruja dengan kemenangan hari ini sekali gus mencatat rekod juara sembilan kali.

"Sokongan daripada peminat-peminat yang datang juga memberi semangat untuk saya meraih kemenangan ini," jelasnya selepas perlawanan.

Sebagai rekod, Chong Wei turut meraih kejuaraan kejohanan ini pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Kejayaan ini juga merupakan rentetan kemenangan kedua Chong Wei tahun ini selepas turut menjuarai Terbuka Korea dua minggu lalu.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 17)


Membelah buluh, satu diangkat satu dipijak

Seseorang yang membelah buluh, biasanya sebelah dipijak manakala sebelah lagi diangkat kerana itulah cara membelah buluh dengan mudah. Orang tua-tua dulu menjadikannya contoh untuk dijadikan peribahasa.

Peribahasa ini bermaksud seorang pemimpin atau ketua yang tidak adil dalam melayani rakyat atau pengikut-pengikutnya. Sebelah pihak dilayan dengan baik dan terhormat, tetapi pihak yang sebelah lagi dihina atau diberi layanan yang tidak sepatutnya.

Begitu juga dalam menimbangkan sesuatu perkara yang berlaku antara dua orang atau dua puak. Dengan  jelas ia berpihak kepada seseorang atau satu puak, justeru sekiranya menjatuhkan hukuman tentulah akan  berat sebelah.

Peribahasa ini boleh dikiaskan kepada perilaku seseorang wakil rakyat dalam melayani rakyat yang diwakilinya. Setiap wakil rakyat  wajib memberikan layanan yang adil atau saksama kepada semua rakyat yang datang megadukan hal kepadanya.

Sekiranya ada antara wakil rakyat yang melakukan kezaliman seperti maksud peribahasa ini, ia bukanlah orang yang berwibawa sebagai ketua atau pemimpin rakyat. Sikap sedemikian sudah tentu akhirnya akan menyusahkan dirinya sendiri. Dalam hal ini, pemimpin sedemikian  sebenarnya tidak layak untuk menjawat jawatan wakil rakyat  kerana telah mengkhianati tanggung jawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Dalam Islam, keadilan didefinisikan sebagai 'meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya'. Definisi ini menggambarkan bahawa keadilan bukan sahaja merupakan tuntutan agama malah ia juga adalah satu tuntutan moral yang perlu ditunaikan. Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah suatu konsep yang diterima pakai oleh manusia tanpa mengira bangsa dan agama serta warna kulit. Dalam Islam, keadilan adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim. Di dalam al-Quran Allah berfirman:

''Dan apabila kamu menjalankan hukuman dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil'' - al-Nisa: 58.

Ayat ini pada zahirnya lebih menumpukan kepada golongan pemerintah ataupun mereka yang mempunyai  kuasa  kerana golongan inilah yang banyak sekali terlibat di dalam menjatuhkan sesuatu hukuman atau keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat jelata. Keadilan dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah menjalankan segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Keadilan mestilah diberikan kepada setiap rakyat tanpa mengira kedudukan mereka. Hal ini kerana setiap  rakyat berada di bawah tanggungjawab pemerintah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat nanti. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: ''Setiap orang di antara kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang orang yang berada di bawah jagaan mereka.''

Berdasarkan kepada hadis ini, kita dapat melihat bahawa tanggungjawab melakukan keadilan bukan sahaja kepada pemerintah bahkan kepada setiap individu. Ibu bapa mesti berlaku adil terhadap anak-anak mereka. Mereka perlu diberi layanan yang sama rata tanpa membezakan mereka.

Suami mesti berlaku adil terhadap isteri mereka. Jika mereka mempunyai lebih daripada satu isteri, maka keadilan adalah suatu perkara yang tidak boleh diabaikan. Keadilan dalam hal ini adalah bermaksud keadilan dari sudut nafkah zahir dan batin. Namun keadilan dalam sudut perasaan serta kasih sayang tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana perkara seumpama ini tidak mungkin dapat dipenuhi kerana fitrah manusia sememangnya begitu. Kerana sifat-sifat tertentu yang dimiliki, isteri pertama mungkin lebih dikasihi daripada isteri kedua ataupun sebaliknya. Dalam konteks ini Allah berfirman: ''Kamu pasti tidak akan mampu untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu meskipun kamu benar-benar mahu melakukannya.'' al-Nisa 29. Walau bagaimanapun, jangan pula kerana kasih sayang terhadap seseorang isteri membawa kepada ketidakadilan terhadap isteri yang lain.

Majikan juga perlu berlaku adil kepada semua pekerja mereka. Mereka tidak seharusnya menjadikan ikatan persaudaraan, persahabatan atau kenalan sebagai jalan mudah untuk memberi sokongan untuk kenaikan pangkat atau sebagainya tanpa mengira kualiti kerja serta disiplin yang ditunjukkan. Sikap seumpama ini akan melahirkan rasa tidak senang dalam kalangan pekerja lain dan ini akan membawa kepada ketidakikhlasan mereka di dalam menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan. Akhirnya produktiviti akan berkurangan, pekerja akan suka 'curi tulang' dengan alasan bahawa kesungguhan mereka bekerja tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan dan akhirnya negara juga akan mengalami kesukaran untuk membangun dengan lebih pesat lagi.

Dalam hal ini, semua pihak seharusnya menjauhkan diri daripada melakukan suatu amalan yang boleh membawa kepada masalah sama ada kecil atau pun besar. Kita seharusnya menggembleng tenaga untuk menyelesaikan segala masalah yang ada dan bukan untuk menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

Keadilan dalam Islam juga dapat dilihat dalam melaksanakan hukuman seperti hudud dan qisas apabila setiap tuduhan hendaklah disandarkan kepada syahadah (persaksian). Persaksian pula bukan daripada sebarang orang. Mereka yang boleh menjadi saksi adalah mereka yang adil iaitu mereka yang tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ''Maka ambillah dua orang saksi yang adil daripada kalangan kamu (orang Mukmin)'' - al-Talaq:2.

Tujuan arahan ini adalah jelas untuk melindungi mereka yang tertuduh agar tidak dianiayai oleh mereka yang tidak menyukai atau memusuhi  mereka. Keadilan di dalam Islam adalah suatu tuntutan dan keadilan ini juga adalah merupakan salah satu daripada ciri ketakwaan. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ''Hendaklah kamu berlaku adil, kerana keadilan itu lebih hampir kepada ketakwaan'' - al-Maidah:8.

Lantaran itu jika keadilan ini dapat dilaksanakan oleh semua manusia, pastilah kehidupan kita di dunia ini akan menjadi lebih ceria dan bahagia, negara juga akan menjadi aman damai serta harmoni sepanjang masa.