Khamis, 10 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Hargai pengorbanan, doakan kesejahteraan warga pendidik



Jasa bimbing pelajar jadi insan berguna tidak ternilai

KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari daripada sumbangan dan pengorbanan ibu bapa, keluarga, rakan dan guru. Sumbangan dan pengorbanan itu tidak mampu dibalas,  lebih-lebih lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Tarikh 16 Mei setiap tahun amat bermakna bagi warga guru yang pasti diingati, dihargai dan diraikan. Tidak kiralah siapapun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu dicurahkan, bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Jasa bimbing pelajar jadi insan berguna tidak ternilai.

Merekalah yang mengajar membaca, menulis dan mengira supaya kita menjadi insan berilmu. Oleh itu, adalah wajar kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat serta negara.

Berdasarkan sumbangan guru, maka tema sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’.

Guru Inovatif mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru dalam bentuk sumber atau kaedah sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda lebih dinamik.

Atas dasar itu, guru harus menggarap elemen inovasi dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan menerapkan idea serta kepakaran sebagai proses pengajaran dan pembelajaran supaya sumber ilmu disebarkan secara paling kreatif.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.” (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini mengandungi perintah Allah supaya manusia menggunakan akal dan fikiran untuk melakukan penelitian serta penyelidikan terhadap dalil kekuasaan Allah. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru berinovasi.

Usaha melahirkan modal insan beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha mudah yang boleh dipandang remeh. Usaha itu memerlukan ilmu dan kemahiran tinggi. Guru berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat serta perasaan jemu memastikan anak didiknya menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Guru berperanan sebagai ejen perubahan berganding dengan ulama dan umara menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan guru, lahirlah mereka yang berjaya dan tersohor.

Guru membangun minda anak dengan ilmu fardu ain, fardu kifayah, ilmu kehidupan termasuklah sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah membentuk akhlak terpuji supaya pelajar bukan saja hebat intelek malah beradab dan berintegriti.

Itulah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW: “Apabila seorang anak Nabi Adam meninggal dunia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan (rahmat dan keampunan) untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

Suasana harmoni dan hubungan mesra antara guru, ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuh demi melicinkan proses pendidikan. Janganlah diperbesar atau disensasikan isu remeh-temeh, sebaliknya setiap isu diselesaikan secara bijaksana.

Budayakan amalan perundingan seperti tuntutan Islam bagi mengelak timbulnya pelbagai kesan tidak diingini kepada semua pihak.

Jasa guru perlu dihargai dengan cara mendoakan kebahagiaan mereka sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturahim, menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan kepada institusi pendidikan.

Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru. Ucapkan terima kasih kepada guru dan semua insan yang pernah menabur bakti kepada kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan