Oleh
Asri Md Saman @ Osman
bhagama@bharian.com.my
Cepat dirikan
rumah tangga bagi pasangan berkasih sayang hindari zina, maksiat
RASULULLAH SAW
memberi fokus kepada golongan muda kerana mereka permata yang berharga
hinggakan seorang sarjana Islam pernah menyatakan, jika ingin melihat masa
depan sesebuah negara lihatlah masa depan remaja atau anak mudanya.
Namun, fenomena
kita alami kini anak muda dikhayalkan dengan percintaan terlarang yang
menyebabkan mereka lalai, lalu hanyut di arus noda dan maksiat. Kemudian
timbullah perbuatan haram seperti zina, membuang bayi dan membunuh diri.
Percintaan
terlarang yang mereka bina telah mengakibatkan zaman muda mereka hancur begitu
saja. Islam telah menggariskan cara hidup cukup sempurna buat manusia sejagat.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina
itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Israa’,
ayat 32)
Banyak kesan
akibat daripada perbuatan zina antaranya merosakkan nasab keturunan, mewujudkan
gejala pembuangan bayi dan mencemarkan kehormatan.
Bagi mengelak
gejala zina berleluasa, Islam telah menunjukkan alternatif yang berkesan iaitu
berkahwin. Golongan muda yang terjerat dalam masalah percintaan sebelum
berkahwin perlulah segera memperbetul gaya hidup mereka dengan mengesahkan hubungan
melalui akad nikah.
Secara
realitinya, sememangnya golongan muda amat teruja untuk berkahwin kerana secara
fitrah gelora jiwa muda sememangnya bergejolak menyebabkan fikiran mereka tidak
keruan dan hanya memikirkan pasangannya. Mereka ingin menyayangi dan disayangi.
Hal ini telah
dinyatakan dalam firman yang bermaksud: “Dijadikan terasa indah pada
(pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu: wanita, anak,
harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah
ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang
baik (syurga).” (Surah ali-Imran, ayat 14)
Namun, terdapat
beberapa kekangan yang menghalang golongan muda meneruskan hasrat murni mereka
kerana dua faktor utama iaitu ibu bapa dan sumber kewangan. Hal ini menyebabkan
ramai golongan muda menjerumuskan diri mereka dalam percintaan yang jauh
daripada reda Ilahi.
Pada zaman
generasi yang terdedah dengan sistem maklumat di ‘hujung jari’, ibu bapa kini
harus sedar, masyarakat sedang diserang dengan budaya hedonisme, masyarakat
dikelilingi hiburan yang melampau dan dipagari dengan kemaksiatan.
Oleh itu, jalan
penyelesaian terbaik bagi menjaga pandangan lelaki yang beriman adalah dengan
berkahwin. Hal ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Wahai
sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk
berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan
kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan
berpuasalah ia dapat memelihara daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Ibu bapa jangan
memberi alasan bahawa anak perlu menamatkan pengajian di institusi pengajian
sebelum berkahwin. Sememangnya itu satu kesilapan yang kebanyakan ibu bapa
lakukan kerana syaitan dan hawa nafsu tidak mengira usia untuk disesatkan.
Golongan muda
yang terdedah dengan persekitaran membangkitkan hawa nafsu wajar dinikahkan
kerana dikhuatiri mereka akan terpengaruh dengan suasana persekitaran itu dan melepaskan
syahwat pada jalan yang dilarang agama.
Faktor kedua yang
menjadi pencetus kepada permasalahan ini ialah sumber kewangan. Dalam hal ini,
golongan remaja perlu sedar untuk menjejakkan kaki ke jenjang pelamin
sebenarnya bukanlah satu perkara yang sukar.
Masalahnya,
masyarakat lebih suka menyusahkan diri kerana terlalu mengikutkan adat.
Contohnya, sewaktu melangsungkan kenduri perkahwinan kebanyakannya mengidamkan
baju mahal, pelamin mewah, juru solek dan makanan lazat untuk tetamu.
Jika mengikut
hukum yang ditetapkan Islam segala-galanya akan menjadi mudah. Majlis kenduri
ada dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakanlah kenduri kahwin
walaupun hanya dengan seekor kambing.”
Oleh itu, tidak
menjadi permasalahan jika kita mengikut segala yang disarankan Islam,
segala-galanya akan menjadi mudah dan senang kerana Islam adalah agama yang
mudah dan praktikal.
Memberatkan
perkara yang mudah sehingga melampaui batas kemampuan manusia hendaklah
dijauhi. Islam tidak menyusahkan umatnya sebaliknya manusia menyusahkan diri
mereka.
Perkahwinan di
usia remaja suatu perkara yang sangat baik kerana dalam usaha pembinaan jati
diri mukmin, perkahwinan perlu diberi penekanan supaya segala aspek ibadah
menjadi tenang dan aman untuk dilaksanakan.
Hal ini ada
dinyatakan Ibnu Abbas yang bermaksud: “Tidak sempurna ibadah seseorang sehingga
dia bernikah.”
Janganlah
memandang kahwin muda sebagai suatu perkara yang pelik sebaliknya lihatlah
kemungkaran dan pergaulan bebas pada hari ini sebagai suatu yang sangat pelik,
jijik dan kotor supaya suasana persekitaran masyarakat bersih daripada segala
penyakit sosial.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan