Khamis, 10 Mei 2012

ISU SOSIAL : LGBT budaya songsang merosakkan sistem sosial, keluarga


SALAH satu isu masyarakat yang menghantui kita pada hari ini adalah Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang membawa budaya songsang melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga.

Mereka yang memilih serta terjebak di dalam budaya songsang ini dengan jelasnya melakukan sesuatu yang tidak normal dan tidak menghormati institusi keluarga, agama dan aspek moral.

Jika dilihat daripada perspektif yang lebih besar, budaya ini akan merosakkan sistem sosial dan sistem keluarga. Budaya songsang ini bukan lahir daripada kehendak yang normal tetapi dibudayakan melalui cara hidup songsang yang terpesong jauh dari sistem kemanusiaan sejagat.

Akibat daripada pembudayaan negatif ini akan membawa kemusnahan sistem sosial dengan percanggahan nilai dan perkosaan adat budaya ketimuran.

Ibu bapa adalah kumpulan pertama yang akan mengalami tekanan daripada perubahan anak mereka kepada budaya LGBT yang mana ‘stigma vikarius’ akan membuat mereka merasakan anak-anak mereka akan melalui diskriminasi, penderaan lisan dan kemungkinan serangan fizikal.

Sementara itu, mereka akan mengalami public stigma apabila ahli keluarga ditekan untuk merasakan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan anak mereka menjadi gay.

Ibu bapa kepada gay dan lesbian, terpaksa menghadapi tekanan yang datang dari pelbagai sudut sama ada keagamaan, kemasyarakatan dan undang-undang sosial dunia yang berlandaskan nilai murni.

Dalam usaha untuk membangunkan dan mengekalkan nilai diri yang baik, anak-anak yang terjerumus dalam budaya LGBT perlu melihat tanggungan orang yang menyayangi mereka untuk sedar bahawa penglibatan mereka dalam budaya LGBT adalah salah.

Institusi keluarga adalah benteng terakhir untuk melahirkan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia, peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani serta pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.

LGBT adalah dilihat sebagai salah satu simptom penyakit sosial yang jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa dan mengikis nilai negara.

Isu LGBT harus dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu sudut nilai kenegaraan untuk negara. Ini kerana kita tidak mahu melihat negara mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai.

Maka kita amat perlu memantau gejala ini dan dalam masa sama satu proses penerangan perlu dipergiatkan untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan muda tentang mudarat gejala ini.

Di samping itu juga pendekatan rehabilitasi perlu disediakan untuk membantu mereka yang terjebak supaya kembali ke landasan yang betul.

Saya ingin menyeru semua pihak untuk turut serta menggalakkan usaha dalam pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang murni dalam masyarakat kita.

Semua golongan strata masyarakat hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab ini dan bertindak bersama merealisasikannya demi kesejahteraan negara.

Kini tibalah masanya untuk kita, sebagai sebuah negara meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dan menangani sebarang perkembangan negatif dengan segera sebelum situasi itu menjadi lebih buruk.

Bagi saya isu LGBT bukanlah isu mengenai hak asasi manusia. Sebaliknya isu tersebut merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat kita dan tidak pernah diiktiraf oleh mereka yang waras.

Golongan muda adalah tonggak pemimpin masa depan. Anak-anak kita perlu mencerna satu budaya sendiri yang berlandaskan nilai-nilai murni.

Janganlah menciplak ideologi Barat bulat-bulat kerana ia tidak semestinya betul dan sesuai dengan kepelbagaian bangsa dan budaya kita di sini.

Saya menyarankan supaya Dasar Sosial Negara disemak semula untuk menentukan sejauh mana polisi tersebut menyumbang dalam mewujudkan masyarakat yang progresif dan berdaya tahan yang berdasarkan kepada nilai moral dan bagi memperkasakan modal sosial.

Semakan terhadap Dasar Sosial juga adalah perlu untuk menilai semula usaha oleh kerajaan dalam mewujudkan kestabilan, kesihatan dan keharmonian masyarakat Malaysia bergantung pada kekuatan asas moral bagi mengimbangi pembangunan ekonomi yang pantas dengan nilai moral dan kemasyarakatan .

Dasar Sosial Negara perlu sentiasa diteliti dan dikaji demi mencapai matlamat “Negara Maju Bernilai Murni".

TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Exco Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan