KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus, diluluskan di Dewan Negara pada Khamis.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung perbahasan berkata selain membuktikan keikhlasan dan keberanian kerajaan, pindaan itu akan menghapuskan 'budaya kebimbangan' di kalangan mahasiswa.
Beliau berkata penghapusan budaya itu akan membuang sifat pasif dan berdiam diri mereka, yang akhirnya akan melahirkan mahasiswa berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
"Langkah kerajaan ini amat berani kerana ketika universiti didakwa kawasan 'penentang kerajaan', kerajaan 'membuka' universiti melalui pindaan yang menunjukkan kerajaan memahami maksud sebenar demokrasi progresif," katanya.
Saifuddin berkata pindaan itu diharap dapat menyuburkan kembali aktiviti berpersatuan di kalangan mahasiswa yang dahulunya terhalang hingga menyebabkan beberapa persatuan yang aktif seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia terkubur.
Terdahulu, Senator Baharudin Abu Bakar ketika membahaskan rang undang-undang itu, melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan mahasiswa bakal 'diperkudakan' pihak yang berkepentingan politik setelah akta itu dilaksanakan.
"Bila adanya perubahan pada akta ini, mahasiswa jangan ingat mahu berpolitik sahaja sehingga pembelajaran terabai. Mahasiswa ini golongan yang baik, hebat dan pintar. Namun, ada yang mempergunakan mereka demi kepentingan sendiri.
"Mereka ini baik asalnya, tetapi mereka diberi 'hidangan' yang salah, mereka diberi 'racun' sampai jadi begitu sekali," katanya.
Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah pula membidas kritikan sesetengah anggota dewan yang mengatakan pelaksanaan AUKU menghalang perkembangan bakat seseorang pelajar.
Merujuk kejayaan beberapa bekas mahasiswa di era Auku yang kini menyandang jawatan tinggi seperti Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, beliau berkata keadaan itu membuktikan dakwaan akta tersebut menyekat perkembangan bakat mahasiswa adalah tidak benar.
Malah, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pusataka itu mencadangkan agar kementerian memastikan hanya pelajar yang cemerlang dalam akademik sahaja dibenarkan terlibat aktif dalam politik.
Senator Datuk Dr Johari Mat pula mengingatkan mahasiswa supaya bijak dalam membezakan antara kebebasan bersuara dan politik kepartian apabila pindaan itu dilaksanakan.
Peringatan tegas itu dizahirkan bagi memastikan pewaris legasi bangsa berkenaan tidak hanyut dalam perjuangan politik sia-sia hingga mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka menuntut ilmu ketika di menara gading.
Bagi Senator Mohd Khalid Ahmad, kegagalan mahasiswa membezakan kebebasan bersuara dan politik kepartian akan menjadikan mereka terlalu taksub kepada parti politik yang mereka anggotai.
"Ketaksuban mahasiswa terhadap sesebuah parti politik akan membuatkan mereka berpecah kepada kelompok yang menyokong parti politik tertentu. Ini menyebabkan perpaduan di kalangan mahasiswa akan terjejas," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan