Khamis, 7 Jun 2012

ISU GLOBAL : Peningkatan penempatan Tentera Laut AS di Pasifik membimbangkan



Oleh : Azmi Hassan


TIDAK penting apa jua ungkapan yang digunakan untuk menggambarkan strategi terbaru Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Pasifik. Kesemuanya itu menggambarkan rantau ini bakal melalui senario yang lebih genting kerana bertapaknya dua kuasa besar iaitu Washington dan Beijing.

Era AS sebagai kuasa paling berpengaruh di Asia Pasifik semakin berakhir dengan kemunculan China sejak sedekad lepas. Presiden AS Barack Obama menggunakan ungkapan ‘pangsi’ untuk menggambarkan strategi terbaru Washington yang akan menggunakan rantau ini sebagai pemangkin untuk melonjak pengaruh global mereka.

Bagaikan untuk meredakan kegusaran masyarakat antarabangsa terhadap ungkapan pangsi yang ditafsirkan sebagai agak keras, Setiausaha Pertahanan AS Leon Panetta menegaskan strategi terbaru tersebut merupakan pengimbangan kekuatan tentera AS di antara Atlantik dan Pasifik.

Panetta memperkenalkan ungkapan terbaru tersebut ketika menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura beberapa hari lepas.

Sama ada dasar pangsi atau pengimbangan, strategi AS begitu jelas untuk menjadikan Asia Pasifik sebagai pangkalan tumpuan kekuatan ketenteraan mereka, terutama sekali angkatan Tentera Laut AS (USN).

Pada ketika ini penempatan aset USN adalah seimbang di antara Atlantik dan Pasifik. Tetapi menjelang tahun 2020, Panetta menegaskan kekuatan USN akan tertumpu di Pasifik dengan kelebihan nisbah 60:40.

“Penempatan terbaru ini termasuk enam kapal induk, sebahagian besar kapal perang, kapal pemusnah, kapal gempur pesisir dan kapal selam," tegas Panetta pada persidangan pertahanan anjuran Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik. Sehubungan dengan itu Singapura telah pun bersetuju dengan rancangan penempatan empat kapal gempur pesisir (LCS) AS di Pangkalan Tentera Laut Changi.

Perlu ditegaskan bahawa LCS yang akan ditempatkan di Singapura mempunyai teknologi paling terkini dan termaju sesuai utuk dijadikan sebagai pangkalan hadapan tentera marin AS di rantau ini. Panetta juga mengumumkan jet pejuang terbaru dan termahal AS iaitu F-35 juga akan ditempatkan di Asia Pasifik dan besar kemungkinan di Jepun.

Agak membimbangkan juga bahawa kapal selam kelas Virginia yang mempunyai sistem peluru berpandu tercanggih juga dalam perancangan penempatan di Lautan Pasifik. Tidak menghairankan mengapa kapal selam sebegini dipilih kerana kemampuan menyerang yang tinggi dan sesuai untuk perairan sama ada yang cetek atau dalam.

Strategi pengimbangan ini sudah pasti akan membuatkan negara Asia Pasifik melakukan perubahan kekuatan ketenteraan masing-masing supaya tidak ketinggalan. Sebagai contohnya jumlah pembelian senjata tahun 2011 negara rantau Asia telah melampaui negara Eropah dan perbezaan antara Pasifik dan Atlantik ini akan menjadi lebih ketara akibat strategi pengimbangan AS.

Pada satu ketika pemilikan kapal selam negara Asia Pasifik hanya dipunyai oleh beberapa negara elit kerana kosnya yang agak tinggi dan keperluannya yang agak terhad. Tetapi pada hari ini selain negara tradisi seperti China, India, Korea Selatan, Australia dan Jepun yang memiliki kapal selam, Malaysia, Indonesia dan Singapura juga memiliki kemampuan serupa.

Thailand, Vietnam dan Filipina juga sedang membuat perancangan pembelian kapal selam dan dijangkakan dalam satu dekad akan datang Lautan Pasifik akan menjadi tuan rumah kepada 170 buah kapal selam.

Memang benar Lautan Pasifik yang begitu luas sudah pasti mampu menampung kehadiran jumlah kapal selam yang begitu banyak tanpa mengganggu operasi setiap negara. Tetapi mampukah rantau ini menjadi tuan rumah kepada dua kuasa besar iaitu Washington dan Beijing memandangkan strategi pengimbangan AS dan permodenan angkatan tentera China berjalan secara serentak.

Washington memberi jaminan bahawa penempatan armada tentera laut hanya untuk menentukan laluan Lautan Pasifik sentiasa bebas daripada ancaman dan tidak ada kena mengena dengan kebangkitan China. Manakala Beijing pula menegaskan permodenan angkatan tentera mereka hanya untuk menjaga kepentingan ekonomi China.

Memang benar seperti yang diperkatakan oleh Duta AS ke Malaysia, Paul W. Jones bahawa strategi pengimbangan adalah untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan AS di samping bersama membanteras kegiatan lanun, penyeludupan serta melaksana bantuan-bantuan kemanusiaan di rantau berkenaan.

“Oleh itu, AS berperanan untuk bersama mewujudkan keselamatan dan keamanan di rantau berkenaan. Kita bukan hendak takluk atau berkonfrontasi tetapi ini satu bentuk hubungan kerjasama AS," tambah beliau.

Tetapi mengambil iktibar bagaimana AS telah menggunakan jaringan Trans Atlantik dan juga Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk melangsungkan agenda Washington, tidak mustahil perkara yang serupa akan berlaku terhadap Asia Pasifik.

Begitu juga dengan China kerana melihatkan bagaimana tindak-tanduk Beijing menangani isu tuntutan bertindih kawasan maritim Laut China Selatan, adalah begitu sukar untuk mempercayai bahawa rundingan adalah saluran utama dan bukannya kekuatan ketenteraan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jika kehadiran AS mampu mengimbangi China di rantau Asia Pasifik terutama sekali di Laut China Selatan, perkara sebegini patut dinilai secara positif kerana Beijing pada ketika ini mempunyai kelebihan berbanding dengan negara Asia Tenggara.

Tetapi masalah akan timbul jika wujud dua kumpulan negara Asia Pasifik sama ada yang memihak kepada Washington atau Beijing kerana senario sebegini bukan lagi sesuai untuk pengimbangan pengaruh tetapi lebih kepada bibit-bibit tercetusnya konflik.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen