Khamis, 7 Jun 2012

ISU GLOBAL : Sukan ketepikan seketika masalah ekonomi Eropah



Oleh Rohami Shafie


Eropah, benua yang menjadi tumpuan seluruh dunia pada masa ini. Sejak sebelas  tahun yang lalu kebanyakan negara Eropah bersatu di bawah Kesatuan Eropah (EU). Namun, krisis hutang Eropah yang semakin meruncing sejak dua tahun lalu menguji keupayaan sistem kapitalis yang diagung-agungkan oleh Barat sejak sekian lama. Krisis ini juga menguji keutuhan dan kesepakatan ahli-ahli EU.

Mengikut perangkaan ekonomi, lapan daripada sepuluh negara yang mempunyai peratusan hutang tertinggi berbanding Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di dunia datangnya dari benua Eropah.

Tempat pertama dalam kalangan  negara Eropah sudah semestinya diduduki oleh Greece. Hutang Greece berbanding KDNK ialah sebanyak 168.2 peratus, manakala kadar pengangguran ialah sebanyak 19.2 peratus.

Negara-negara Eropah lain yang mempunyai kadar hutang tertinggi berbanding KDNK di dunia ialah Itali, Ireland, Portugal, Belgium, Perancis, Jerman dan United Kingdom. Hal ini menandakan bahawa sistem kapitalis terlalu taksub dengan instrumen hutang.

Sememangnya EU semakin lemah dan persoalan yang timbul pada masa kini adalah sama ada Greece wajar kekal atau keluar dari EU.

Umpama sebuah pasukan bola sepak, setiap pemain mempunyai peranan tersendiri. Namun, apabila salah seorang pemain mengalami kecederaan teruk ketika perlawanan berlangsung, adakah ia perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dimasukkan semula atau dikeluarkan terus dalam perlawanan tersebut?

Dalam konteks ini, jika pemain tersebut cukup penting, terkeluarnya beliau akan menyebabkan pasukan tersebut tempang. Tetapi adakah Greece sebuah negara yang cukup penting buat EU?

Ada pendapat mengatakan bahawa lebih baik Greece keluar dari EU berbanding kekal di situ kerana dengan cara ini, Greece dapat mengurus kewangannya dengan menggunakan mata wang asalnya dan seterusnya mengurangkan kos dalam pasarannya. Kesan positif, daya saing Greece akan semakin meningkat.

Tetapi keputusan mengeluarkan Greece akan menjadikan pelabur seluruh dunia semakin tidak yakin dengan keupayaan EU. Mengurangkan ahli akan mengurangkan kekuatan sesebuah pasukan.

Sekali lagi umpama sebuah pasukan bola sepak, mampukah ia mengecapi kemenangan jika hanya 10 pemain bertarung dalam persaingan yang sangat sengit?

Memang boleh tetapi dengan bersyarat iaitu mestilah mempunyai strategi yang ampuh dan tepat. Jika tidak, pasukan tersebut perlu mengenal pasti seorang pemain simpanan yang mampu memikul peranan pemain yang telah dikeluarkan.

Dalam kes EU, nampak gayanya, Greece perlu dikekalkan. Jika tidak, EU akan semakin tempang terutamanya krisis hutang ini merebak ke negara Sepanyol sehinggakan banknya terpaksa diselamatkan.

Malahan, tanda-tanda krisis ini semakin teruk semakin jelas kelihatan apabila mata wang Eropah juga semakin lemah berbanding mata wang asing yang lain.

Jika Greece dikeluarkan dan Sepanyol tidak dapat diselamatkan, maka seluruh dunia perlu berasa bimbang bahawa krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah dunia bakal melanda.

Tambahan lagi, mengikut angka terbaru, bukan sahaja ekonomi Eropah semakin tenat tetapi juga ekonomi Amerika Syarikat (AS). Pada bulan Mei yang lalu, hanya 69,000 peluang pekerjaan ditawarkan di AS dan ini meningkatkan kadar pengangguran di AS sebanyak 0.1 peratus kepada 8.2 peratus.

Ini menggambarkan bahawa ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya, bahkan sebaliknya berada dalam keadaan yang amat genting. Ada yang berpendapat bahawa negara kita tidak akan teruk terjejas dek kerana krisis hutang negara-negara Eropah. Adakah begitu?

Memang benar, urus niaga Malaysia dengan negara-negara EU tidak begitu tinggi, namun perlu diingat kita mempunyai tahap urus niaga yang tinggi dengan negara China, yang mana dagangan China dan Eropah adalah besar sekali.

Jika ekonomi China merosot akibat krisis hutang Eropah, maka Malaysia juga akan terkena tempiasnya. Mungkinkah kesannya hanya akan dirasai oleh negara kita pada suku ketiga tahun ini?

Ketika negara-negara Eropah sedang bergelut dengan krisis hutang, jangan dilupakan bahawa pada bulan ini dan bulan depan, benua tersebut akan menganjurkan dua sukan terbesar yang diminati oleh penduduk dunia.

Pertama, kejohanan bola sepak Euro 2012 yang akan bermula beberapa hari lagi. Ramai yang masih ingat, Greece pernah menjuarai kejohanan ini pada tahun 2004, manakala Sepanyol merupakan juara bertahan Euro 2008.

Kejayaan menjuarai Euro 2004 dan 2008 tidak mampu diterjemahkan dalam konteks kekukuhan ekonomi negara-negara tersebut.

Kedua, sukan terbesar selepas kejohanan bola sepak Piala Dunia iaitu Olimpik 2012 bakal diadakan di United Kingdom (UK) pada bulan Julai nanti.

Selepas mengalami kacau-bilau pada tahun lalu, negara tersebut akan menjadi tuan rumah bagi pelbagai acara sukan yang melibatkan jagoan sukan seluruh dunia.

Kedua-dua kejohanan sukan ini bakal memberi limpahan ekonomi kepada benua Eropah terutamanya negara-negara yang menganjurkannya iaitu UK, Poland dan Ukraine.

Namun begitu, perlu diingat, kesannya hanya dirasai sebelum dan semasa berlangsungnya kejohanan sukan tersebut, namun kesan positif selepas berakhirnya kejohanan tersebut masih lagi samar-samar.

Tetapi sekurang-kurangnya, dua kejohanan sukan yang bakal diadakan ini akan membuatkan penduduk dunia melupakan sementara krisis hutang yang membelenggu benua Eropah.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan