Khamis, 7 Jun 2012

ISU SOSIAL : Ambil langkah kurangkan kemalangan jalan raya



Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

AGAK mudah untuk kita berbicara mengenai keselamatan tetapi adakah setiap orang benar-benar komited dengannya. Keselamatan tidak dianggap penting sehinggalah berlakunya tragedi yang sudah terlambat untuk dikesali.

Walaupun terdapat banyak kempen keselamatan jalan raya dan program publisiti, tragedi kemalangan jalan raya masih berterusan yang melibatkan kanak-kanak dan remaja menjadi korban. Lebih menyedihkan apabila seluruh keluarga terkorban dalam kemalangan maut.

Statistik yang didedahkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan sebanyak 414,421 kemalangan jalan raya telah dilaporkan pada tahun 2010 dibandingkan dengan 265,175 pada tahun 2001. Sementara itu, angka kematian jalan raya turut meningkat daripada 5,849 kes pada tahun 2001 kepada 6,872 kes pada tahun 2010.

Jika angka kemalangan jalan raya 2010 dibandingkan dengan 397,330 kemalangan yang dilaporkan pada 2009 menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Bagi angka kematian  di jalan raya pada 2010 pula,  jika dibandingkan dengan  6,745 kematian pada 2009,  menunjukkan peningkatan sebanyak  2 peratus.

Kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika kita mengambil berat terhadap keselamatan dan menghargai nyawa orang yang tersayang.

Para pemandu sedar akan kempen keselamatan dan bahaya di jalan raya, tetapi mereka bersikap lalai terhadap nyawa sendiri serta orang lain apabila jalan raya dijadikan seperti litar lumba Formula 1.

Jika kita hendak melihat penurunan kemalangan, sikap kurang sabar dan pemanduan secara berbahaya di jalan raya perlu diperbaiki.

Selain daripada disiplin dan undang- undang jalan raya, pihak kerajaan juga hendaklah memandang serius terhadap keadaan jalan raya yang tidak memuaskan.

Ini adalah kerana kerosakan jalan raya seperti jalan berlubang, tidak rata ataupun bermasalah kejuruteraan boleh menyebabkan kemalangan. Ia harus ditangani dan diperbaiki dengan kadar segera bagi mencegah kemalangan.

Merujuk kepada Perkeso, jumlah kemalangan dalam perjalanan dilaporkan telah meningkat sebanyak 28.4 peratus daripada 17,170 kes pada tahun 2001 kepada 22,040 kes pada tahun 2010.

Majikan dan pekerja harus menyedari statistik yang serius ini dan bersedia untuk mengambil langkah bagi mengurangkan kejadian kemalangan.

Majikan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pekerja mereka dan pengguna jalan raya dengan mengambil  langkah-langkah pengurusan risiko pekerja di  jalan raya untuk mengurangkan kerugian perniagaan yang meningkat daripada kemalangan jalan raya semasa ke tempat kerja.

Kesimpulannya, para majikan mempunyai tanggungjawab dalam membangunkan dan melaksanakan program dan prosedur keselamatan  yang komprehensif di tempat kerja untuk mengurangkan kemalangan, kematian dan kecederaan termasuk menyediakan latihan kepada para pekerja mereka untuk menjadi pemandu dan penunggang yang cekap berhemah dan bertanggungjawab.

Penulis ialah Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan