Khamis, 7 Jun 2012

ISU SOSIAL : Harapan selepas Hari Belia Negara 2012


Oleh : EZARUDDIN ABD RAHMAN

HARI Belia Negara 2012 telah melabuhkan tirainya. Saya sendiri telah berada empat hari berturut-turut menghadiri Perhimpunan Hari Belia Negara yang disifatkan antara Karnival terbesar di dunia. Semoga sambutan Hari Belia Negara tersebut akan meningkatkan kekuatan belia Malaysia bukanya memenuhi KPI Kementerian Belia dan Sukan semata-mata. Adalah menjadi harapan yang sangat besar untuk kita melihat semangat belia Malaysia dapat dibangkitkan tanpa pemimpin belia bergantung kepada ahli-ahli politik.

Kita harus perkasakan persatuan belia agar kita dapat melihat lebih ramai penyertaan golongan belia menyertai persatuan . Majlis Belia Malaysia (MBM) yang disandarkan harapan yang besar untuk membawa suara belia harus benar-benar dapat memikul tugas tersebut dengan penuh tanggungjawab. Kita tidak mahu melihat pemimpin MBM hanya sebagai jurucakap Kementerian Belia dan Sukan tetapi sebaliknya menjadi  jurucakap kepada aktivis belia di negara ini.

Kuasa belia adalah penentu kepada masyarakat Malaysia. Jumlah belia di negara kita sudah mencapai 11.9 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Jumlah ini sudah jelas menunjukkan bahawa suara dan sumbangan belia kepada semua aspek pembangunan negara adalah juga setara penting. Hanya orang yang nyanyuk sahaja akan memperlekehkan peranan belia dalam masyarakat.

Pemimpin belia harus radikal untuk memastikan nyalaan perjuangan belia dapat didengari. Kita harus radikal daripada suara perjuangan belia bukanya radikal daripada perbuatan seperti membaling objek, malah memusnahkan kereta polis. Kita amat terpegun apabila belia Malaysia yang berhimpun di Putrajaya lebih matang tanpa mengadakan apa –apa jua tindakan yang memusnahkan harta benda awam.

Belia Malaysia memperkuatkan jati diri dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, sekali gus tidak terpedaya dengan budaya merosakkan imej negara, malah mereka juga perlu mengamalkan sikap berprestasi tinggi dalam kepimpinan, selain mempunyai sifat kesederhanaan, toleransi dan integrasi selaras dengan konsep 1Malaysia.

Mereka perlu berfikiran kreatif dan inovatif serta membentuk idealisme radikal tetapi rasional untuk memimpin negara pada masa depan. Malah, belia perlu mengamalkan demokrasi dalam kepimpinan serta adil dan bijaksana untuk membuat keputusan serta penilaian terhadap sesuatu isu.

Kita juga berharap agar pemimpin politik yang ingin mendampingi belia harus menanggalkan baju protokol mereka untuk menghilangkan rasa penghalang semangat kemesraan. Mereka harus meninggalkan kereta mewah mereka di garaj rumah masing-masing sebelum berjumpa belia dengan menaiki kenderaan nasional.

Sebenarnya ramai golongan belia lebih suka akan program santai dan tanpa banyak protokol. Program belia tidak memerlukan khemah yang mahal dan hidangan yang mewah untuk mengadakan program tidak seperti program politik yang berbelanja besar. Saya amat tertarik dengan cara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang lebih mesra belia. Beliau boleh berkomunikasi melalui beliau melalui Facebook dan Twitter, malah jemputan program boleh dibuat melalui SMS sahaja. Inilah kehendak belia kita pada hari ini.

Parlimen Belia yang diwujudkan oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini harus mengajar belia dengan cara belia. Kemewahan penginapan di hotel mewah akan mengajar pemimpin belia dengan sifat kesenangan dan boleh menghilangkan semangat idealis mereka. Walaupun pada asalnya penubuhan Parlimen belia ini menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat, kita tidak mahu mereka pulang ke tempat masing-masing dengan tangan kosong dan kita berharap mereka akan mempunyai semangat untuk berjuang.

Belia Malaysia berharap peranan mereka diiktiraf oleh pihak kerajaan. Masih terdapat lagi pelantikan ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dilantik daripada orang-orang politik sahaja tetapi pemimpin belia sekadar di pinggiran semata-mata. Hal ini menyebabkan banyak program Pihak Berkuasa Tempatan kurang mendapat sambutan daripada golongan belia. Begitu juga Lembaga Pelawat Hospital juga banyak terdiri daripada orang politik.

Kita harus menyedari bahawa Kuasa Belia mampu mengubah landskap politik negara. Mereka juga mempunyai kuasa undi yang tinggi dan seharusnya kita memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka ini. Pemimpin belia bukan gilakan kuasa, malah darjat tetapi mereka menawarkan diri untuk memberi  sumbangan kepada masyarakat Malaysia.

Dalam pemilihan Tokoh Belia Negara akan datang, kuasa pemilihan perlulah diberikan kepada pemimpin belia untuk memilih bukan hanya diberikan kepada orang yang bukan belia. Adakah pemilihan tokoh belia ditentukan oleh tiga orang panel penilai semata-mata?

Pemimpin belia akan mengenal pasti  siapa yang aktif dan memberikan sumbangan bukannya berdasarkan persepsi atau dokumen di atas kertas semata-mata. Ramai tokoh belia telah bergerak aktif dalam pergerakan belia sejak usia belasan tahun lagi tetapi ramai terlepas pandang kerana kita sibuk melantik panel profesional.

Semoga Sambutan Hari Belia Negara 2012 akan membawa makna yang besar kepada belia bukan hanya sekadar bergembira semata-mata. Dengan tema ‘Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’, sebagai sebuah harapan yang besar kepada Belia Malaysia, kita mahukan peranan belia dapat dikembangkan dalam pelbagai bidang dan peringkat. Pemimpin belia juga harus berani bersuara dan menegur serta memberi apa-apa jua padangan mereka. Banyak pertubuhan belia rasa sedih kerana suara mereka diketepikan. Kita berharap penyertaan banyak kementerian dalam sambutan kali ini akan memberi satu idea kepada mereka untuk membantu belia.

Golongan belia harus dibantu dalam banyak aspek termasuk memulakan perniagaan dengan bantuan kewangan. Terdapat juga agensi yang meminta surat sokongan ahli politik untuk mendapatkan tajaan kepada belia.

Apa salahnya mereka mendapat sokongan daripada pemimpin Belia Daerah malah Pengerusi Majlis Belia Negeri dalam mendapatkan bantuan kewangan. Sebagai pemimpin belia kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan kita bukanya menagih kontrak-kontrak jutaan ringgit untuk kaya raya. Pemimpin belia tidak digajikan dan bergerak dengan wang keringat sendiri. Hargailah Belia Malaysia dan mereka mampu memberi sumbangan yang besar kepada Malaysia.

Kita ingin mendengar suara lauangan anak muda untuk negara bukannya laungan belia untuk J-Pop atau K-Pop. Pergerakan Belia Malaysia harus diperkasakan dan dijadikan medan untuk melahirkan pemimpin negara. Ramai pemimpin negara kita lahir daripada persatuan belia di negara ini.

Kita juga berharap agar suatu hari nanti, kerajaan akan mewujudkan Kementerian Belia sahaja agar lebih fokus dan tersusun.Hal  ini kerana Menteri Belia dan Sukan terbahagi kasih sayangnya kepada dua iatu sukan dan belia. Semoga harapan kita selepas Hari Belia dapat melihat pengembangan potensi belia dapat diperkasakan. Kita tidak mahu harapan belia seperti tragedi sebuah cerita novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Penulis ialah Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen