Ahad, 29 Julai 2012

ISU GLOBAL : Dihukum merekrut tentera kanak-kanak


SUASANA semasa perang saudara yang berlaku selama lima tahun dari 1998 hingga 2003 di Republik Demokratik Congo.

Susunan AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my

PEMIMPIN militia, Thomas Lubanga baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kesalahan merekrut dan menggunakan kanak-kanak sebagai anggota tentera ketika perang saudara di Republik Demokratik Congo.

Lubanga, 51, merupakan individu pertama disabitkan bersalah dalam perbicaraan jenayah perang di The Hague, Belanda.

Hukuman itu dikenakan setelah pemimpin berkulit hitam itu disabitkan bersalah pada Mac lalu kerana melarikan budak lelaki dan perempuan di bawah umur 15 tahun dan memaksa mereka terlibat dalam kancah peperangan di timur wilayah Ituri di negara benua Afrika tersebut antara tahun 2002-2003.

Pihak pendakwa sebelum ini memohon 'hukuman berat' selama 30 tahun terhadap pemimpin tersebut. Ketua pendakwaan, Luis Moreno-Ocampo menggesa hukuman ''atas nama setiap kanak-kanak yang direkrut, atas nama wilayah Ituri."

Bagaimanapun pendakwa raya turut menyatakan, pihaknya bersedia mengurangkan hukuman kepada 20 tahun sekiranya Lubanga memohon 'maaf dengan ikhlas' kepada mangsa-mangsa kekejamannya.

Kanak-kanak berusia semuda 11 tahun dilarikan dari rumah dan sekolah, kemudian direkrut untuk terbabit dalam kekejaman persengketaan etnik dalam tempoh lima tahun peperangan yang berakhir pada 2003. Mereka dibawa ke kem-kem latihan ketenteraan dan dipukul serta dibekalkan dadah. Kanak-kanak perempuan pula digunakan sebagai hamba seks.

Lubanga membuat pengakuan tidak bersalah dan menyatakan dia tidak menyokong penggunaan tentera kanak-kanak oleh pihak militan terbabit.

Namun begitu, menurut laporan berita The Guardian, dalam keputusan sebulat suara ICC, hakim-hakim menyatakan, Lubanga bertanggungjawab atas kekejaman tersebut.

''Lubanga dihukum penjara 14 tahun mulai tarikh dia diletakkan di bawah tahanan pada 16 Mac 2006,'' menurut Hakim Adrian Fulford.

Ini bermakna Lubanga akan menjalani hukuman penjara dalam tempoh kurang dari lapan tahun.

Lelaki tersebut tidak menunjukkan sebarang emosi ketika Hakim Fulford membacakan hukuman tersebut pada 10 Julai lalu.

Menurut hakim berkenaan, fakta bahawa Lubanga merupakan seorang 'bijak dan berpendidikan tinggi' menjadi faktor yang relevan dalam keputusan untuk mensabitkan lelaki itu bersalah.

Lubanga yang ditahan sejak 2006 dan dibicarakan mulai 2009, mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia menganggarkan lebih 60,000 orang terbunuh dalam konflik antara kumpulan etnik Hema dan Lendu di Ituri.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pengarah penyokong keadilan antarabangsa di Pemerhati Hak Asasi Manusia, Geraldine Mattioli-Zeltner berkata:

''Hukuman terhadap Lubanga sepatutnya adil dan mencerminkan kesalahan yang dilakukan. Hukuman ke atas Lubanga adalah penting bukan hanya kepada mangsa-mangsa yang mahukan keadilan ditegakkan tetapi juga sebagai amaran kepada sesiapa sahaja yang menggunakan tentera kanak-kanak di seluruh dunia.''

Sabitan terhadap Lubanga adalah berkaitan konflik semasa di timur Congo, apabila puak pemberontak menuju ke ibu kota wilayah tersebut, Goma.

Puak pemberontak diketuai oleh seorang jeneral yang berpaling tadah, Bosco Ntaganda. Beliau turut dikehendaki ICC kerana merekrut dan menggunakan tentera kanak-kanak di Ituri dalam peperangan tersebut.

Sekalipun hukuman dijatuhkan, ICC tetap dikritik kerana terlalu menumpukan jenayah perang di Afrika dan tidak di bahagian lain di dunia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan