Oleh Khairuddin
Mohd Zain
BELUM pernah
rasanya persoalan tema Hari Kebangsaan menjadi polemik yang memecahbelahkan
pemikiran rakyat. Entah apa tujuan dan objektif, sepertinya tidak ada sesuatu
yang kena dan molek tema tahun ini kepada
sesetengah pihak. Sehinggakan tema Hari Kebangsaan mahu
dijadikan gelincir pandangan yang sangat negatif dan merosakkan.
Penulis melihat
penuh minat dengan pelbagai ungkapan sinikal, kejian, hinaan dan makian yang
dikemukakan banyak pihak mengenai isu tema ini. Pernah satu ketika, media baru,
terutamanya penggunaan platform twitter
dijadikan medan debat mengenai isu sama. Maka, bertempiaranlah anak muda kita,
termasuk mereka yang berada di luar negara, memberikan takrifan sendiri
mengenai isu ini.
Mereka yang selama
ini tidak pernah minat dan ambil tahu tentang tema Hari Kebangsaan, tiba-tiba
sahaja menjadi kalangan pengkaji bahasa, pakar media, ahli strategi politik
yang menilai tema tersebut dalam pelbagai segi. Tak kurang juga yang
menjadikannya bahan lawak jenaka untuk menghina pemimpin dan individu tertentu.
Daripada satu segi,
tema '1Malaysia: 55 Tahun Merdeka - Janji Ditepati memungkinkan suatu perkongsian pandangan yang sihat, asalkan ia
tidak disulami dengan nada sinikal, kecaman dan dendam politik yang melampau.
Sejujurnya, minat
generasi muda terhadap tema ini sangat luar biasa! Walaupun mereka punya
pandangan berbeza, namun ia haruslah dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Pada pandangan penulis, frasa Janji
Ditepati ini bukanlah sesuatu yang eksklusif dan politikal. Buka sedikit
minda, kita akan melihat maknanya yang lebih besar.
Janji Ditepati -
ini mestilah juga dilihat melalui pandangan yang objektif dan tidak sarat
dengan niat politik. Jika itu dapat menjadi rentak mula pandangan dan
pemikiran, rasanya ia bukanlah satu terma yang jijik. Malahan, ungkapan janji ini sudah sewajarnya menjadi sebahagian
daripada kehidupan kita rakyat Malaysia.
Mungkin kita sudah
lupa bahawa ikrar Rukunegara
juga adalah satu perjanjian rakyat kepada negara yang perlu dijadikan
landasan tindakan kita sebagai warga negara yang bertuah
ini.
Berapa ramai
generasi muda kita yang benar-benar dapat menghayati makna dan ikrar kita kepada negara. Ikrar ini tahapnya
lebih tinggi daripada janji. Definisi ikrar - istilah Arab; janji yang
sungguh-sungguh, janji yang disertai dengan sumpah,
pengakuan. Apakah kita masih ingat dengan bait-bait ayat ikrar yang berikut:
Bahawasanya, negara
kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: mencapai perpaduan yang lebih erat di
kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta
satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama
secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap
tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat
progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Ideal kita
bermasyarakat dan memelihara hubungan antara rakyat dan kerajaan ini bukan perkara baru. Ia legasi politik yang
berusia lebih 42 tahun. Entah mengapa hari ini kita menjadi fobia dengan istilah janji. Atau kita
sebenar-benarnya mahu mengambil jalur politik dalam semua perkara?
Sudah tiba masanya
jagoan-jagoan politik melonggarkan sedikit ketaksuban politik dan mula melihat
Hari Kebangsaan dengan semangat cintakan negara yang tepat dan betul. Polemik
politik tidak akan pernah berakhir. Namun, apakah kita sudah menjadi sedemikian
terdesak untuk mempolitikkan perkara yang sepatutnya berada di landasan neutral
dan dikongsi bersama?
Istilah Janji Ditepati ini wajar juga dijadikan wadah untuk kita menilai kembali sejauh mana kita, sebagai rakyat,
sudah memenuhi aura rakyat dan
menepati ikrar kita dalam mengisi niat rukun kita bernegara. Ini asasnya. Ini
bukan soal hak mutlak dan prerogatif siapa. Ini soal kaedah kita dalam memberi makna. Niat untuk hidup dalam suasana demokratikini bukan cita baru. Ia sudah termeterai dalam ikrar kita
sejak 1970 lagi!
Soalnya, sejauh
mana demokratiknya kita kalau kita sendiri tidak tahu menghormati pandangan
orang lain? Menganggap kita dan kumpulan kita sahaja betul dan wibawa? Hari
Kebangsaan seharusnyalah menjadi landasan kita mengukur kembali ikrar, janji dan baiah
kita sebagai anak Malaysia yang sebenar. Wajar agaknya kita menilai kembali,
sejauh mana kita sudah menjadi pemangkin kepada usaha membina perpaduan,
mencipta masyarakat adil, memuliakan budaya dan membina masyarakat progresif.
Ini semua ikrar dan janji
kita.
Semua usaha dan
niat ini digabung jalinkan dengan lima prinsip yang sangat integral:-
*
Kepercayaan kepada Tuhan
*
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
*
Keluhuran Perlembagaan
*
Kedaulatan Undang-Undang
*
Kesopanan dan Kesusilaan
Janji Ditepati - seharusnya menjadi wadah
untuk kita menilai fiil dan tingkah kita dalam mengisi tuntutan dan prinsip
Rukunegara yang lima ini. Sebagai mana-mana manusia politik dan organisasi
sekalipun, kita tidak seharusnya keluar daripada baiah yang sangat asas ini. Rukun Negara
bukannya sebuah legasi politik usang yang tidak relevan. Malahan, dengan asas
yang sama, kita sudah banyak menjauhkan negara daripada tribulasi yang
merosakkan.
Banyak masalah yang
dapat kita murnikan jika rakyat terus memegang ikrar dan janji yang lima ini. Ia sangat asas. Namun begitu, malangnya, kita
sudah mula untuk menduga sesetengah prinsip sebagai kaedah mendapat laba
politik yang bersifat sementara. Masing-masing mahu membawa pandangan jumud dan
sempit, sehingga adakalanya mahu menguji keabsahan prinsip
yang sedemikian asas.
Apa mesej yang mahu
kita sampaikan kepada generasi baru, sekiranya terma ikrar, janji dan baiah ini juga mahu kita polemikkan? Eloklah
agaknya, dalam tempoh meraikan Hari Pahlawan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk kita mempunyai minda yang lebih terbuka dan tidak
terlalu politikal sifatnya.
Molek untuk kita
kurangkan gegak gempita pemikiran politik dengan sambutan Hari Kebangsaan yang
neutral dan dimiliki semua. Janji
Ditepati ini bukan soal janji kerajaan kepada rakyat
semata. Ia juga soal menepati janji dan ikrar kita, sebagai rakyat - terhadap
negara. Apakah kita ini agaknya sudah menjadi kalangan mereka yang hanya mahu
melihat sumbangan kerajaan kepada kita; dan
bukan sebaliknya.
Kita seharusnya
menjadi generasi yang matang dan tidak melihat semua perkara dalam kacamata
politik. Selama 13 tahun (1957-1970) kita merdeka tanpa memegang sebarang ikrar dan janji. Politik kita
berasaskan laissez-faire. Kontrak sosial kita bernegara hanya berasaskan faham kerjasama
yang longgar. Nyata, politik tidak akan menjadi semudah itu. Kita membayar
harga yang tinggi untuk memahami bahawa sesungguhnya kita memerlukan ikrar dan
janji yang lebih mengikat. Lalu, apa salahnya jika kita menilai semangat 55 tahun merdeka dengan bermuhasabah tentang ikrar dan janji yang wajar ditepati.
Namun penulis
terpaksa mengakui bahawa logo Hari Kebangsaan kali ini perlu diperbaiki dan
diperhalusi semula. Ia terlalu simplistik dan tidak membawa bersamanya semangat
maju dan makmur yang diinginkan. Rasanya kita punya ramai
pereka muda yang jauh lebih dinamik, artistik dan berpandangan jauh! Ini bukan
soal politik tapi soal cita rasa dan rekaan yang sedap dipandang mata. Logo
Hari Kebangsaan tidak boleh bersifat, janji ada.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan