Oleh : ZIN MAHMUD
SEMALAM majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling
bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya.
Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya
menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan
fahaman politik melalui semangat kesukanan.
Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh
dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih
lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial
yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan.
Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan
acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen
tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya
facebook dan twitter.
Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan
tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet sedang
mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri canggih
seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi Apple, dengan
persaingan bertambah sengit.
Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah
pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan
kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah
yang kecil dengan menggunakan teknologi tinggi ini.
Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin pencapaian
terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson Higgs yang diumumkan 4
Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva,
Switzerland.
Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard fizik
partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya interaksi
antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu fizik memahami
alam.
Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya
dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan Large
Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27 kilometer di bawah
tanah di Geneva, Switzerland.
Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang
dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi
pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik.
Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara
meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan krisis
kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui Eurozone
tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah (EU).
Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke Sepanyol
mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di samping meningkatkan
pengangguran.
Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk
Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan
menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan penduduk
mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan Eropah boleh
tergugat kerana krisis ini.
Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem
ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika
Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak
baik dan penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem
kapitalisme itu.
Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok
Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut
penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.
Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat,
baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang masih
mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem pasaran terbuka.
Negara itu ialah Republik Rakyat China yang menghasilkan barangan-barangan
murah untuk kegunaan seluruh dunia.
Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di
mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang
berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim
angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di
muka bulan.
Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa,
walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau
terpencil di Laut China Selatan.
Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel.
Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan Filipina.
Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti terbarunya
adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas
kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.
Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei
dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina.
Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal
tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua
belah pihak.
Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The
Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau
Jepun, Okinawa sebagai miliknya.
Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka
harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan China.
Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula
membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang. Sememangnya
diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan bersama-sama
negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk menghadapi cabaran
ekonomi China dan India,
Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah pula
masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh kerajaan
mereka sendiri.
Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan
saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia.
Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh
kerajaan Myanmar terhadap bangsa Rohingya.
Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin
terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka.
Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa
yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah
pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media
sosial.
Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria. Maka
berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan.
Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia.
Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam persaingan
lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya.
Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia
merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana
Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad.
Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa
Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi mengimbangi
Amerika.
Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan
berterusan dalam bentuk-bentuk baru.
Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya,
teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik yang
lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang membawa bersama
peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan berterusan.
Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana
pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan
Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru.
Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan
perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak
lagi bencana pada masa mendatang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan