PASIR GUDANG - Kerajaan
akan mengkaji mekanisme terbaik bagi membolehkan 130 penuntut Malaysia di Syria
menyambung pengajian mereka di Jordan atau di Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
tempatan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penuntut terbabit yang telah kembali ke
Malaysia diminta berhubung terus dengan pihak kementerian untuk tindakan
susulan.
"Penuntut kita di Syria yang
balik ini digalakkan untuk menyambung semula pengajian mereka di Jordan atau
mungkin boleh berunding untuk kita lihat apa yang boleh kita lakukan untuk
membolehkan mereka menyambung semula pengajian.
"Mereka perlu berhubung
dengan kita dan kementerian akan kaji apa tindakan yang terbaik untuk membantu
mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Darussalam dan
majlis berbuka puasa di Taman Scientex, di sini semalam.
Kerajaan mengambil keputusan
memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air memandangkan
pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.
Kumpulan pertama sebanyak tujuh
penuntut tiba di tanah air pada Rabu lepas manakala kumpulan terakhir
membabitkan 100 penuntut tiba semalam.
Selain itu, seramai tujuh
penuntut pulang ke Malaysia atas inisiatif sendiri, lapan penuntut sedang
bercuti atau berada di luar Syria manakala lapan lagi penuntut enggan kembali
ke tanah air.
Mengenai lapan pelajar yang
enggan pulang itu, Khaled menegaskan pihaknya tidak dapat mengambil sebarang
tindakan terhadap mereka kerana keputusan itu dibuat atas kehendak mereka sendiri.
"Kita sudah minta dan pujuk
mereka untuk balik ke Malaysia, ini keputusan mereka sendiri dan kita tidak
dapat buat lebih daripada itu, katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan