Jumaat, 1 Februari 2013

ISU EKONOMI : Malaysia destinasi pelaburan


Oleh :  ROHAMI SHAFIE

Kebelakangan ini terdapat tanda-tanda yang amat memberangsangkan bahawa ekonomi negara pada kedudukan yang terbaik. Angka-angka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menggambarkan ekonomi negara di landasan yang kukuh meskipun krisis hutang membelenggu benua Eropah.

Angka-angka di Eropah pula menunjukkan Eropah dilanda krisis ekonomi dengan mencatatkan kadar penggangguran yang tinggi. Di Malaysia kadar penggangguran adalah amat rendah.

Ketika negara-negara Eropah tercari-cari ramuan untuk menangani krisis hutang, Malaysia pula semakin hari semakin diminati oleh pelabur-pelabur seluruh dunia. Pelabur-pelabur asing mula melihat Malaysia antara destinasi pelaburan terpenting di dunia.

Sebagai contoh, dua syarikat asing dari Jepun dan Jerman berminat untuk melabur sebanyak RM5.5 bilion di Malaysia dengan mengambil bahagian dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Di samping itu, Malaysia juga merupakan destinasi terpilih untuk pembinaan Hotel Harrods pertama di dunia yang bertaraf tujuh bintang dengan kos pelaburan sebanyak RM2 bilion di Kuala Lumpur.

Syarikat yang akan melabur untuk pembinaan Hotel Harrods tersebut, Qatar Holding juga telah menyatakan minat untuk melabur sebanyak RM15.36 bilion bagi projek petrokimia di Pengerang, Johor.

Secara keseluruhan Qatar Holding bercadang untuk melabur sehingga RM30.7 bilion di Malaysia meliputi pelbagai sektor ekonomi.

Selain projek petrokimia di Pengerang, Johor juga akan mempunyai satu studio bertaraf dunia yang dikenali sebagai Pinewood Iskandar Malaysia Studios (Pinewood Studio) yang dijangka bakal menarik pelaburan sebanyak RM3.8 bilion termasuklah sebanyak RM1.9 bilion untuk disalurkan kepada rakyat tempatan. Rakyat tempatan akan mendapat manfaat daripada peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.

Selain Johor dan Kuala Lumpur, negeri lain seperti Pahang akan menerima pelaburan dari negara China. Pelabur China menunjukkan minat untuk melabur di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) bernilai RM1.5 bilion di Gebeng, Kuantan, satu lagi pelaburan berimpak tinggi ke atas ekonomi Pahang secara khususnya dan ekonomi Malaysia secara umumnya.

Satu demi satu pelaburan asing masuk ke Malaysia membawa maksud Malaysia sentiasa diintai oleh pelabur-pelabur asing meskipun terdapat tanggapan salah seolah-olah Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang amat sesuai untuk pelabur-pelabur asing, kononnya tidak selamat untuk diduduki.

Ironinya, pelabur-pelabur asing sendiri mengakui dan amat kagum dengan kestabilan politik dan keamanan negara. Umpamanya, menurut Naib Pengerusi Qatar Holding, Dr. Hussain Ali Al-Abdulla, kestabilan politik mewujudkan persekitaran pelaburan yang baik di Malaysia. Kestabilan dan keamanan yang dikecapi oleh Malaysia meskipun rakyatnya berbilang kaum telah memberi satu keyakinan penuh kepada pelabur-pelabur asing bahawa Malaysia adalah 'syurga' pelaburan di dunia.

Sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan, dasar-dasar yang lebih mesra pelabur dilaksanakan secara holistik. Meskipun pada awalnya terdapat segelintir pihak yang tidak yakin bahawa ETP akan berjaya, namun ketika ini ETP telah berjaya bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi utama Malaysia.

Dasar-dasar dan polisi-polisi ekonomi yang lapuk ditukar kepada dasar yang lebih menarik sejajar dengan keadaan ekonomi semasa. Mengurus dan mentadbir urus ekonomi negara bukan sahaja memerlukan strategi yang ampuh tetapi juga dinamik.

Dalam memastikan ETP berjaya memberi manfaat kepada rakyat dan negara, pelaksanaannya adalah tonggak kejayaan. Sememangnya, komitmen penjawat awam untuk merealisasikan ETP amatlah dituntut. Setakat ini, penjawat awam telah menjalankan amanah yang diberikan dengan rasa bertanggungjawab untuk melihat ekonomi negara kekal mapan.

Sebagai destinasi pelaburan utama negara, nama Malaysia akan terkenal di seluruh dunia. Tarikan sebagai destinasi pelaburan utama di dunia membantu meningkatkan nama Malaysia dan seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Dengan mempunyai hotel bertaraf tujuh bintang serta pelbagai kemudahan yang lain - tidak sebagaimana negara-negara lain,  Malaysia juga boleh melonjak kedudukan daripada tangga kesembilan ke kedudukan lebih baik lagi dari segi negara paling ramai dikunjungi pelancong di dunia.

Penjenamaan Malaysia di pentas dunia di samping promosi yang dijalankan secara berterusan oleh kerajaan dan pihak swasta membantu membawa lebih banyak lagi pelaburan ke Malaysia, selain meningkatkan jumlah pelancong datang ke negara kita.

Malangnya ketika usaha-usaha ini dijalankan secara berterusan, masih terdapat segelintir pihak yang tergamak memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara.

Tindakan segelintir pihak ini sebenarnya bukan sahaja merugikan negara tetapi juga merencatkan pencapaian ekonomi setiap rakyat Malaysia. Tiada gunanya memburuk-burukkan tanah air sendiri, walhal di sinilah tempat kelahiran mereka.

Bayangkan ketika pelabur-pelabur asing sendiri berasa amat selesa dengan Malaysia, segelintir pihak ini seolah-olah tidak berasa bersalah memburuk-burukkan nama Malaysia di negara asing.

Adalah lebih baik mereka ini melihat kejayaan Malaysia secara positif berbanding hanya melihat keburukan sahaja. Paling penting, setiap keburukan dan kelemahan itu lebih elok diperbetulkan berbanding sekadar menghentam semberono sehingga merugikan semua pihak.

Walau apa pun niat mereka, Malaysia, kini mempunyai imej dan reputasi yang baik untuk menggamit kedatangan pelabur dan pelancong asing. Seterusnya, menjadi destinasi utama pilihan mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan