Jumaat, 1 Februari 2013

ISU SOSIAL : Lalai sesaat sesal selamanya


Oleh : NOOR FAZRINA KAMAL

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan atau tidak bertamadun. Itu yang boleh diungkap oleh masyarakat kepada penjenayah atau mereka yang sanggup melakukan penculikan dan serangan hingga membunuh mangsa.

Namun bagaimana pula dengan ibu bapa yang lalai terhadap keselamatan anak sendiri hingga mendedahkan anak-anak pada risiko yang tidak diingini?

Minggu lalu masyarakat dikejutkan dengan penemuan mayat kanak-kanak, William Yau Zhen Zhong, 6, yang dilaporkan hilang sejak 16 Januari lalu.

William hilang ketika ditinggalkan dalam kereta oleh ibu bapanya yang singgah sebentar di kedai menjual barangan elektrik di Putra Heights, Selangor.

Kanak-kanak tersebut dipercayai keluar dari kereta untuk mencari ibu bapanya.

Kehilangan William mendapat liputan dan perhatian meluas oleh media tempatan serta seluruh lapisan masyarakat kerana dikhuatiri diculik sehinggalah penemuan mayatnya di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.

Kes William adalah antara ratusan kes kanak-kanak hilang di negara ini yang sedikit sebanyak membabitkan kelalaian ibu bapa.

Malah beberapa hari selepas kehilangan William, negara sekali lagi digemparkan dengan kejadian seorang kanak-kanak di Terengganu yang dilarikan bersama kereta bapanya oleh penjenayah.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak malang tersebut yang sedang tidur ditinggalkan dalam kereta yang enjinnya masih hidup, sementara ibu bapanya keluar untuk ke tandas di sebuah stesen minyak.

Sememangnya malang tidak berbau dan tidak boleh diduga. Hanya dengan kealpaan sesaat boleh mengakibatkan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Mengambil pengajaran daripada segala yang telah berlaku, ibu bapa jangan sesekali berkompromi soal keselamatan anak-anak. Berusaha dan ada cara untuk mendidik anak-anak agar sentiasa bijak menjaga keselamatan diri.

Perunding Keselamatan dan Pertahanan Diri Akademi KickStart dan The Green Hornet, Saiful Hamiruzzaman Mohd. Hazir atau lebih dikenali sebagai Master Saiful, berkata, sebagai ibu bapa mereka seharusnya memantau setiap pergerakan anak-anak tidak kira berapa pun usia mereka.

Katanya, jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa dan jika kita leka ia memberi peluang kepada mereka yang berniat jahat.

"Penjenayah, musuh atau penyerang, motif mereka sebenarnya amat jelas. Penjenayah inginkan wang atau barang berharga, musuh pula akan mencederakan kerana berdendam, manakala penyerang melakukan serangan apabila berlaku provokasi.

"Ada juga penjenayah yang dikatakan by chance, nampak peluang dan terus bertindak.

"Sekali-sekala isu kehilangan kanak-kanak disiarkan di media, kita berasa sangat cemas kerana mungkin suatu hari nanti anak-anak kita pula yang akan menjadi mangsa," katanya.

"Hidup tanpa jaminan keselamatan sangat merisaukan kerana setiap masa kita perlu memikirkan diri sendiri dan ahli keluarga.

"Walaupun dikatakan Malaysia menduduki tangga ke-19 daripada 153 negara sebagai negara paling selamat menerusi Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 lalu, kita mahu lihat keselamatan diri dan persekitaran rumah yang selamat dahulu.

"Apabila yakin bahawa diri dan rumah selamat, barulah kita yakin persekitaran lain turut selamat dan tidak lagi berasa bimbang untuk ke bandar atau kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

"Kehilangan kanak-kanak dan remaja mesti ada sebab musababnya. Kita tidak mahu kejadian ini menjadi gangguan kepada persediaan ke arah sebuah negara Malaysia yang maju.

"Banyak tindakan yang boleh dimainkan oleh semua pihak untuk mengekang kejadian ini daripada terus membelenggu masyarakat dan menjejaskan kesejahteraan hidup," kata Saiful lagi.

Ibu bapa boleh didakwa

Menurut Master Saiful, ramai ibu bapa dan penjaga tidak sedar bahawa mereka boleh didakwa di bawah Akta Kanak-kanak 2001 .

Di bawah akta ini mereka boleh dihukum jika didapati cuai atau lalai hingga menyebabkan anak di bawah 18 tahun hilang atau diculik.

Peruntukan tersebut mengatakan ibu bapa yang melakukan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental atau emosi boleh didakwa di mahkamah.

Kecuaian itu termasuk menyebabkan anak-anak mereka hilang atau diculik.

"Secara purata, sebanyak 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dalam sehari dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan. Ada kanak-kanak yang hilang ini ditemui sama ada dalam keadaan selamat atau telah meninggal dunia.

"Kecekapan pihak polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak dalam menyiasat serta menghebahkan maklumat tentang kes-kes ini banyak membantu ibu bapa mendapatkan semula anak mereka yang dilaporkan hilang.

"Statistik kehilangan kanak-kanak yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan separuh daripada kanak-kanak yang hilang telah dijumpai semula.

"Kelompok yang hilang ini dipecahkan kepada tiga iaitu berumur bawah 1 tahun atau 1 hingga 8 tahun, 9 hingga 12 tahun dan remaja berumur 13 hingga 17 tahun.

"Daripada maklumat PDRM, kes dari tahun 2011 meningkat hampir 100 peratus pada tahun 2012, ini sememangnya amat membimbangkan," jelasnya.

Tambah Master Saiful, beberapa faktor kehilangan telah dikenal pasti seperti pengaruh rakan sebaya, lari ikut kekasih, mencari kebebasan, keluarga kurang beri perhatian, tidak minat belajar dan mahu mencari pekerjaan.

Tidak kurang juga kes membabitkan anak dilarikan ibu atau bapa sendiri, lari kerana kemurungan atau tidak sihat (mental), menjadi mangsa penderaan, pencabulan dan rogol, kecewa dalam peperiksaan dan berselisih faham dengan keluarga.

Namun, perkara yang agak membimbangkan ialah kes kehilangan yang tidak diketahui puncanya dan berbagai-bagai andaian diberikan oleh masyarakat.

"Oleh sebab punca kehilangan datang daripada keluarga, sepatutnya ibu bapa menyedari bahawa keselamatan anak-anak mereka tidak boleh dikompromi.

"Dalam perspektif yang lebih luas, kajian menunjukkan kehilangan kanak-kanak ini dikatakan berpunca dari rumah," kata Saiful.

"Ibu dan bapa bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan anak-anak. Mereka perlu memperkemas sistem kekeluargaan supaya rumah tidak menjadi faktor penyebab kepada anak-anak untuk mencari ruang melarikan diri atau dilarikan orang.

"Guru dan sekolah turut berperanan besar dalam memberi nilai-nilai kekeluargaan melalui sistem pendidikan berterusan.

"Walaupun ada sesetengah pelajar dikategori bermasalah, sebenarnya jiwa mereka masih boleh dididik supaya sekurang-kurangnya memikirkan untung nasib sendiri pada masa depan," kata beliau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen