Langkah kerajaan menimbang
pemberian potongan dan pelepasan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif
tambahan bagi mendorong anak-anak mereka belajar dalam aliran sains adalah
pendekatan yang baik.
Malah, Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar yang memilih aliran sains dicadangkan
mendapat pelbagai keistimewaan lain seperti pemberian biasiswa atau derma siswa
sebagai motivasi tambahan.
Langkah ini adalah sebagai
inisiatif untuk meningkatkan jumlah pelajar sains yang dilaporkan masih rendah
dan jauh daripada sasaran.
Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) dilaporkan bercadang meningkatkan jumlah komposisi pelajar dalam aliran
sains kepada 60 peratus dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.
Kementerian juga menjangka
melalui inisiatif baru itu, bilangan pelajar aliran sains boleh dipertingkatkan
sekurang-kurangnya 10 peratus.
Kini, hanya 20 peratus daripada
472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terdiri daripada calon
aliran sains. Statistik ini pastinya membimbangkan.
Kemerosotan jumlah pelajar yang
mengambil mata pelajaran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar
pengambilan yang ditetapkan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40
peratus sastera atau nisbah 60:40.
Namun, kajian jawatankuasa
kumpulan pakar dari wakil universiti dan ahli akademik mengesahkan memang
berlaku kemerosotan dalam bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains di
negara ini.
Kajian itu mendapati kemerosotan
itu berpunca daripada masalah tenaga pengajar, tiada dorongan atau perhatian
ibu bapa dan masalah berkaitan kemudahan seperti makmal tidak lengkap serta
bilik darjah yang tidak dapat menampung bilangan pelajar yang besar.
Pendedahan laporan jawatankuasa
ini cukup menarik dan amat signifikan untuk diteliti dan diberi perhatian khusus
dan serius oleh semua pihak yang terbabit iaitu pihak kementerian, sekolah,
guru dan ibu bapa.
Kita percaya bilangan guru yang
ada masih mencukupi malah ia boleh ditambah dari semasa ke semasa mengikut
keperluan.
Namun, isu utama ialah kaedah pengajaran
di bilik darjah. Seperti yang dilaporkan kaedah pengajaran sekarang lebih
menitikberatkan aspek teori yang menjadi batu penghalang untuk menarik minat
pelajar mendekati subjek Sains.
Kita perlu sedar zaman berubah
dengan teknologi semakin canggih malah perlu menerima hakikat pelajar sekolah
zaman sekarang jauh lebih ke hadapan daripada guru dalam beberapa aspek
pengetahuan teknologi terkini terutamanya gajet.
Justeru, memang wajar kementerian
melihat dan menyemak semula subjek sains secara menyeluruh agar dapat diberi
nafas baru supaya elemen amali diberi tumpuan.
Di samping itu, guru juga
sentiasa perlu diberi latihan tambahan supaya bukan saja dapat mengemas kini
dan memperlengkapkan diri dengan perkembangan sains dan teknologi terkini, tapi
mempelbagaikan corak dan kaedah pengajaran di bilik darjah agar lebih kreatif
dan inovatif.
Pelajar perlu ‘dipujuk’ ikut
rentak dan cita rasa mereka sendiri supaya tertarik dan berebut untuk memasuki
aliran sains dan bukannya dipaksa untuk memilih bidang sains. Dalam hal ini,
kaedah pengajaran secara tradisional dan konvensional tidak lagi relevan.
Dalam pada itu, usaha memupuk
minat terhadap bidang sains kepada anak-anak kita pastinya akan gagal jika ibu
bapa tidak memainkan peranan.
Ibu bapa sewajarnya mendorong
anak-anak mereka untuk mendekati bidang sains sejak kecil. Ketakutan mahupun
fobia terhadap sains perlu dielakkan.
Pelbagai usaha boleh dilakukan
untuk tujuan pendedahan serta untuk menarik minat mereka seperti pembelian
lebih banyak buku dan majalah sains, lawatan ke tempat mahupun pameran sains
dengan kerap serta mendidik dan menerapkan kepentingan dan kelebihan bidang
sains.
Kita juga berharap agar isu
kemudahan dan prasarana yang dibangkitkan seperti kemudahan makmal tidak
lengkap serta keadaan bilik darjah yang tidak dapat menampung pertambahan
bilangan pelajar sains wajar diberi perhatian serius oleh pihak kementerian
juga sekolah.
Prasarana ini adalah perkara asas
yang perlu ada dan wajib disediakan dulu andai kita mahu menarik lebih ramai
lagi pelajar memilih bidang sains sebagai pilihan utama. Kita tidak mahu
kekangan prasarana menjadi batu penghalang dalam usah meningkatkan bilangan
pelajar sains.
Semua pihak perlu sedar negara
perlukan pakar sains dan teknologi dari pelbagai bidang subkepakaran sains dan
teknologi bagi terus memacu impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Kita bukan saja mahu maju dengan
cara dan acuan kita sendiri tapi juga mahu maju dengan hasil kerja anak-anak
tempatan.
Justeru, diharapkan KPM meneliti
secara terperinci kesemua 15 cadangan yang dikemukakan jawatankuasa kerja
terbabit dan melaksanakan inisiatif yang difikirkan sesuai demi mencapai hasrat
meningkatkan lagi jumlah pelajar sains di negara kita.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan