Umat pertengahan mengamalkan kehidupan yang seimbang antara tuntutan kehidupan di dunia dan di akhirat |
Oleh : Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi
Elak lakukan kezaliman yang boleh cetus permusuhan
Islam menganjurkan umatnya supaya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek
kehidupan mereka. Perintah ini seiring dengan sifat Allah sendiri yang Maha
Adil dan juga telah mengharamkan diri-Nya daripada melakukan kezaliman.
Adil menurut konotasinya membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya,
bukannya seperti yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini bahawa adil itu
ialah sama rata atau persamaan hak.
Kesilapan persepsi seumpama ini mengakibatkan kecelaruan pemikiran umat
Islam dan mencetuskan pertelagahan sesama Islam.
Akhirnya kemelut tersebut membarah dalam kalangan umat Islam menatijahkan
keretakan kesatuan ummah yang mengundang kelemahan dan kejatuhan umat Islam
dalam pelbagai lapangan hidup.
Justeru, umat Islam perlu merujuk kepada sumbernya yang tulen iaitu
al-Quran dan hadis sebagai wacana utama dalam meneruskan kesinambungan ummah di
bumi Allah ini.
Banyak ayat suci yang membicarakan mengenai keadilan supaya ia dapat
dijulang untuk mendasari dalam setiap ruang hidup manusia sejagat.
Perlu diingat bahawa keadilan yang diuar-uarkan Islam ini tidak terhad
kepada golongan pemimpin semata-mata, bahkan ia membabitkan sama semua lapisan
masyarakat Islam yang terdiri daripada suami isteri, penjual dan pembeli, kadi,
sesama Muslim dan antara pemimpin dengan rakyatnya.
Islam dengan jelas memerintahkan umatnya supaya bersikap adil dalam segala
perkara. Oleh sebab itulah, umat Islam dilabelkan Allah sebagai Ummatan Wasata
iaitu umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan.
Dengan lain perkataan, umat Islam adalah generasi yang mengamalkan sikap
pertengahan dalam segala pembawaannya, tidak melampau dan juga tidak
keterlaluan dalam menganut dan mempraktikkan kepercayaannya.
Demikian juga akhlaknya dan amalannya, segala-galanya berkeadaan di
tengah-tengah dan seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat.
Pada masa sama, Allah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan
terperangkap dengan penyakit hati seperti dengki, benci dan sebagainya yang
hanya akan mengakibatkan keruntuhan dan kehancuran bangsa itu sendiri.
Yang paling istimewa, sifat adil ini akan menghiaskan diri seseorang Muslim
dengan perhiasan takwa dan ia sebenarnya neraca piawaian utama untuk memburu
darjat yang istimewa di sisi Allah.
Takwalah juga sebaik-baik bekalan yang sewajibnya dipersiapkan oleh setiap
Muslim sebagai tiket yang tiada nilainya untuk menjejakkan kaki ke pintu syurga
yang penuh kenikmatan.
Seterusnya, Islam menuntut kepada suami supaya berlaku adil kepada
isterinya kerana Islam melarang sama sekali sebarang bentuk kezaliman dan
penderaan berlaku dalam institusi rumah tangga.
Ini kerana objektif utama perkahwinan dalam Islam supaya suami dan isteri
dapat menyimpulkan erat jalinan kasih dan kemesraan dalam hidup kekeluargaan
mereka di samping dapat melahirkan generasi penyambung tradisi keluarga mereka.
Sekiranya seseorang suami merasakan tidak dapat berlaku adil terhadap
isterinya, maka Islam mengarahkan agar memadai dengan mengahwini seorang isteri
saja supaya bahtera kehidupan dapat dikemudikan bersama dengan harmoni dan aman
tenteram.
Begitu juga, seorang Muslim yang diamanahkan untuk memikul jawatan kadi
agar dapat bersikap adil dan berwaspada serta tidak berat sebelah dalam
memutuskan satu-satu hukuman kepada pesalah dan pengadu biarpun yang bersalah
itu daripada kalangan kaum keluarga dan kerabatnya.
Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa kehancuran umat zaman silam adalah
disebabkan oleh pelaksanaan hukum yang bersifat berat sebelah iaitu membiarkan
saja atau melepaskan hukuman jika dia dari kalangan orang berada dan dijatuhi
hukuman kepada orang yang hina dina dan lemah.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW terus bersumpah dengan nama Allah bahawa jika
Fatimah anak perempuannya sendiri mencuri, sudah pasti Baginda akan memotong
tangannya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, seorang penjual juga dituntut supaya bersikap adil dalam urusan
jual beli mereka agar tidak terselit unsur penipuan dan penindasan kepada
pembeli. Islam memerintahkan supaya seorang penulis yang adil diwujudkan dalam
proses perjanjian akad jual beli mengikut hukum syarak. Tidak ketinggalan juga,
seorang saksi juga hendaklah seorang yang adil lagi dipercayai dalam perjalanan
urusan kehakiman dan undang-undang Islam.
Akhirnya, seorang pemimpin juga dituntut untuk bersikap adil dan saksama
dalam kepimpinannya dan jangan sama sekali melakukan kezaliman kepada manusia
sejagat. Kepimpinan adalah satu amanah yang cukup berat lagi getir yang akan
dipersoalkan satu persatu di hadapan persidangan agung Mahsyar.
Demikianlah betapa luasnya konsep keadilan dalam Islam
yang merangkumi segenap lapisan warga Islam dalam lapangan hidup mereka. Oleh
itu, untuk menjamin kelangsungan Islam agar terus bertapak di bumi Allah ini,
konsep keadilan ini perlu disemai dan dibajai supaya bertunjang dalam kehidupan
ummah sejagat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan