Oleh : SUHARNE ZAINUDIN
PEGAWAI Hal Ehwal Islam Unit Undang-undang Keluarga Pejabat Agama Islam
Daerah Petaling, Yuhaniz Mohd Yusop berkata, ilmu dimiliki bukanlah jaminan
untuk menghalang seseorang pasangan itu bertindak tidak wajar terhadap pasangannya.
"Ilmu akal mampu menjadikan seseorang itu berfikir secara waras,tetapi
kejituan rohani mampu menghalang nya daripada melakukan kekejaman atau
penderaan atau penindasan kerana mempunyai rasa segan atau malu kepada ALLAH
SWT," ujarnya.
Dalam erti kata lain, bukan malu berbuat kekerasan kerana ijazah atau
anugerah akademik dimiliki, tetapi malu dengan ALLAH.
"Untuk mendapatkan ketenangan dan keamanan dalam berumah tangga asas
paling utama adalah memantapkan pengisian rohani," tegasnya.
Yuhaniz berkata, memiliki bergulung ijazah tidak menjamin seseorang itu
memiliki jiwa tenang sekiranya ia tidak diisi dengan zikir dan merendah diri
kepada ALLAH.
"ALLAH SWT menyuruh semua hamba-Nya menuntut ilmu, dan menuntut ilmu
itu wajib. ALLAH juga berjanji barang siapa yang menuntut ilmu darjatnya akan
ditinggikan, Ini janji ALLAH dan janji ALLAH adalah benar, tetapi memiliki ilmu
duniawi tidak diseimbangkan dengan ilmu akhirat jiwa akan jadi kacau-bilau,
tidak kiralah dia mencapai tahap profesor sekalipun.
"Usahlah mengikut cara cendekiawan Barat yang hanya berpaksikan kepada
ilmu akal semata-mata. Memisahkan urusan dunia dengan urusan akhirat.
"Sekiranya ini terjadi, maka tidak mustahillah akan timbul pelbagai teori yang mana menurut logik akal
semata-mata sedangkan akal manusia itu terbatas walaupun belajar tinggi. ALLAH
telah beri garis panduan, cuma ramai yang sombong dan alpa," ujarnya.
Sekadar berpesan, beliau berkata, mengemudi rumah tangga tanpa ilmu akhirat
boleh diumpamakan seperti bahtera yang terumbang-ambing. "Ilmu dunia
adalah jaminan untuk menaikkan taraf kehidupan, bukankah janji ALLAH, yang berilmu akan
dinaikkan tarafnya. Tetapi memiliki ilmu akhirat adalah sempadan yang menjaga
diri daripada terbabas. Ilmu itu membentuk sahsiah.
Contohnya, sekiranya menjadi seorang doktor, jadilah doktor yang beriman,
jika seorang peguam, peguam beriman. "Profesional bukan jaminan 100
peratus seseorang itu berakhlak baik tetapi gabungan ilmu dunia dan ilmu
akhirat sekali gus mempraktikkannya adalah paling baik untuk pembangunan
sahsiah dan kerohanian.
"Berbalik kepada persoalan ini, saya katakan ya, keganasan rumah
tangga, golongan profesional tidak terkecuali memang wujud. Tetapi setaraf
dengan gelaran profesional yang disandang, penderaannya juga 'profesional'
(bukan serangan fizikal, tetapi emosi) yang hanya boleh mampu dihalang atau
dirawat dengan doa, zikir dan kembali kepada ALLAH, Maha Pemilik hati-hati di
atas muka bumi ini," katanya.
Penderaan jiwa pasangan terpelajar
"Apa pula tak berlaku... memang ada kes keganasan rumah tangga
melibatkan pasangan golongan profesional," kata Pegawai Hal Ehwal Islam
Unit Undang-undang Keluarga Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Yuhaniz Mohd
Yusop ketika ditanya pasangan profesional tidak mungkin melakukan keganasan
lantaran ilmu dimiliki.
"Namun, penderaan dalam kalangan profesional selalunya lebih kepada
penderaan emosi, seperti kata-kata menyeksa jiwa pasangan," ujarnya.
Tekanan emosi itu boleh mendatangkan keburukan pada rumah tangga dibina.
Malah, menjadi lebih teruk sekiranya tempias itu dilepaskan kepada anak. Ini
memberi kesan negatif pada pembesaran emosi anak.
"Jangan pelik jika terdapat keluarga daripada pasangan profesional
tidak harmoni. Anak terabai daripada pengisian emosinya. Si ibu atau ayah
mereka tidak berminat kepada keluarga sendiri semata-mata kerana 'tercalar'
jiwa dek kata-kata yang dilemparkan pasangannya," katanya.
Berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di
bawah Seksyen 53 iaitu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk
fasakh, Yuhaniz berkata, seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana
yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu
perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih alasan.
"Seksyen 53(1)(h) Enakmen yang sama menjelaskan, bahawa suami atau
isteri menganiayai isteri atau suaminya yang mana terdapat beberapa pecahan
antara lainnya menyentuh mengenai 'lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya
menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya' dan 'melupuskan harta isteri atau
suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan haknya di sisi
undang-undang terhadap harta'.
"Melihat kepada peruntukan ini, suami atau isteri boleh memohon fasakh
sekiranya disakiti ataupun kehidupannya menderita (akibat perbuatan penderaan
atau keganasan sehingga mengakibatkan emosinya terdera)," katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan