Oleh : SUHARNE ZAINUDIN
Walaupun terdapat Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, tetapi kes keganasan
rumah tangga masih berlaku. Tidak adil jika menuduh undang-undang yang
diwujudkan itu tidak memberikan sebarang kesan.
Apa yang lebih tepat adalah semakin ramai bersikap kejam.
Apa yang lebih tepat adalah semakin ramai bersikap kejam.
Sudah ada undang-undang lagi kan berani buat, apatah jika tiada! Apa yang
lebih mengejutkan keganasan rumah tangga turut berlaku dalam kalangan
profesional. Bagi golongan ini, memukul atau menyakiti fizikal jelas dan nyata
perbuatan tidak berakal. Namun, ramai juga terlupa penderaan jiwa dan
mental lebih memberi sengsara malah kesannya memberi penyeksaan yang 'makan
dalam'.
Kata cerdik pandai, ilmu mampu menjadi benteng kepada perkara buruk. Tetapi
apa sudah berlaku kepada golongan ini? Hendak kata tidak pandai, sekolah
tinggi, menjawat jawatan hebat, tetapi masih tegar mendera pasangan sendiri.
Melihatkan hal ini, kes penderaan ini bukan lagi hal terpinggir. Ia perkara
yang harus diambil berat dan langkah menanganinya perlu serius, kerana sudah
semestinya negara ini tidak mahu memiliki warga yang kaya dari segi
intelektualnya tetapi miskin jiwa kemanusiaannya.
Sekadar renungan, memetik kata-kata hikmah cendekiawan Hamka, 'kecantikan
yang abadi terletak pada keelokan adabnya bukan terletak pada wajah dan
pakaiannya'.
Jawatan tinggi, pemahaman agama rendah
Memetik kenyataan Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Keluarga,
Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sulaiman Endut dalam sebuah akhbar tempatan
sebelum ini, aduan mengenai keganasan rumah tangga saban hari diterima sama ada
dari segi fizikal dan juga mental.
“Penderaan fizikal dikategorikan sebagai boleh dilihat dengan mata kasar
seperti kesan dipukul, digigit, lebam, berdarah dan bengkak. Manakala penderaan
mental pula jika sering dilempar dengan kata-kata kesat dan tidak
bermaruah," katanya.
Memaki hamun dengan panggilan kotor dan menjijikkan serta mengugut dan
mengancam nyawa si isteri juga boleh dianggap sebagai penderaan.
“Cuma saya hairan, ada kalangan isteri yang sering mengadu sekadar mahu
meluahkan," katanya sambil memberitahu jarang antara mereka mengambil
tindakan susulan walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian.
Katanya, rata-rata akan menangis, merintih dan mencurahkan segala kesakitan
dan keperitan hati pada saat tubuh sakit menderita. Namun akhirnya menerima
suami semula ke pangkuan.
"Alasannya tidak tahu hala tuju sekiranya diceraikan serta kasihankan
anak-anak. Bagaimanapun alasan yang paling banyak diterima kerana masih
sayangkan suami. Tidak salah sayangkan suami tetapi biar bertempat.
Jika sampai
mengancam nyawa dan mencederakan lebih baik dilakukan sesuatu untuk
menghentikannya.
“Jangan sampai terhantuk baru tengadah kerana hak seorang isteri telah
termaktub dalam undang-undang keluarga Islam," katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan