Oleh : Ruhaiza Rusmin
Antara golongan paling mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13
nanti pastinya golongan mahasiswa.
Selepas pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),
golongan itu kini bebas membuat percaturan untuk terjun ke dunia politik.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr
Zaid Ahmad berkata, segalanya terserah kepada mahasiswa kerana mereka boleh
membabitkan diri dalam politik tanpa sekatan.
Beliau berkata, kebebasan itu bukan saja menimbulkan keterujaan kepada
golongan itu malah masyarakat juga mahu melihat bagaimana hasil diperoleh
sejajar pindaan AUKU.
“Pertama kali bergelar pengundi dan diberi peluang menjalankan
tanggungjawab sebagai warganegara pasti ada kelainannya.
“Jika sebelum ini, tangan mereka terikat, selepas pindaan itu mahasiswa
layak menggunakan kebebasan itu tanpa dibelenggu kekeliruan hak,” katanya.
Beliau berkata, mahasiswa yang layak mengundi mencetuskan satu episod baru
dalam arena politik negara kerana mereka bebas dalam proses perjalanan politik
di negara ini.
“Dulu, pergerakan mereka terbatas dan tidak tahu hala tuju kerana terikat
dengan AUKU.
“Kini, apabila AUKU dipinda, mereka tidak lagi dibelenggu dengan isu-isu
ketidakpastian ini.
“Mereka boleh terbabit sepenuhnya dalam proses perjalanan politik negara
sama seperti orang lain walaupun masih bergelar pelajar,” katanya mengakui
proses itu satu anjakan paradigma dan sikap keterbukaan pihak yang mahu
mendengar suara serta kehendak mahasiswa.
“Apabila AUKU dipinda, memang kedengaran suara-suara yang melahirkan
kebimbangan. Tapi ia perlu dilihat dalam konteks positif.
“Ia adalah proses pembelajaran jangka panjang untuk pembangunan mahasiswa.
Mahu atau tidak, sampai masanya mereka akan terbabit juga.
“Justeru, daripada terus diberi kongkongan atau tekanan, biarkan mereka
merasai suasana itu,” katanya.
Lambat atau cepat katanya, ia bukan isu perlu difikirkan tapi kesan
daripada pendedahan itu yang penting.
“Sebagai masyarakat, kita perlu berfikiran terbuka dan sanggup menerima
hakikat bahawa setiap langkah pertama adalah cabaran untuk belajar menangani
sebarang kemungkinan.
“Malah, ramai yang mahu mahasiswa diberi kebebasan terbabit dalam proses
yang boleh memberi impak kebaikan kepada negara.
“Kita tidak boleh bersifat mengongkong walaupun dalam sesetengah situasi ia
memang perlu. Apa yang penting kita beri panduan yang betul supaya mahasiswa
tidak tersasar atau diperalatkan,” katanya.
Ditanya apakah kemungkinan pembabitan mahasiswa boleh mencetuskan
kekecohan, katanya tidak perlu ada kegusaran kerana golongan terbabit matang
dan pandai menilai tindakan masing-masing.
“Sebelum ini, biarpun diikat dengan perjanjian AUKU, mereka tetap mahu
bertindak dan bersuara walaupun tahu risikonya. Jadi apa bezanya kini?
“Daripada membiarkan mereka berterusan membuat tindakan salah, mengapa
tidak berikan kepercayaan seperti yang dipinta.
“Imej tidak tercalar malah mereka memperoleh ilmu dan pengalaman yang tiada
dalam buku dan dewan kuliah.
“Saya percaya apabila masyarakat mempercayai mereka, impaknya amat baik
malah golongan itu juga mahu membuktikan mereka mampu berkhidmat kepada
masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju kebebasan diberikan itu perlu mengikut
undang-undang.
“Apa yang dinikmati mahasiswa sama seperti orang lain. Mereka tetap
tertakluk kepada undang-undang dan peraturan.
“Jangan jadikan tiket sebagai mahasiswa untuk memperoleh keistimewaan dan
melakukan di luar undang-undang kerana ia memberi impak negatif kepada
masyarakat,” katanya.
Beliau mahu mahasiswa menjadikan proses ini sebagai mekanisme dan pemangkin
pembelajaran paling efektif bagi meningkatkan kualiti sebagai bakal pemimpin.
“Tunjukkan kepada masyarakat, mahasiswa hari ini sudah melangkah ke fasa baru
yang lebih baik serta melalui transisi angin perubahan baru dalam sistem
politik negara,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan