Jumaat, 18 Mei 2012

ISU KESIHATAN : Kerajaan mahu gubal akta antiobesiti


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan bercadang mewujudkan undang-undang antiobesiti menjelang 2020 sebagai usaha membendung peningkatan mendadak kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkaitan sebelum undang-undang berkenaan boleh dilaksanakan.

"Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan ada membincangkan mengenai kerangka kerja bagaimana untuk melaksanakan undang-undang antiobesiti.

"Dalam perbincangan tersebut, Jepun dilihat sebagai model terbaik kerana mereka mempunyai ukuran pinggang kebangsaan yang komprehensif," katanya ketika ditemuramah dalam program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 hari ini.

Dr Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan mendadak kes NCD dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini mencapai tahap membimbangkan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati, kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi, 2.6 juta orang (kencing manis) dan 2.5 juta penduduk mengalami masalah obesiti. - Bernama.

ISU PENDIDIKAN : 4,374 Sekolah Terima Peruntukan RM987.1 Juta Bulan Depan



KUALA LUMPUR : Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

"Peruntukan ini melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan bagi projek menaik taraf 565 buah surau. Ia diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan peruntukan besar itu untuk Kementerian Pelajaran pada Bajet 2012 membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap soal pendidikan.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

"Untuk itu, dua tahun yang lepas saya telah mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara, ia telahpun siap. Daripada lebih 10,000 buah sekolah (yang diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan yang cukup parah.

"Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak, kita perlu tentukan mereka mendapat sejumlah peruntukan yang mencukupi".

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata daripada jumlah bajet yang diperuntukkan untuk kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah  itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus untuk penyelenggaraan agar bangunan-bangunan sekolah kekal dalam keadaan yang baik, sempurna dan selamat untuk proses pembelajaran.

"Jumlahnya (peruntukan untuk penyelenggaraan) saya belum tahu tetapi boleh dikatakan agak besar. Dengan menambah kualiti infrastruktur di sekolah maka mutu pendidikan juga akan dapat ditingkatkan," katanya. -BERNAMA

Nota Hujung :

Perincian Agihan :
1,744 SK/SMK - RM500 juta
817 SJKC - RM100 juta
369 SJKT - RM100 juta
428 sekolah mubaligh - RM100 juta
167 sekolah agama bantuan kerajaan - RM100 juta
849 projek surau - RM87.1 juta

ISU SOSIAL : Jasa ibu, guru terukir di hati



OLEH : HASAN AL-BANNA MOHAMED

"Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku, bila ku berduka, engkau hiburkan selalu. Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku..." Begitulah antara lirik sebuah lagu yang didendangkan kebanyakan mereka yang semestinya mempunyai ibu.

Tiada di dunia ini melainkan wajib mempunyai seorang ibu, walaupun ada juga ayahnya tidak dikenali atau belum ditemui. Besarnya jasa ibu tidak dapat dinafikan lagi.

Ibulah segala-galanya yang berperanan sebagai guru, pendidik, penglipur lara, pencerita, dan segala macam lagi watak yang dimainkannya walaupun dia seorang buta huruf yang tidak pernah menginjakkan kakinya ke alam menara gading.

Pada Mei setiap tahun, kita meraikan sambutan Hari Ibu dan Hari Guru. Ini bertepatan dalam mengingati jasa ibu sejak kehamilan sehinggalah individu itu tiada di dunia ini. Ibulah sebenarnya menjadi teman suka duka seseorang insan.

Benarlah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa makhluk yang paling layak untuk melahirkan sifat kasihan belas dan kasih sayang adalah ibu kita sendiri.

Dalam Shahih Bukhari diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang menerangkan bahawa penegasan Rasulullah SAW sebanyak tiga kali untuk berbuat baik kepada ibu, selepas itu barulah kepada bapa. Malah keredaan dan kemurkaan ALLAH SWT terletak di bawah lembayung keredaan dan persetujuan ibu bapa kita sendiri (Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim).

Kitab suci al-Quran memberi suatu panduan yang jelas mengenai berbuat baik kepada ibu bapa seumpamanya melalui Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

Jelaslah bahawa Islam amat menekankan sifat hormati ibu bapa sejak dari kecil lagi. Hayatilah firman ALLAH SWT tersebut dalam diari hidup seharian insan, agar terbentuk generasi anak soleh dan solehah.

Tanggungjawab besar

Dalam Surah al-Ahqaf, ayat 15 yang turut membicarakan mengenai hak seorang anak terhadap ibu mereka yang bersusah payah menjaganya sejak dalam perut sehinggalah dilahirkan ke dunia fana ini.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat mu yang engkau kurniakan kepada ku dan kepada ibu bapa ku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan ku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada mu, dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang tunduk patuh kepada mu)’.

Secara tuntasnya bahawa peranan seorang anak terhadap ibu bapa mereka adalah meliputi dua tanggungjawab besar yang wajib ditunaikannya sama ada ketika mereka masih hidup dan setelah tiada di dunia.

Ketika hidup, berbuatlah sebaik mungkin kepada mereka dengan sentiasa bertanya khabar berita di kampung melalui pelbagai media elektronik dewasa kini. Bukan hanya setakat itu sahaja, berbual dan berbicaralah selembut bahasa yang termampu seolah-olah ombak rindu yang membadai jiwa.

Di samping itu, berilah wang keperluan kepada kedua ibu bapa yang berkemungkinan dapat menghiburkan sedikit hati naluri yang lara. Jagalah mereka sebaik-baiknya walaupun ia tidak sama dengan jagaan mereka terhadap kita semasa kecil dahulu. Sebutkanlah nama mereka dalam doa seharian anda tatkala melafazkan: "Ya ALLAH Wahai Tuhan kami, ampunilah segala dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami. Dan limpahi rahmat kepada kedua mereka seumpama mereka memelihara ku semasa diri ku masih kecil."

Sekiranya ibu bapa meninggalkan anda buat selama-lamanya, maka janganlah lupa hak dan tanggungjawab yang kedua terhadap mereka, iaitu hendaklah sentiasa berdoa demi kesejahteraan mereka di alam sana. Dengan ayat suci al-Quran  yang dibaca semoga dicucuri rahmat buat kedua-dua  ibu bapa.

Tunaikanlah setiap hutang piutang mereka, lunaskan nazar yang tidak sempat dilaksanakan ketika mereka hidup, jangan putuskan hubungan silaturahim antara rakan mereka, gantikan puasa bagi mereka serta lakukan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji buat kedua-dua ibu bapa kita sekiranya mampu.

Semoga anda tidak tergolong sebagai anak derhaka yang dipanggil Si Tanggang yang penuh dengan noda, sama ada dosa kecil (az-Zunub) atau dosa besar (al-Kaba’ir). Sesungguhnya anak yang tidak menghormati dan mentaati ibu bapa adalah anak derhaka yang sukar untuk menjejak kaki masuk ke syurga. Ini kerana syurga sudah pasti berada di bawah telapak kaki ibu.

Ibu bapa kedua

Merujuk kembali sempena sambutan Hari Ibu dan Hari Guru yang kini disambut seluruh rakyat di negara ini, sebenarnya masih tidak mencukupi sekadar mengucapkan "Selamat Hari Ibu" dan "Selamat Hari Guru", atau sekadar mengadakan jamuan dan hiburan dengan memberikan hadiah sahaja.

Sebagai anak sejati ataupun anak didik, perlu menunjukkan sikap yang lebih baik daripada itu kerana guru adalah ibu bapa kedua ketika berada di sekolah. Sehubungan itu, anak soleh dan solehah seharusnya menanamkan semangat waja dalam mempelajari ilmu pengetahuan serajin yang mungkin bagi membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dan guru.

Tuntutlah ilmu dengan seikhlas hati, hormati dan taati segala suruhan dan perintah yang mahmudah (selagi tidak menyalahi syariat Islam), jauhi sifat mazmumah (keji) dalam hidup, jangan lupa solat dan amalan yang diperintahkan ALLAH SWT dan rasul-Nya. Dengan keberkatan dan kerahmatan Ilahi, anak bangsa semua pasti memperoleh ganjaran terbaik suatu masa nanti hasil didikan daripada ibu bapa dan guru yang ikhlas menunaikan amanah yang berat ini.

Perkara yang menjadi dugaan buat masa kini adalah cabaran menangani era globalisasi dan amalan hedonisme yang melanda kebanyakan anak muda. Mereka tidak lagi hiraukan ibu bapa atau guru, asalkan boleh makan, minum dan berhibur semata. Semakin kurangnya nilai murni dalam diri anak muda dengan merebaknya virus kebejatan sosial boleh menyebabkan pincang sistem kitaran kehidupan yang selama ini dibina dengan sebaik mungkin.

Masyarakat sudah bosan menatap di dada akhbar tentang berita hina dina seperti anak meninggalkan ibu bapa mereka di rumah orang tua, anak pukul ibu, anak sanggup bunuh ibu bapa sendiri, murid menengking guru, kereta guru dicalarkan, tayarnya dipancit, mengutuk nama guru dan segala macam lagi perbuatan negatif yang semuanya itu nanti akan dihitung di padang Mahsyar.

Wahai anak muda! Kembalilah semula ke pangkuan fitrah keinsanan. Anda sebenarnya manusia ciptaan ALLAH SWT yang terbaik tanpa sebarang kecacatan dan teristimewa daripada segala-galanya. Setiap orang mahukan lebih daripada kesenangan materialistik dan kebahagiaan sejati pada hari akhirat nanti.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya)". (Surah Al-Syams : 7)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Memulia, menyayangi ibu bapa sepanjang masa


ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita hingga dewasa.

Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, ketika mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.

Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah yang telah kedut ditelan usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan kasih sayang.

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak.

Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.

Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat, kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan, melelapkan mata dan ada kala tergenang air mata kerana teringatkan anaknya.

Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa satu tuntutan kepada seorang anak.

Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung kita semua sebagai anak, sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau pernah bertanya Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami)

Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”

Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Didik dari buaian



Oleh Mior Kamarul Shahid 
mkamarul@nstp.com.my

Malaysia guna kaedah pendidikan jamin kejayaan setiap pelajar

MALAYSIA akan memperkenalkan metodologi pendidikan dari 'buaian ke kerjaya' yang bermula peringkat awal kanak-kanak sehingga tamat pengajian di universiti.

Kaedah yang diasaskan Canselor State University of New York (SUNY), Dr Nancy Zhimper dan digunakan di Amerika Syarikat itu berjaya meningkatkan kejayaan pelajar dari zaman kanak-kanak sehingga tamat belajar di universiti dan berkerjaya.

Perkara itu dibincangkan pada mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), kelmarin yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke sini.

Ia adalah kerjasama strategik antara beberapa kementerian dengan SUNY bersama Akademi Sains New York (NYAS) untuk membangunkan kapasiti modal insan. Selain mencapai matlamat modal insan inovatif, ia bertujuan mendapat pengiktirafan global, seterusnya melahirkan minda pemenang Hadiah Nobel negara.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata, menerusi pendekatan itu, setiap tahap perjalanan pelajaran murid memerlukan pemerhatian dan pengesanan positif bagi memastikan mereka kekal dalam sistem dan akhirnya menghindari keciciran.

Katanya, ia juga mengambil kira permasalahan dan cabaran dalam konteks masyarakat di New York yang mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia.

“Dengan beberapa pemerhatian dan pembabitan kerajaan, kita boleh mengurangkan kadar keciciran dan menambah penyertaan dan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Pada masa ini, jumlah pelajar yang terbabit dalam mata pelajaran berkenaan tidak memberangsangkan. 

Melalui pendekatan buaian ke kerjaya, pelajar akan ditempatkan di universiti melalui program internship (pelatih) supaya mereka mempunyai lebih nilai pasaran apabila memiliki ijazah kelak,” katanya.

SUNY dan NYAS juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung inisiatif itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Ia membabitkan pelbagai langkah, termasuk mengenal pasti tindakan tertentu seperti jagaan harian atau lawatan ke rumah oleh pekerja khidmat sosial yang menjadi cara paling baik menyediakan kanak-kanak untuk mula belajar di taman didikan kanak-kanak dengan cara yang betul.

Pelajar kemudian dibantu untuk memenuhi petunjuk yang dikesan dalam bidang kritikal seperti matematik dan kemahiran membaca sepanjang tempoh perjalanan pendidikan mereka.

Memorandum persefahaman (MoU) juga dimeterai antara NYAS dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disaksikan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung program Permata Negara.

Mengikut kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju menjalin kerjasama strategik membangunkan minda pemenang Hadiah Nobel di kalangan pelajar Permata Pintar UKM.

Mereka juga bersetuju menubuhkan program ‘Laureate-in-Residence’ di Permata Pintar UKM dan Makmal Pintar di universiti penyelidikan terpilih di Malaysia bagi penyelidikan asas untuk kemajuan bersama.

MoU juga bagi membolehkan pelajar Permata Pintar UKM dan penyelidik universiti penyelidikan Malaysia melaksanakan program di NYAS untuk mengukuhkan set kemahiran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 17 Mei 2012

ISU BUDAYA WARISAN : Falsafah Wayang Kulit



Oleh : Adlan Jaafar

SEBAIK lampu di belakang layar putih dihidupkan, susunan watak wayang kulit serta-merta hidup. Suara tok dalang, panggilan kepada individu yang menghidupkan karakter tersebut berkumandang di seluruh ruang bilik.

Mula mengenali wayang kulit seawal usia tiga tahun, Che Mohd. Nasir Yusof, mempelbagaikan intonasi suara mengikut karakter yang dimainkan.

Watak utama, Raja Seri Rama bersuara tegas tetapi bersopan manakala Tuan Puteri Siti Dewi pula bersuara halus. Watak-watak comic relief seperti Wak Long dan Pak Dogo mempunyai nada lucu dan sedikit kelam-kabut.

Pertuturan tok dalang memiliki dinamik apabila menghasilkan ketegangan pada adegan-adegan tertentu. Dialog-dialog disampaikan berkisar isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara.

Bagi memberi isyarat kepada pemuzik untuk pengenalan babak seterusnya dan menghasilkan kesan bunyi, tok dalang menggunakan sejenis alat yang digelar sebagai pemetik.

"Jadi tok dalang mesti tahu serba-serbi. Mesti tahu menebang pokok untuk buat alat muzik. Harus pandai menjahit baju dan memasak untuk ahli kumpulan," kata lelaki yang dikenali sebagai Pak Nasir ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar lelaki yang berusia 56 tahun itu, wayang kulit Kelantan bersifat tiga dalam satu. Ia mempunyai tiga pengaruh agama iaitu Buddha, Hindu dan Islam.

Pengaruh Buddha dapat dilihat pada kesenian penghasilan watak manakala unsur-unsur Hindu boleh dikesan melalui penggunaan cerita epik Ramayana tetapi nama karakter telah dimelayukan.

Sehubungan itu, ada kalangan pakar-pakar berpendapat wayang kulit Kelantan memiliki hampir 95 peratus unsur Hindu.

Namun begitu, bagi Pak Nasir, karakter dan seni fizikal hanya unsur luaran. Paling penting ialah falsafah yang terkandung dalam sesebuah persembahan dan wayang kulit yang dimainnya sarat dengan unsur keislaman.

Kata lelaki yang berasal dari Kampung Bunohan, Kelantan itu, penggunaan seorang tok dalang yang mengawal semua perkara memberi tafsiran bahawa tuhan itu satu.

"Semua karakter sama ada baik mahupun jahat berupa raksasa, jin dan jembalang seperti Bota Raja Wana akan tunduk pada kekuasaan tok dalang," terang Pak Nasir yang telah ke Jepun sebanyak sembilan kali atas tiket wayang kulit.

Gambaran masyarakat

Wayang kulit Kelantan yang dipentaskan pada waktu malam juga mempunyai maksud tersirat. Ketika manusia berada dalam kegelapan, kita memerlukan cahaya untuk dijadikan panduan.

Bayang-bayang itu sendiri memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa lumrah manusia, lekas benar mengalami 'gila bayang' terhadap semua perkara seperti kuasa, wanita dan harta sehingga lupa tanggungjawab.


Mengikut teks asal epik Ramayana versi Melayu, hanya ada tiga karakter iaitu Tuan Puteri Siti Dewi, Raja Seri Rama dan Bota Raja Wana.

Ketiga-ketiga karakter menjadi refleksi pada unsur manusia (Raja Seri Rama), kebaikan (Tuan Puteri Siti Dewi) dan kejahatan (Bota Raja Wana).

Dalam permainan wayang kulit, barulah karakter-karakter lain seperti Maha Risi, Raja Muda Laksamana, Wak Long dan Pak Dogo diwujudkan.

Berbeza dengan wayang kulit Purwa dari Indonesia, mereka lebih menekankan teknik pergerakan karakter. Justeru, ia boleh dimainkan pada waktu siang.

Ia juga bersifat budaya dan dimainkan oleh masyarakat Jawa dan Bali tanpa mengira agama dan semua karakter berpakaian tradisonal Jawa.

Pak Nasir juga tidak menolak terdapat unsur-unsur mistik dalam wayang kulit dengan memuja karakter Pak Dogo. Tindakan itu bertujuan supaya ramai penonton dan berharap mereka datang kembali untuk menonton.

"Tetapi sebagai manusia yang membuat semua karakter ini, mengapa harus kita memuja mereka? Sepatutnya watak-watak ini yang harus tunduk kepada manusia," tegas Pak Nasir.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : Nilai kedudukan bahasa Melayu di sektor awam !



Azman Anuar

SEKARANG, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan.

Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris.

Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide.

Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.

Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’ untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta.

Nampak sangat pegawai-pegawai kerajaan sebegini tidak menjiwai semangat cinta akan bahasa sendiri. Memang mereka terdiri daripada orang Melayu, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi keutamaan bahasa diletak pada tempat yang salah.

Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya.

Agak-agaknya bila kita tidak perlu lagi bercakap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan? Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.

Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri.

Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu.

Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.

Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’

Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan. Tunggulah...

Sumber : http : //www.utusan.com.my/