Khamis, 24 Januari 2013

ISU AGAMA : Rahsia kejayaan pimpin ummah


Oleh : Nik Salida Suhaila
 
Rasulullah jadikan diri 'role model' untuk diikuti setiap Muslim

Ketika membangunkan masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah, Rasulullah SAW memulakannya dengan membina akhlak mulia sesama saudara seagama. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah SAW meskipun ada cabarannya.

Akhlak ditonjolkan Baginda SAW menjadi pengajaran paling berkesan. Sejarah membuktikan keperibadian mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya tidak akan dimusnahkan oleh tipu daya dan hasad dengki sesama manusia.

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah serta keperibadiannya sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan dalam al-Quran.

Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda bawa bermusyawarah. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti bukan kepentingan diri.

Ia juga kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun. Bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah melalui pendidikan berasaskan contoh teladan yang baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu, membimbing dan menjadi ‘role model’.

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran, tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal serta berakhlak yang sebenar.

Rasulullah SAW menunjukkan kepada sahabat supaya bersifat benar dalam perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain atau melakukan perbuatan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Selain itu, sabar dalam semua keadaan perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah SAW sehingga dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya.

Kesabaran Rasulullah SAW menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda hingga dapat dinikmati seluruh Muslim hari ini. Baginda juga bersedia berdepan fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk.

Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan Rasulullah ialah pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat atau musuh serta mudah bertolak ansur selain tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW tidak pernah melemahkan diri Baginda dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal.

Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai.

Rasulullah SAW mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung mencintai kebaikan.

Kegagalan membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini seperti firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al-Rumi, ayat 41)

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : http : //ww.bharian.com.my/

ISU UMUM : Budayakan penjagaan keselamatan di kawasan air


 Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

KITA tidak boleh mengabaikan peningkatan bilangan kematian akibat lemas di negara ini setiap tahun. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, bilangan kes mati lemas adalah 386 kes pada tahun 2011 manakala bagi tempoh 10 bulan pertama tahun lepas, bilangan kes yang dicatatkan adalah 322.

Wujud keperluan bagi Malaysia untuk memberi perhatian berat terhadap peningkatan bilangan kes mati lemas di negara ini sama ada di pantai atau di tempat-tempat lain dengan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian serta meningkatkan keselamatan bukan sahaja di pantai malah di merata tempat lain kejadian mati lemas mungkin berlaku.

Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menubuhkan sebuah pusat data kebangsaan mengenai kematian akibat lemas di air yang merangkumi maklumat seperti jantina, kumpulan umur, lokasi dan punca lemas melalui pihak berkuasa yang berkaitan supaya kita boleh menguruskan masalah ini dengan lebih baik.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan lemas di air seperti akses yang tidak terhad untuk ke pantai, kekurangan pengetahuan dan kefahaman mengenai keadaan air, kecuaian, pengabaian atau salah anggapan terhadap tahap bahaya di air, ketiadaan penyeliaan visual yang berterusan, terutamanya kekurangan kesedaran dan pendidikan keselamatan di air serta tahap pengetahuan individu terhadap kepakaran penyelamat dan menyelamat diri.

Strategi pengurusan keselamatan dan risiko adalah penting untuk memastikan pengurangan kematian disebabkan lemas di air. Pelaksanaan program pengurusan risiko yang berkesan boleh mengurangkan insiden kematian tersebut.

Ia adalah tanggungjawab pertubuhan-pertubuhan, agensi dan pihak berkuasa berkaitan ke atas kawasan pantai untuk mengenal pasti dan sebaik-baiknya meminimumkan risiko kecederaan atau kematian kerana lemas. Tanggungjawab ini tidak cukup dengan hanya memasang papan tanda atau menyediakan peralatan keselamatan.

Kita harus menyediakan penyeliaan yang baik terhadap kawasan pantai dan kawasan tarikan air yang lain serta menyokong peruntukan undang-undang yang mewajibkan penggunaan alat pengapungan peribadi supaya dipakai semua orang semasa aktiviti air dan mendidik ibu bapa tentang keperluan untuk pengawasan rapi semasa anak-anak di pantai atau di kolam renang hotel.

Selain itu, pendidikan mengenai amalan-amalan keselamatan semasa menjalankan aktiviti air dan keupayaan membuat keputusan selamat mengenai aktiviti berkaitan air serta mampu menguruskan bahaya yang berkaitan dengan aktiviti air adalah antara strategi pencegahan yang kita perlu amalkan.

Saya telah bertemu dengan Presiden Persatuan Penyelamat Malaysia pada akhir tahun lalu untuk membincangkan perkara ini dan kami telah bersetuju bahawa masanya telah tiba bagi penubuhan Majlis Keselamatan Air Kebangsaan untuk membantu kerajaan demi mengurangkan kejadian lemas dan menggalakkan budaya keselamatan di kawasan air bagi rakyat Malaysia.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Isu Sekolah Mubaligh Selesai


Oleh : YUEN MEIKENG dan RUBEN SARIO

PETALING JAYA : Isu yang semakin meruncing akhirnya telah diselesaikan apabila Kementerian Pelajaran memastikan "rundingan maksimum" diberikan kepada sekolah mubaligh dalam pelantikan pengetua.

Satu surat pekeliling akan dikeluarkan kepada semua negeri menjelang akhir bulan ini berkenaan prosedur rundingan dengan lembaga sekolah, menurut Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Ini berikutan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Persekutuan Majlis Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia pada Isnin.

Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat, perundingan maksimum perlu diadakan dengan lembaga sekolah mubaligh terhadap tugas guru besar.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa sekolah mubaligh berkata ketetapan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara yang dibincangkan termasuklah peranan sekolah mubaligh dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara.

Presiden Persekutuan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata Muhyiddin yakin bahawa 438 sekolah mubaligh di Malaysia akan terus memainkan peranan dalam sistem pendidikan negara.

Dalam persidangan meja bulat pada 4 Disember, beliau berkata ia tidak menyebut tentang peranan sekolah mubaligh dalam rangka tindakan.

"Muhyiddin berkata sekolah mubaligh tidak akan diketepikan dan akan menikmati keistimewaan yang sama seperti sekolah kebangsaan.

"Sekolah mubaligh melaksanakan kurikulum kebangsaan dan oleh itu, ia diberikan status yang sama," kata Yap.

Beliau berkata, Muhyiddin juga yakin sekolah mubaligh akan terus menerima pembiayaan untuk penyelenggaraan bangunan dan program pembangunan profesional.

Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf sekolah mubaligh.

Yap berkata: "Kami amat berterima kasih kepada Muhyiddin dan Tan Sri Bernard Dompok, yang menyelaraskan mesyuarat ".

Pada tahun 2011, pertikaian timbul terhadap pelantikan pengetua SMK Convent Bukit Nanas di Kuala Lumpur.

Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam telah membantah pelantikan Datin Seri Zavirah Mohd Shaari dengan berkata ia bertentangan dengan dasar rundingan Kerajaan.

Pertikaian itu telah diselesaikan selepas pengetua Katolik, Mystrical Rose Fernandes dilantik.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK St Paul Dr S. Ganakumaran berkata beliau berharap pekeliling ini akan membawa "hasil yang baik" untuk sekolah di Seremban yang tidak mempunyai guru besar sejak lapan bulan yang lalu.

"Pekeliling ini untuk mengingatkan semua pihak tentang amalan baik dalam melantik ketua-ketua di sekolah mubaligh," katanya.

"Di St Paul, kami sentiasa mempunyai komunikasi terbuka antara sekolah, alumni, jabatan pendidikan negeri (Negeri Sembilan) dan kementerian."

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

MATA KECILKU


Kau buat mataku kecil
Kau buat badanku besar
Kau sayangkan aku

Kau buatku serba kekurangan
Supaya aku berusaha mencari kejayaan
Kemudian kau limpahkan dengan kesenangan
Kau sayangkan aku

Aku leka dengan hidup dunia
Tiada syukur tersemat di dada
Hari hari bergelumang dosa
perhubungan kita tidak ku jaga
seperti seorang anak tak mengenang jasa
Kau sayangkan aku

Aku yang sudah hanyut jiwaku
Rasa tak layak lagi bersama-Mu
Sangkaku tertutup sudah pintu kemaafan-Mu
kerana kealpaan diriku
Kerana kebodohan diriku
kerana keangkuhan diriku
Kerana ku butakan mata kecilku
"Masihkah Kau sayangkan aku?"

F16 Israel membedil Gaza
Kau sayangkan aku

Bom - bom Israel mencari Syuhada
Kesengsaraan di tanah Gaza
Kehancuran merata- rata
Kezaliman yang tak terkata
Kau sayangkan aku

Kemanusiaan membawaku ke sana
Kau permudahkan segala cara
Walaupun debar menggoncang dada
Kau beri ku kekuatan minda
Selamat perjalananku ke Gaza
Agar akhirnya dapat ku guna
Mata yang lama tak bercahaya
Kerana hanya mengejar dunia
Kau sayangkan aku

Mataku melihat, runtun hatiku
bukan kerana kematian dan kesusahan di situ
Gaza tanah barakah-MU
walaupun semuanya kelabu
Dipenuhi oleh kekasih-kekasih-MU
Yang tidak pernah menyoal cinta-MU
Yang tak pernah menyalahkan-MU
Walaupun apa saja kesusahan yang Kau beri
Kesyukuran tak pernah meninggalkan hati
Semua kekasih-MU itu merindui
Bersama-Mu di Jannah nanti

Air mata berlinangan daripada  mata kecilku
Melihat Ketenangan wajah kekasih-MU
Melihat Keberanian jiwa kekasih-MU
Melihat keredhaan hati kekasih-MU
Melihat ketaqwaan hidup kekasih-MU

Senyum kekasih-MU penuh cahaya
Senyum terukir walaupun duka
Senyum di beri  tak memilih siapa
Senyum penuh kesyukuran pada-NYA

AKu terduduk, terdiam melihatnya
Mata aku berkelip tidak percaya,
tidak pernah aku melihat sepertinya
Adakah aku dibumi nyata
ataupun menghampiri ahli-ahli syurga

Palestin bergolak atas keizinan-Mu
Kau mahu Palestin menjadi guru
Pelajaran bagi semua umat- MU
Menyuluh jalan pulang pada-MU

Aku meminta pengampunan daripada-Mu, Ya  Allah!
Kerana setelah semua yg aku laku
kau masih sudi membuka mataku
kau masih sudi mahu bersama ku
Kau masih sudi sayangkan aku
Kau sayangkan aku

Aku bersyukur dan merasa rendah
kerana diriku yang masih Kau endah
Akan ku balas cinta-Mu dengan seluruh jiwaku
dengan badan besarku
dengan seniku, dengan jenakaku, dengan akalku
dengan mata kecilku yang kini melihat kebesaran- Mu
kekuatan-Mu, Ke Bijaksanaan-Mu, Pengampunan-MU
Cinta-Mu yang memang tidak ada seteru.
Semua yang ku lakukan kini kerana -Mu

Untuk-Mu ingin ku menjadi Qalam
Akan aku ceritakan kebesaran-Mu kepada sekalian Alam
Akan ku sampaikan kasih-Mu yang sangat mendalam
Ya,  aku budak gemuk yang  120 kilogram ini... ISLAM.

Allahu akbar!

Nukilan : Afdlin Shauki  ( Abu Miasara )

Rabu, 23 Januari 2013

ISU BAHASA : Prof Korea Mahu Popularkan Tulisan Jawi



KUALA LUMPUR : "Saya akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang amat saya cintai ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," demikian tekad Prof Dr Kang Kyoung Seok, seorang profesor berbangsa Korea.

Itulah antara kata-kata terakhir beliau setelah menamatkan tugas sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 3 Jan lepas dan akan pulang ke negaranya   bagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.

"Saya mahu pulang ke Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Malaysia semakin kurang dikenali berbanding tahun 80an dan 90an dulu, terutama dalam kalangan pelajar kami yang sedang belajar dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu. "Pelajar mahu belajar dan kaji ini semua, tetapi kebanyakan mereka menyangka bahasa dan budaya Indonesia itu sama dengan Melayu, jadi mereka hanya belajar bahasa Indonesia. Ini perlu diperbetul, pelajar mesti belajar bahasa Melayu dan tulisan jawi jika mahu mendalami Malaysia," katanya.

Kang berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama setelah menerima Anugerah Pakar Penyelidik Tulisan Jawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disampaikan Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan di sini, pada Khamis.

Pada Januari tahun lepas, Kang yang bertugas di UPSI sejak 2010, melahirkan kebimbangan bahawa tulisan jawi semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Mengulas perkara itu, beliau berkata tindakan masyarakat Melayu yang meletakkan tulisan jawi eksklusif kepada perkara berunsur Islam perlu dihindari bagi memastikan tulisan itu sesuatu yang lebih universal.

"Tulisan ini perlu digunakan untuk berbagai perkara, antaranya sebagai satu daripada teks utama universiti yang membolehkan generasi baharu Malaysia mempelajarinya lebih mendalam," katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan bagi mempopularkan kembali tulisan jawi dalam  kalangan generasi muda Malaysia, Kang berkata inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu 'Gangnam Style' boleh dilakukan. "Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan dijadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.

Bercerita tentang kajian terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan jawi itu kepada masyarakat dunia.

"Melalui teori ini saya mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan jawi daripada sebuah tulisan dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.

Bercakap mengenai kajian tulisan jawi yang amat dekat dihatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80an.

"Saya masih mengkaji tulisan pada batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba' dan 'nun'. "Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja. Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih dalam lagi," katanya. Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya. "Saya mahu kita menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga mahu orang muda Korea minat bahasa dan budaya Malaysia," katanya.

Sementara itu, Awang berkata DBP akan meneruskan kerjasama dengan Kang bagi mengkaji lebih 200 manuskrip Melayu lama yang kini berada dalam simpanan dewan itu.

"Walaupun Kang kini jauh, kita akan tetap bekerjasama dengan beliau. Melalui beliau juga kita akan bertindak sebagai penghubung melakukan pelbagai program bersama dengan Busan University of Foreign Studies bagi memperkenal bahasa dan budaya Malaysia di Korea Selatan," katanya. -BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Akhbar sudah tiada kuasa memukau



Oleh : NORDEN MOHAMED

Syarikat akhbar menghebahkan berita untuk tatapan ramai. Ia memperoleh sumber lisannya daripada ucapan rasmi, ceramah, sidang akhbar dan juga temubual. Ia mendapat sumber bertulis pula daripada kenyataan akhbar, Facebook, Twitter, blog dan laman web rasmi individu yang menjadi bahan berita.

Oleh sebab adanya pelbagai medium maklumat dan terbukanya individu atau sesuatu organisasi pada hari ini, kenyataan-kenyataan daripada ‘sumber yang layak dipercayai’ sudah tidak lagi layak dipercayai.

Taktik dan teknik memperoleh bahan berita daripada sumber ketiga mahupun keempat, secara intai-intai, agak-agak, spekulatif dengan rumusan yang condong ke kiri ataupun ke kanan sudah ketinggalan zaman.

Malah, semakin sehari, ia menjadi sumber yang tidak lagi digunakan oleh media, kecuali untuk tujuan sensasi daripada media yang kehabisan modal dan idea mencanai berita.

Pada hari ini, berita mesti dihidangkan pada bila-bila masa kepada para pembaca sebagai santapan minda mereka. Tidak seperti dahulu, bila mana berita hanya dipaparkan di akhbar pada pagi atau malam hari. Ataupun orang ramai hanya memperolehnya tatkala siaran berita pada masa-masa yang ditetapkan melalui televisyen atau radio.

Kini, berita mesti panas dan kerap terhidang sekurang-kurangnya pada setiap jam. Kerana itu, para wartawan perlu sentiasa bersiap siaga mendapatkan bahan berita, mengarang dan menyalurkannya ke pejabat untuk dipersembahkan dalam bentuk cetak, elektronik  mahupun melalui internet.

Kepantasan menghidang berita daripada pelbagai sumber rujukan membolehkan seseorang wartawan itu mudah dalam melaksanakan tugasnya. Justeru, adalah hampir mustahil  andainya seseorang wartawan pada hari ini berkata kepada pengarangnya yang dia tiada apa-apa berita untuk disampaikan.

Dalam dunia persuratkhabaran, no news is bad news. Bagaimana pun, bad news is not necessarily good news. Oleh sebab  itu, penyampaian berita itu perlu seimbang kerana para pembaca mahukan sesuatu yang dia boleh pertimbangkan.

Mereka tidak lagi boleh menelan berita yang muluk-muluk belaka mahupun berita yang hanya menyesakkan fikiran. Berita yang semata-mata pro atau pun yang kontra akan diketepikan. Hampir semua perkara ada baik dan buruknya. There are always two sides of a coin. Pembaca pada hari ini berhak mendapat maklumat yang seimbang. Mereka tidak akan menelan bulat-bulat apa yang diterima.

Kerana itulah, mereka yang menjadi bahan berita perlu menyedari pentingnya maklumat, pendapat dan buah fikiran mereka dikongsi dengan khalayak ramai. Mereka tidak boleh lagi jual mahal, berdiam diri dengan harapan sesuatu yang diperkatakan mengenainya itu akan sejuk dan tenggelam daripada radar ingatan orang ramai.

Dalam pada itu, mereka juga tidak boleh lagi cuba menguasai wartawan apatah lagi media cetak hingga mahu beritanya sahaja yang disiarkan pada setiap hari. Mereka yang memanggil sidang media dengan memberi persepsi seolah-olah media yang dijemput itu sahajalah yang terpilih secara khas; walhal apabila tiba masa sidang, berpuluh-puluh wakil media lain sudah berbaris menunggu.

Ini akan mengecewakan semua yang hadir kerana digula-gulakan seolah-olah mereka sahajalah yang istimewa. Di lain waktu, tidak ramai wakil media akan datang lagi ke majlisnya.

Jika memanggil media semata-mata untuk menyampaikan apa yang sudah diperkatakan sebelum ini, besar kemungkinan apa yang disampaikan itu tidak akan terpilih menjadi bahan berita. Jika diri sendiri bukannya newsmaker seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa mempunyai idea, saranan dan hujah baharu, tidak usahlah cuba menarik perhatian dengan kata-kata kosong yang berulang-ulang.

Para pembaca pada hari ini dihujani dengan pelbagai bahan komunikasi. Minda mereka sudah tepu. Ini menjadikan mereka punyai memori yang singkat kerana begitu cepat bosan dengan sesuatu. Justeru itu, kekerapan kemunculan seseorang di mata khalayak sebenarnya akan membuat dirinya over-exposed.

Ini bermakna, kekerapan kemunculan seseorang di khalayak ramai itu tidak semestinya akan mempopularkan dirinya. Malah boleh berlaku kesan sebaliknya iaitu imejnya sudah tidak mempunyai impak dan ingin dinyah segera daripada kotak fikiran pembaca.

Akhbar sudah tiada kuasa mahupun pengaruh untuk menaik mahupun menjatuhkan imej seseorang kerana khalayak sudah lebih berhati-hati dengan apa yang mereka tatap. Naik turun atau jatuh bangun seseorang itu sebenarnya ditentukan oleh individu itu sendiri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rakyat tidak prihatin penjagaan kebersihan


Oleh : SM MOHAMED IDRIS

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih belum mencapai tahap yang memuaskan dalam soal menjaga kebersihan terutama sekali di kawasan perumahan, taman awam dan tempat-tempat ibadat.

Pendedahan oleh akhbar tempatan berhubung tahap kebersihan tandas masjid dan surau yang seringkali dibangkitkan oleh khalayak umum sedikit sebanyak telah mendedahkan sikap kita yang masih belum mengutamakan kebersihan.

Kenyataan CAP ini tidak bermaksud untuk ditujukan khusus kepada umat Islam sahaja tetapi kepada semua rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agamanya. Ini kerana bukan sahaja tandas masjid dan surau yang menjadi rungutan bahkan tempat ibadat bukan Islam seperti kuil dan tokong juga turut mendapat rungutan berhubung tahap kebersihannya.

Selain tempat ibadat, terdapat juga sesetengah tempat makan, tandas awam di negara ini yang tahap kebersihan tandasnya masih tidak memuaskan. Pengalaman yang kami  lalui ketika menggunakan tandas di tempat awam mengukuhkan lagi dakwaan ini.

Tahap kebersihan tandas dan bilik air di Malaysia telah lama menjadi rungutan dalam kalangan pengguna sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan 'Kempen Kebersihan Tandas' di seluruh negara. Ini menguatkan lagi kenyataan bahawa sikap rakyat Malaysia yang masih tidak mengambil berat akan soal kebersihan.

Perbuatan membiarkan tandas dalam keadaan kotor serta tidak dipam selepas digunakan memburukkan lagi keadaan. Ini ditambah pula dengan segelintir mereka yang merokok serta membuang habuk dan puntung rokok merata-rata di dalam tandas juga menyebabkan keadaannya begitu kotor.

Lebih menyakitkan mata dan hati lagi apabila terdapat pelbagai contengan, tulisan dan lukisan yang tidak sewajarnya ditulis dan dilukis pada dinding tandas awam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab walaupun rata-rata yang menggunakan tandas itu tahu kebersihan mestilah diutamakan.

Pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab terhadap kebersihan tandas juga perlu memikirkan semula terhadap penggunaan lantai tandas yang sering menggunakan jubin dari jenis yang berkilat kerana ia seringkali dalam keadaan basah. Ini menyebabkan ia menjadi licin dan membahayakan keselamatan penggunanya kerana ia boleh menyebabkan tergelincir dan jatuh.

Pihak pengurusan tandas dan bilik air di tempat ibadat dan tempat awam perlu mengambil tindakan segera bagi menukar jubin dari jenis yang licin kepada jubin yang tidak menyebabkan keadaan licin walaupun terdapat air di atasnya.

Pihak berkenaan juga perlu sentiasa memastikan lantai bilik air dan tandas awam dalam keadaan yang sentiasa kering bagi memastikan ia tidak licin dan membahayakan keselamatan penggunanya.

Pembaziran air juga perlu dielakkan . Penggunaan air secara berhati-hati sedikit sebanyak dapat mengelakkan ia daripada melimpah ke atas lantai yang menjadi punca utama lantai menjadi licin.

Semua orang perlu mempunyai sikap bertanggungjawab bagi memastikan segala kemudahan tandas dalam keadaan yang baik dan memastikan perkara seperti tandas tersumbat, pam tidak berfungsi, lantai tandas pecah, licin dan berlumut serta siling bersawang dan sinki tersumbat tidak lagi berlaku di negara kita.

Memastikan kebersihan pada semua tempat merupakan tanggungjawab kita semua. Kita tidak boleh menyerahkan tugas dan tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam kepada satu pihak sahaja tetapi kita semua sepatutnya mesti mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaganya seperti mana kita menjaga tandas di rumah kita sendiri.

Penulis ialah  Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/